NAMA pelakon Goo Hara tiba-tiba menjadi perhatian apabila ada pengikut di laman sosialnya mengaitkan dirinya dengan skandal seks dan dadah melibatkan Seungri daripada kumpulan Big Bang. Koreaboo melaporkan individu itu meninggalkan komen itu kerana ingin mengetahui sama ada dia mempunyai kaitan memandangkan Seungri adalah rakan baiknya. Enggan membiarkan spekulasi itu tersebar luas, Hara membalas komen itu menegaskan dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tuduhan terhadap Seungri. Hara dan Seungri diketahui umum adalah rakan baik sebelum mereka bergelar artis malah kedua-duanya menyertai akademi sama. Komen itu turut mendapat kecaman warganet yang menyifatkan ia tuduhan melulu serta biadap. Pada Isnin lalu, Seungri atau Lee Seung-hyun, 29, mengumumkan persaraannya daripada dunia hiburan selepas namanya dikaitkan dengan beberapa skandal termasuk didakwa menjadi orang tengah aktiviti pelacuran untuk golongan ternama. Malah dia turut didakwa terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sebuah kelab elit, Burning Sun yang memperlihatkan dia bertindak sebagai pegawai ekskutif. Dia kini sedang disiasat pihak berkuasa namun tidak ditahan reman.