DUA artis popular Indonesia iaitu Krisdayanti dan Mulan Jameela merupakan antara 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang akan mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen Indonesia bagi sesi atau penggal 2019-2024 pada Selasa ini. Menurut Bernama, Krisdayanti, 44, dan Mulan Jameela, 40, memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lalu, masing-masing mewakili anggota DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI. Krisdayanti bertanding sebagai calon Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), manakala Mulan, yang juga isteri kepada artis Ahmad Dhani bertanding sebagai calon Partai Gerakan Indonesia Raya. ARTIKEL BERKAITAN: Krisdayanti suntik DNA ikan salmon setiap tahun untuk dapat wajah awet muda ARTIKEL BERKAITAN: Mulan Jameela nafi fail cerai terhadap Ahmad Dhani, rumah tangga didakwa goyah selepas dilantik ahli Dewan Indonesia Dua menteri Indonesia ketika ini, iaitu Yasonna Laoly (Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia) yang menang bertanding sebagai calon PDI-P turut melepaskan jawatannya sebagai menteri pada 27 September lalu bagi membolehkan dia dilantik sebagai anggota DPR. Sementara itu, Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Maharani Nakshatra Kusyala (anak kepada presiden kelima Indonesia Megawati Soekarnoputri, dan cucu kepada presiden pertama, Soekarno) turut menjadi calon DPI-P dan akan mengangkat sumpah sebagai anggota DPR serta melepaskan jawatan menterinya. Proses angkat sumpah itu akan dilakukan di depan Ketua Mahkamah Agung, Prof. Dr. H. M. Hatta Ali, dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dijadualkan turut hadir pada majlis itu. Berita mengenai dua selebriti ini terbabit dunia politik mengejutkan ramai pihak. Jokowi yang menang pada pilihan raya Presiden 2019, dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal keduanya (2019-2024) pada 20 Oktober ini. Ketua Biro Hubungan Masyarakat Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Siti Fauziah berkata antara agenda yang dijadual bermula pukul 8 pagi esok itu, adalah proses mengangkat sumpah 575 anggota DPR, 136 anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan 711 anggota MPR untuk penggal 2019-2024. Sementara itu, Ketua Bidang Hubungan Masyarakat, Polis Metro Jaya (Polis Jakarta) Argo Yuwono berkata sebanyak 20,500 anggota polis ditugaskan bagi menjaga keamanan di kawasan parlimen Indonesia. Jalan utama kawasan parlimen iaitu Jalan Gatot Soebroto, yang juga jalan utama di Kota Jakarta telah ditutup sejak seminggu lepas berikutan beberapa siri demonstrasi dan rusuhan menjelangnya angkat sumpah itu. Beberapa siri demonstrasi berskala kecil bermula sejak tiga minggu lalu dan menjadi semakin buruk bermula 24 September lalu apabila ribuan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu mengadakan demonstrasi di luar kawasan parlimen Indonesia membantah pelaksanaan pindaan Rang Undang-undang Kitab Hukum Pidana atau RUU KUHP. Rancangan pindaan undang-undang itu didakwa mengurangkan kuasa Komisi Pembanterasan Korupsi atau badan yang menangani kes-kes rasuah di Indonesia, menyekat kebebasan hak asasi manusia serta melindungi kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Jokowi telah mengarahkan penangguhan undian parlimen terhadap undang-undang itu pada 20 September lalu dan pastinya menjadi tanggungjawab anggota baharu DPR yang akan mengangkat sumpah untuk proses tindakan selanjutnya.