DRAMA Squid Game mencipta sejarah baharu apabila mengungguli senarai 10 drama teratas di Netflix Amerika Syarikat pada Khamis. Menurut laporan Yonhap, badan analisis atas talian iaitu FlixPatroll mengumumkan Squid Game menduduki tangga pertama di negara Uncle Sam itu. Sebelum ini, rekod drama dari Korea Selatan yang berjaya menempatkan tempat di Netflix Amerika Syarikat ialah Sweet Home yang berada di kedudukan ketiga pada tahun lalu. Squid Game bukan sahaja diterima baik di negara asalnya, malah drama thriller ini turut menjadi trending di 13 negara lain antaranya Malaysia, Singapura dan Vietnam. 456 peserta bersaing merebut hadiah wang tunai. Sementara itu, Squid Game kini berada di posisi kedua Netflix global iaitu di belakang drama Sex Education yang turut ditayangkan bermula 17 September lalu. Squid Game yang dibintangi pelakon hebat Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Jung Ho-yeon, Lee Byung-hun dan Gong Yoo menceritakan tentang 456 peserta dengan masalah hidup tersendiri direkrut dalam satu siri permainan kanak-kanak yang meragut nyawa. Antara permasalahan yang dihadapi peserta termasuklah hutang keliling pinggang, menjadi pelarian, mencari rezeki di negara orang dan permasalahan mental. Hadiah kemenangan keluar hidup-hidup daripada pertandingan tersebut adalah wang tunai lumayan berjumlah 45.6 bilion won (RM161 juta). Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI