BEKAS vokalis kumpulan One Direction, Harry Styles dijangka bakal membuat kemunculan menerusi Disney Live Action berjudul The Little Mermaid selepas perbincangan untuk melakonkan watak Prince Eric bersama Walt Disney Pictures. Menurut laporan The Hollywood Reporter, Styles akan menyertai barisan pelakon filem tersebut yang terdiri daripada Halle Bailey yang memegang watak sebagai Ariel, Jacob Tremblay sebagai Flounder, dan Melissa McCarthy sebagai Ursula. Dalam pada itu, ramai peminat menjangkakan The Little Mermaid kali ini bakal menampilkan kelainan dan penuh musikal apabila barisan pelakon merupakan penyanyi. Styles merupakan bekas vokalis kumpulan One Direction. Filem animasi arahan Rob Marshall sebelum ini pernah ditayangkan pada tahun 1989 dan berjaya mengutip lebih RM90 juta di seluruh dunia dan kebanyakan terjual dalam versi home video. Animasi tersebut berdasarkan kisah dongeng dari Denmark oleh penulisnya, Hans Christian Andersen yang menceritakan mengenai puteri ikan duyung bernama Ariel yang sanggup meninggalkan dunia lautnya untuk impian menjadi manusia. Bagaimanapun, tarikh tayangan sebenar The Little Mermaid masih belum diumumkan pihak studio.