suria

Mawi, Marsha, Amelia, Yazer dipilih Maestro untuk perbaharui kontrak

DESAS-DESUS yang mengatakan penyanyi popular Mawi tidak akan menyambung kontrak dengan Maestro Talent akhirnya terjawab apabila juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu mengikat setahun lagi kontrak dengan syarikat pengurusan tersebut.

Selain Mawi, turut sama menyambung kontrak bersama label tersebut ialah tiga lagi artis AF3 iaitu Marsha, Amelia dan Yazer yang mana kontrak mereka terdahulu telah pun berakhir tidak lama dulu.

Mengulas lanjut mengapa hanya empat daripada 13 artis AF3 dipilih untuk meneruskan karier seni mereka di bawah pengurusan Maestro, kata Pegawai Operasi Maestro Talent & Management, Freddie Fernandez, pemilihan mereka dilakukan berdasarkan prestasi masing-masing.

"Buat masa ini, kontrak artis-artis AF3 saja yang telah tamat manakala artis AF4,AF5 dan AF6 kesemua mereka masih lagi mempunyai kontrak dengan kami.

Amelia, Mawi, Marsha dan Yazer dipilih Maestro untuk menyambung kontrak

"Bagi artis-artis AF1 dan AF2, ada diantaranya masih bersama kami dan ada juga yang sudah dilepaskan oleh Maestro kerana rata-ratanya sudah mempunyai halatuju masing-masing.

"Begitu juga dengan artis AF3, keempat-empat artis ini kita pilih kerana kita nampak ada pasaran untuk mereka dan peluang untuk mereka teruskan karier secara serius. Saya akui hanya empat orang ini yang dilihat mendapat permintaan yang tinggi dan 'maintain' hingga sekarang.

"Manakala artis-artis AF3 yang lain, kita 'bebaskan' secara baik dan mereka juga faham. Hakikatnya, memang kita tidak boleh kekalkan semua.

"Empat yang dipilih ini memang sentiasa menunjukkan usaha. Usaha adalah yang paling penting jika mereka ingin berjaya. Seperti Farah AF2, walaupun dia tidak menang, tetapi sehingga sekarang kariernya tetap 'maintain'," ujar Freddie yang ditemui pada majlis menandatangani kontrak tersebut di Restoran Izzi, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, selain dilepaskan kerana mempunyai karier masing-masing, ada juga artis-artis AF sebelum ini yang masih ingin kekal berada di bawah Maestro walaupun kontrak tidak disambung.

"Saya akui, ada setengahnya ingin terus bersama dengan kami, walaupun kami rela untuk 'lepaskan' mereka. Bagi kes seperti itu, sekiranya mereka mahukan sedemikian, kita tetap akan fikirkan cara yang kita boleh bantu mereka.

"Cuma kita tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada mereka kerana kita sendiri sedia maklum dengan senario industri hiburan pada masa ini," tambah Freddie.

Berkenaan syarat terhadap kontrak baru yang ditandatangani oleh empat artis tersebut, jelas Freddie, syarat yang tertakluk masih lagi sama seperti dulu.

"Buat masa ini, kontrak mereka adalah selama setahun, tetapi masih ada ruang untuk mereka panjangkan lagi tempoh kontrak itu kelak. Apa yang pasti, mereka ini masih berpeluang untuk menghasilkan album.

"Mawi akan muncul dengan album Qasidah, Yazer pula sedang siapkan albumnya bersama M.Nasir, begitu juga dengan album Amelia yang hampir siap. Marsha pula masih di dalam proses merakamkan lagu," kata Freddie.

Mengenai caj pengurusan yang akan ditingkatkan daripada 30 peratus ke 50 peratus daripada jumlah bayaran show artis terbabit, ujar Freddie, perkara itu belum lagi dilaksanakan.

"Kita belum tetapkan lagi bila akan kita mula laksanakan. Artis-artis Maestro juga belum lagi tahu tentang perkara ini.

"Dengan keadaan pasaran album yang lembab termasuklah kos yang tinggi untuk menguruskan karier mereka, kita harap mereka faham mengapa caj itu ditingkatkan nanti," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain