BEKAS teman lelaki Demi Lovato iaitu Wilmer Valderrama dilaporkan melawat penyanyi itu setiap hari sejak dia dimasukkan ke hospital akibat pengambilan dadah berlebihan pada Selasa lalu. People melaporkan Wilmer yang juga seorang pelakon dilihat hadir ke hospital sendirian dan akan menghabiskan masa selama beberapa jam untuk menjaga Demi. "Demi sedang berehat dan berada dalam keadaan baik. Ahli keluarga dan Wilmer sentiasa ada bersamanya dalam mengharungi masa sukar ini. "Setiap hari Wilmer akan datang menjenguk Demi dan dia kelihatan sangat bimbang dengan keadaannya," kata sumber terdekat penyanyi itu. Pelakon berusia 38 tahun itu sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan Demi selama enam tahun sebelum mereka berpisah pada 2016. Demi sebelum ini ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Hollywood Hill sebelum seorang rakannya memberi bantuan kecemasan dengan memberikan ubat mencegah ketagihan sebelum dia tersedar. Tindakan pantas rakannya itu telah menyelamatkan nyawanya sebelum penyanyi itu dibawa ke hospital.