PELAKON Park Eun Hye mengesahkan dia dan suaminya sudah bercerai selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga. Menurut laporan Soompi, berita itu disahkan oleh wakil agensinya, Early Bird Entertainment menerusi kenyataan rasmi. "Hello ini adalah wakil agensi Park Eun Hye, Early Bird Entertainment. Kami ingin memberi kenyataan mengenai berita penceraian Eun Hye. "Selepas berbincang, Eun Hye dan suaminya mengambil keputusan untuk berpisah kerana tidak lagi sefahaman. "Pihak kami agak keberatan untuk berbicara mengenai perkara tersebut kerana ini merupakan hal peribadi mereka," katanya. Kata wakil agensi itu, Eun Hye mendapat hak penjagaan anak-anak mereka dan dia akan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu. "Bagaimanapun, hak penjagaan anak-anak diberikan kepada Eun Hye dan dia juga sedang memberikan yang terbaik untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu. "Kami berharap anda semua menghormati keputusan yang dibuat. Eun Hye juga memohon maaf sekiranya dia telah melukakan hati peminatnya dengan berita tersebut," jelas wakilnya. Terdahulu, Eun Hye telah berkahwin dengan suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan pada 27 April 2008. Pasangan ini kemudiannya dikurniakan anak lelaki kembar selepas tiga tahun berkahwin.