PENYANYI Ellie Goulding memberitahu muzik telah menyelamatkannya daripada masalah kemurungan yang dihadapi sebelum ini. Kata Ellie, muzik adalah peneman paling baik baginya untuk memastikan dia tidak terus terbawa-bawa dengan perasaannya sendiri selain berada dalam kesedihan. "Sejak kecil lagi muzik menjadi peneman saya jika berasa tertekan atau sedih. "Mungkin ia tidak berkesan kepada orang lain tetapi untuk saya, muzik membantu saya melalui fasa terburuk dalam diri saya iaitu kemurungan," katanya seperti dilaporkan The Sun. Ellie berkata, kemuncak kemurungannya berlaku apabila dia bergelar penyanyi sejak tahun 2010. Katanya kehidupan dia ketika itu berubah namun dalam pada masa sama ia memberikan banyak tekanan sehingga menyebabkan dia menghadapi kemurungan. "Dunia glamour tidak seindah disangkakan... Saya sering diserang rasa panik dan tertekan kerana semua orang sekeliling anda mengharapkan anda menjadi yang terbaik. "Lama kelamaan saya jadi hilang kepercayaan pada diri dan membuatkan saya sering berasa ragu-ragu sehinggakan membuatkan saya berfikir tentangnya setiap masa. "Hidup saya tidak pernah tenang kerananya namun apabila saya kembali kepada muzik semuanya nampak logik," jelasnya.