PENYANYI Katy Perry baru sahaja mengumumkan berita gembira bahawa dia kini hamil anak pertamanya bersama Orlando Bloom. Dia mendedahkan perkara tersebut menerusi video klip terbaharunya yang bertajuk 'Never Worn White'. Pada akhir video, pemuzik itu kelihatan menyentuh perutnya yang mula membesar. Menerusi Instagram Live sejurus selepas video muzik dilancarkan, Katy Perry dan Orlando Bloom meluahkan rasa gembira. Bukan sahaja mengenai lagu terbaru, tapi kehamilannya juga merupakan rahsia yang disorokkan dalam masa yang lama. Katy Perry memegang perutnya dalam muzik video terbaharunya. "Saya sangat teruja. Kami berdua gembira. Mungkin ini rahsia paling lama yang saya sorokkan. "Saya bukan sahaja akan melahirkan, dalam erti kata yang sebenarnya, tetapi juga secara kiasan, sesuatu yang telah lama anda tunggu," katanya. Di laman Twitter, Katy Perry juga menyatakan kegembiraannya. Dia mengakui lega kerana tidak lagi menyembunyikan apa-apa daripada peminat.