ANGGOTA kumpulan Red Velvet, Joy memohon maaf kepada peminat selepas dia meninggalkan pentas tanpa mengucapkan selamat tinggal ketika membuat persembahan di Iseul Live Festival 2019 baru-baru ini. Menurut laporan Allkpop, Joy mengakui dia mengalami masalah pendengaran dan panik akibat letupan bunga api yang tidak dijangka. Kata Joy, dia sememangnya fobia terhadap letupan bunga api hingga menyebabkan dia terpaksa beredar. "Kesayangan, saya mahu minta maaf. Saya takut dengan bunga api selepas melihat bunga api meletup betul-betul di hadapan saya dan ia sangat tidak dijangka. "Disebabkan itu, telinga berdesing menyebabkan saya terpaksa beredar dari pentas tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada anda. Saya minta maaf. "Sekarang saya okey! Saya minta maaf sebab membuatkan anda bimbang," kata Joy menerusi laman Instagram.