suria

Alasan Nia Ramadhani ambil dadah kerana sedih bapa meninggal, hakim pula persoalkan sudah 7 tahun berlalu

Nia Ramadhani bagi alasan ambil dadah sebab sedih bapa meninggal dunia. FOTO CNN Indonesia / IG Nia Ramadhani.

PELAKON Indonesia Nia Ramadhani yang ditahan akibat penyalahgunaan dadah memberi alasan mengambil barang terlarang itu kerana berasa sedih ayahnya meninggal dunia pada 2014.

Perkara itu diberitahu Nia ketika perbicaraan di Mahkamah Negeri Jakarta Pusat bersama dua tertuduh lain iaitu suaminya Anindra Ardiansyah Bakrie dan pemandunya Zen Vivanto pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat bulan di pusat pemulihan, Nia Ramadhani semakin sihat... rajin ikuti kelas agama dan kaunseling

Nia berkata, dia tidak pernah menceritakan betapa dirinya berasa kehilangan selepas pemergian bapanya itu.

"Pada awal 2014 bapa saya meninggal dunia dan saat itu saya berjumpa dia baru tiga tahun sebelum dia meninggal.

"Pada saat itu sampai April 2021 saya tidak pernah bercerita dengan sesiapa pun bahawa saya benar-benar rasa kehilangan," ujarnya di hadapan hakim.

Pelakon drama Bawang Putih Bawang Merah ini memberitahu dia pernah cuba menceritakan kesedihan itu kepada temannya, namun dinasihatkan tidak perlu bersedih.

nia6

Nia dan suami ditahan kerana mengambil barang terlarang.

Kata Nia, temannya berkata ramai lagi orang lain yang ingin hidup mewah seperti yang dilaluinya.

"Nia malulah untuk sedih kerana hidup kamu itu banyak yang mahu, kamu patut bersyukur. Dia kata saya tak patut bersedih," ujar Nia menceritakan nasihat temannya itu.

Kata Nia, dia berasa sedih dan menganggap dirinya seolah-olah sudah disumpah tidak boleh berasa sedih dan harus sentiasa kelihatan gembira.

Walhal, dia mengaku berasa sangat kehilangan saat itu.

Kemudian, hakim bertanya jarak masa kematian orang tuannya itu dengan tempoh dia mula mengambil dadah.

Hakim juga menilai jarak waktu yang cukup jauh antara tarikh meninggal bapanya dengan tindakan mengambil dadah untuk menghilangkan kesedihan.

"Sudah lama sekali waktunya, orang tua saudara meninggal tahun 2014, kemudian saudara berasa sedih kerana kehilangan. Tapi kenapa selepas tujuh tahun kemudian baru saudara mencari jalan keluar?" soal hakim.

Nia menjawab kesedihannya kembali pada April lalu kerana tidak dapat mengucapkan selamat ulang tahun kepada bapanya.

Kata Nia, dalam kesedihan itu dia juga teringat tawaran seorang rakan industri yang memberitahu tentang ada sesuatu yang boleh membuat perasaan sedih menjadi bahagia.

Nia Ramadhani dan Ardi Bakrie ditahan selepas terkait kes penyalahgunaan dadah pada Julai lalu.

Menerusi tangkapan itu, polis menjumpai dadah jenis syabu dengan berat 0.78 gram. - CNN Indonesia

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain