suria

Lagu Lady Gaga, Ariana Grande dianggap singgung sensitiviti di Singapura

Lady Gaga dan Ariana Grande jadi sebutan di negara Singapura. Foto: AP

BINTANG sensasi Hollywood, Lady Gaga dan Ariana Grande disenaraikan sebagai artis dengan lirik lagu menyinggung sensitiviti sesetengah pihak.

Kenyataan dikeluarkan pada Isnin lalu setelah hampir sebulan konsert kumpulan black metal Sweden, Watain diharamkan di negara itu berikutan bimbang dengan sejarah menghina agama dan mempromosi keganasan.

Republik ini melaksanakan kawalan ketat ucapan awam dan media, terutama berkaitan isu kaum dan agama.

Gambar kenyataan kementerian berkaitan menyekat ucapan kebencian dihantar di Facebook oleh ahli parlimen pembangkang, Chen Show Mao semalam dengan keterangan pengajaran hari ini.

Tulisan itu dikongsi lebih 1,000 kali dan menerima ratusan komen menjelang tengah hari ini.

Senarai itu memasukkan lirik lagu Judas oleh Lady Gaga dan God Is A Woman oleh Ariana Grande bersama lagu Heresy oleh Nine Inch Nails dan Take Me To The Church oleh Hozier.

Sebelum ini, Gaga dan Ariana pernah mengadakan konsert di republik itu.

Menteri berkenaan, K Shanmugam menerusi hantaran di Facebook berkata senarai itu sebagai contoh perkara yang dianggap menyinggung.

"Tidak bermaksud semuanya diharamkan, hanya kerana sesetengah orang mendapatinya menyinggung," kata Shanmugam yang juga Menteri Perundangan.

Beliau menambah, sama ada mengharamkan segala-galanya dianggap menyinggung atau menghina oleh sesiapa atau membenarkan semuanya dianggap menyinggung atau menghina, tidak boleh dilakukan.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas republik ini membentangkan rang undang-undang berita palsu di Parlimen, mencetuskan kebimbangan di kalangan firma internet dan kumpulan hak asasi manusia ia mungkin memberi kerajaan terlalu banyak kuasa dan mengekang kebebasan bersuara.

SUMBER: REUTERS

Artikel Lain