suria

Gosip dimadu dan karier seni Siti Nurhaliza...

Khalid bersama Siti diserbu media yang ingin mendapatkan penjelasan sebenar tentang gosip tersebut - foto MSTAR ONLINE-
Khalid bersama Siti diserbu media yang ingin mendapatkan penjelasan sebenar tentang gosip tersebut - foto MSTAR ONLINE-
Khalid bersama Siti diserbu media yang ingin mendapatkan penjelasan sebenar tentang gosip tersebut - foto MSTAR ONLINE-

SATU demi satu kontroversi singgah terhadap pasangan suami isteri ini. Namun, biar apapun tohmahan mahupun khabar angin yang berlaku kepada mereka, Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa tidak mudah melatah.

Baik Siti mahupun Khalid atau lebih mesra dengan panggilan Datuk K ini bijak menangkis apa saja dakwaan tidak berasas yang dilemparkan kepada mereka.

Baru-baru ini, sebuah lagi kisah 'panas' melanda pasangan ini apabila Khalid didakwa sudah bernikah dengan seorang pramugari, seperti yang sedang hebat tersebar di internet tatkala ini.

Kesempatan bertemu dengan pasangan ini ketika majlis berbuka puasa anjuran Siti Nurhaliza Productions (SNP) kelmarin digunakan sebaik mungkin oleh pihak media untuk mendapatkan penjelasan daripada tuan empunya badan.

Seperti sudah mengagak kehadiran ramai wartawan pada malam itu, seolah-olah sudah menyusun 'agenda' tersendiri, Khalid kelihatan tenang menjawab satu demi satu soalan yang ditanya bertubi-tubi oleh pihak media.

Sambil ditemani sang isteri yang setia duduk disampingnya, ahli perniagaan berusia 49 tahun itu tidak langsung menunjukkan riak kurang senang dengan pertanyaan yang diajukan tentang gosip dirinya berkahwin lain.

"Sebenarnya perkara itu kamu (media) ambil dari gosip saja... gosip tidak berasas kerana kita tidak tahu dari mana datangnya.

"Saya sedar tentang cerita itu dalam dua tiga hari lepas. Itupun kerana ramai rakan saya menghubungi saya untuk dapatkan kepastian cerita tersebut. Perkara itu tidak benar.

"Sejak saya berkahwin dengan Siti, 99 peratus masa saya adalah bersama dengan Siti. Jadi saya tidak tahu macam mana cerita seperti ini boleh timbul," ujar Khalid yang ditemui sejurus selepas berakhirnya majlis yang berlangsung di Menara Yayasan Tun Razak itu.

Ditanya sama ada dia akan menyiasat perkara itu sehingga ke akar umbi, kata Khalid, dia tidak berminat untuk berbuat demikian.

"Saya tidak minat untuk siasat. Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku. Dulu orang cakap saya pukul Siti la... macam-macam. Saya harap perkara ini selesai di sini, tapi jika orang ingin terus bercakap tentang perkara ini, saya tidak mampu halang," kata Khalid.

Tamparan yang hebat turut sama dirasai oleh Siti. Dakwaan dirinya dimadu pastinya menghiris perasaan sebagai seorang isteri. Namun, kepercayaan penyanyi berusia 29 tahun ini tidak pernah luntur meskipun dihambat dengan dakwaan sedemikian rupa.

"Bila saya baca tentang cerita itu, memang dalam hati saya langsung tidak percaya dengan apa yang didakwa. Tetapi sudah tentu bila orang asyik memperkatakan tentang hal ini, saya ada juga bertanyakan kepada suami.

"Walaupun begitu, saya memang sukar untuk mempercayai cerita tersebut. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menaruh apa-apa prasangka buruk terhadap suami," tutur Siti yang melangsungkan pernikahan dengan Khalid pada 21 Ogos 2006.

Artis baru SNP, konsert dan lakonan

Sempena dengan majlis berbuka puasa tersebut, SNP turut memperkenalkan tiga artis baru di bawah naungan produksi tersebut. Adik dan kakak Siti iaitu Saida dan Sairah adalah dua daripadanya yang diambil sebagai artis SNP, serta sebuah band, Coda.

Meskipun sudah berada di dalam industri hiburan selama 13 tahun, Siti tidak merasakan keputusannya mengambil artis baru ketika ini agak 'lewat', terutamanya Sairah yang sudah lama diketahui umum juga mempunyai bakat nyanyian.

"Saya sebenarnya ingin memberikan pendedahan yang secukupnya dulu kepada Sairah sebelum diambil menjadi artis. Setakat ini, Sairah sudah sertai pelbagai pertandingan dan juga kerap menjadi stand-in saya ketika show.

"Begitu juga dengan Saida yang telah menyertai program Akademi Fantasia. Jadi, saya yakin mereka sudah belajar serba-sedikit tentang bidang ini. Coda pula menarik perhatian SNP kerana bakat yang dimiliki oleh lima anak muda ini.

"Mereka turut berkebolehan mencipta lagu sendiri dan membuat susunan muzik," kata Siti yang baru saja pulang daripada mengerjakan umrah buat kali ketiga, baru-baru ini.

Buat permulaan, Saida akan mempertaruhkan single pertamanya, Sedalamnya Cinta ciptaan Sharon Paul manakala Sairah pula sedang popular dengan lagu Hero Wayang yang kini turut diputarkan di Singapura.

Kumpulan Coda yang dibarisi oleh Fahimi (vokalis), Freddy (gitar), Akir (gitar), Jashir (bass) dan Ejam (dram) pula akan mempertaruhkan single pertama mereka, Buai yang dicipta oleh mereka sendiri.

Ditanya mengenai projek lainnya ketika ini, kata Siti dia akan mengadakan siri konsert berkonsepkan dinner show yang akan diadakan di beberapa buah negeri bagi mengutip dana untuk mengisi tabung Yayasan Nur Jiwa, yang diasaskannya bersama Khalid.

"Insyaallah, konsert ini akan diadakan selepas raya nanti. Sebahagian daripada sumbangan itu nanti akan kami serahkan kepada badan-badan kebajikan, manakala selebihnya kami ingin sumbang kepada artis-artis yang kurang bernasib baik.

"Konsert ini nanti akan turut ada artis-artis undangan, tetapi kita belum bincangkan lagi," kata Siti yang bertindak selaku pengarah yayasan tersebut bersama suaminya.

Yayasan Nur Jiwa ditubuhkan sejak pasangan ini berkahwin. Setakat ini, yayasan ini banyak membantu golongan miskin dan anak-anak yatim. Antara sumbangan yang diberikan adalah berbentuk wang, pakaian dan makanan.

Dalam pada itu, diva tersohor ini turut akan membuat penampilan khas di dalam drama bersiri Spa Q musim kedua tidak lama lagi, sekaligus menyangkal desas-desus yang mengatakan penyanyi ini akan menjayakan drama tersebut sebagai salah seorang pelakonnya.

Selain itu, Siti juga menafikan dirinya bakal terlibat di dalam filem terbaru Prof Razak Mohaideen.

"Sebenarnya Prof ada menghubungi Datuk K mengenai perkara itu... tapi tak adalah saya berlakon," kata Siti sambil tersenyum.

Artikel Sebelum

Artikel Lain