suria

Konsert Dekade Afgan istimewa buat peminat di Malaysia

Afgan bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-10 perlibatannya dalam industri muzik.

PENYANYI Afgan memilih Malaysia sebagai lokasi konsert sempena 10 tahun perlibatannya dalam industri disebabkan menganggap negara ini sebagai rumah keduanya.

Afgan, 29, berkata dia pada awalnya ingin mengadakan konsert tersebut di negaranya Indonesia namun tidak mahu menganggu Asean Games yang ketika itu sedang berlangsung.

"Pada awalnya saya memang merancang untuk mengadakan konsert sempena 10 tahun saya dalam industri di Indonesia.

"Namun, ketika itu ada Asean Games dan beberapa hal lain, saya terpaksa bertukar lokasi di Malaysia.

Afgan anggap Malaysia rumah keduanya.

"Lagipun, secara peribadi saya sudah menganggap Malaysia seperti rumah kedua," kata Afgan kepada mStar Online.

Afgan ditemui ketika sidang media Konsert Dekade Live In Kuala Lumpur 2018  di Shangri La Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, konsert itu bukan seperti yang dilakukan sebelum ini namun ia merupakan hadiah istimewa buat peminatnya di Malaysia.

Afgan turut menjanjikan kelainan dimana dia akan memberi sentuhan peribadi agar dapat mendekatkan lagi dirinya dengan peminat di Malaysia.

Afgan tampilkan Ruffedge sebagai artis jemputan pada konsertnya.

"Sepuluh tahun bukan hanya sekadar lagu dan pencapaian saya, malah ia melibatkan perjalanan sebagai seorang insan biasa.

"Konsert ini juga begitu peribadi untuk saya kerana ia menjadi tanda penghargaan kepada semua peminat yang setia menyokong selama ini," ujarnya.

Konsert Dekade Live In Kuala Lumpur 2018 itu akan diadakan pada 3 November depan bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.

Bagi anda yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan konsert ini, harga tiket dijual pada harga RM 588 (pakej gold) dan RM 888 (pakej platinum).

Pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web ticketcharge.com.my atau menerusi talian 03-9222 8811.

Afgan

Artikel Lain