BEKAS isteri kepada pelakon Galih Ginanjar iaitu Fairuz A. Rafiq masih belum memaafkan penghinaan yang dilakukan oleh aktor tersebut terhadap dirinya. Menerusi laporan Liputan6, Fairuz berkata dia berasa cukup terhina dengan kata-kata Galih dan mempersoalkan mengapa ungkapan maaf itu tidak diluahkan sejak awal lagi. "Selama ini saya dizalimi, selama ini harga diri saya dipijak-pijak sebagai sebagai seorang perempuan, selama ini juga saya hanya berdiam," katanya kepada media pada Selasa lalu. Dengan linangan air mata, Fairuz meluahkan rasa sedih dengan penghinaan yang dilakukan bekas suami yang sanggup memalukan dirinya dalam satu rakaman video. Dia turut terkilan dengan tindakan dua Youtuber iaitu Rey Utami dan Pablo Benua yang sanggup menjadikan isu kemaluan dan bau ikan masin sebagai bahan untuk kandungan video mereka. "Kamu tak tahu apa saya rasa selama ini, saya cuba kuat untuk anak-anak, untuk emak... sekarang ini saya cuma ada emak yang menyebabkan saya terus kuat. "Sekarang ini baru kamu nak menyesal, baru nak minta maaf, sebelum ini ke mana? Itu jawapan aku! Mungkin kamu tak tahu apa yang saya rasakan," ujarnya. Sebelum itu, Galih Ginanjar menyampaikan permohonan maaf kepada Fairuz A. Rafiq melalui sepucuk surat yang dibacakan oleh isterinya iaitu Barbie Kumalasari. Galih, Rey Utami dan Pablo masih lagi berada dalam tahanan polis dan sedang dibicarakan.