MISTERI kematian pelakon Bollywood, Arya Banerjee terungkai apabila pihak polis memaklumkan mengenai keputusan hasil bedah siasat yang dijalankan terhadapnya pada Isnin. Menurut laporan FirstPost, polis Kolkata memberitahu Arya Bernajee meninggal dunia kerana pengambilan alkohol berlebihan sehingga meragut nyawanya. "Jumlah alkohol yang banyak dikesan pada tubuhnya, disebabkan dia jatuh dalam posisi telungkup jadi wajahnya terluka sehingga menyebabkan hidungnya berdarah. "Doktor juga mengesahkan kematian Arya Banerjee bukan kerana pembunuhan," kata wakil polis. Pada Jumaat lalu, aktres berusia 33 tahun ini ditemui dalam keadaan wajah berlumuran darah dan hasil siasatan awal mengesyaki Arya mengalami serangan jantung serta jatuh ketika ingin mendapatkan bantuan. Polis turut menemui sejumlah botol alkohol di kediamannya bersama tisu berlumuran darah. Sebelum ini, aktres ini dikatakan menghadapi beberapa penyakit antaranya masalah jantung. Selama hidupnya, Arya diketahui sangat menjaga privasi dan tinggal sendirian di rumahnya dan hanya ditemani oleh haiwan peliharaan. Arya Banerjee terkenal menerusi filem LSD: Love Sex Aur Dhoka (2010) dan Dirty Picture (2011). Dia juga merupakan seorang model dan kerap mengikuti acara fesyen di India. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!