suria

Penggambaran filem The Eternal dihentikan, bom Perang Dunia Kedua ditemui di lokasi

Angelina Jolie dan kru produksi diarahkan meninggalkan Pulau Canary.

PELAKON Hollywood, Angelina Jolie bersama aktor Korea Selatan, Ma Dong Seok dan beberapa kru produksi berdepan detik cemas selepas dimaklumkan terdapat sebutir bom yang masih aktif di sekitar lokasi penggambaran bagi filem Marvel, The Eternals.

Dalam keadaan panik, kesemua mereka terpaksa menghentikan penggambaran selepas diarahkan untuk mengosongkan Pulau Canary dan berpindah ke lokasi lain yang lebih selamat.

Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, bom yang ditemui itu kelihatan seperti sudah lama dan tidak diusik.

"Bom itu kelihatan seperti tidak pernah disentuh sejak berkurun lamanya. Pihak penyiasat agak bimbang kerana tidak dapat dipastikan jika ia masih akan meletup apabila disentuh.

Sebutir bom dijumpai di Pulau Canary.

"Pihak kami juga tidak dapat memastikan secara terperinci bila dan dari mana bom itu diperbuat dan sudah berapa lama ia berada di situ.

"Yang pasti, lokasi ini pernah digunakan sebagai kem ketenteraan Jerman pada Perang Dunia Kedua," ujar pihak berkuasa negara itu.

Dalam pada itu, Unit Pemusnah Bom dikejarkan ke lokasi itu bagi memusnahkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua.

Lokasi itu juga dikosongkan dari orang ramai buat sementara waktu bagi pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat bom lain yang berada di situ. - Koreaboo.com


Angelina Jolie, Ma Dong Seok

Artikel Lain