suria

Field Trip USA papar kisah lapan pelajar rasai hidup di Amerika

BAGAIMANAKAH jika anda diberi peluang untuk menghayati gaya hidup di Amerika Syarikat dan pada masa yang sama mempelajari tentang budaya mereka? Inilah peluang anda untuk mempelajari dan menghayati sedikit sebanyak tentang kehidupan di Amerika Syarikat dengan menonton 'Field Trip USA' yang akan mula bersiaran di saluran 8TV pada 8 Oktober ini jam 9.30 malam.

'Field Trip USA' adalah sebuah rancangan realiti mengenai pengalaman sebenar yang dilalui oleh remaja-remaja Malaysia melalui program `Youth Exchange and Study Programmes’ (YES) yang berkolaborasi dengan AFS Antarabudaya Malaysia dan dibiayai sepenuhnya oleh Biro Bahagian Pendidikan Negara dan Kesenian Kebudayaan Amerika Syarikat.

Inovatif program pertukaran pelajar ini memberi peluang kepada remaja-remaja Malaysia untuk merasakan kehidupan di Amerika Syarikat dan mempelajari budaya-budaya mereka selama enam bulan bersama keluarga angkat masing-masing.

“Field Trip USA merupakan salah satu lagi program unik bagi tahun ini. Program baru ini dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan pemahaman penonton-penonton kami tentang gaya hidup dan juga budaya di Amerika Syarikat yang walaupun jauh berbeza dari budaya kita, namun ianya tetap menarik untuk diketahui dengan lebih lanjut lagi.

“Program ini juga merupakan salah satu daripada usaha kami untuk menyokong aktiviti-aktiviti pembelajaran untuk para remaja dan pelajar-pelajar. Oleh kerana remaja merupakan penonton utama kami, program Field Trip USA ini memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari pengalaman kehidupan di Amerika Syarikat,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar.

Dalam pada itu, Pengarah Kebangsaan AFS Antarabudaya Malaysia Atty Sulaiman berkata, program AFS sering diperkatakan namun ramai yang kurang memahami tentang perjalanan program ini.

“Program AFS sering digembar gemburkan namun ramai yang masih tidak faham akan maksud program ini kerana kami di sini tidak diberi ruang untuk memberikan penerangan secukupnya. Kami harap dengan adanya landasan seperti ini akan dapat memberikan gambaran sebenar projek ini kepada Malaysia amnya,” kata Atty.

40 remaja Malaysia telah ditempatkan ke merata pelusuk Amerika Syarikat untuk meraih pengalaman hidup dan mempelajari gaya hidup di Amerika selama enam bulan bersama keluarga angkat. 8TV telah memilih lapan orang pelajar untuk ditonjolkan dalam rancangan realiti travelog TV 'Field Trip USA' ini.

Lapan pelajar yang terpilih ini adalah Danial, ditempatkan di Protland, Oregon, Solleh (Little Egg Harbor, New Jersey), Shaaleni (Chevy Chase, Maryland), Shazwanny (Windsor, Colorado), Andrew (Houston, Texas), Pratheeb (Redondo Beach, California), Sherilyn (Hot Spring, Arizona) dan Syaheera (Oswego, New York).

Walaubagaimanapun, kesemua pelajar yang terpilih ini diuji untuk melihat tahap keserasian mereka. Lapan pelajar tersebut diuji untuk melihat jika mereka boleh menyesuaikan diri dengan gaya hidup “Uncle Sam” – bersarapan pagi dengan pancake daripada nasi lemak, melepak di kedai makan gaya Amerika dan bukannya kedai Mamak, menonton Superbowl dan bukannya bola sepak dan macam-macam lagi!

Sementara calon-calon tersebut sibuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru mereka, pengacara program ini, Qi, akan pergi ke kesemua lapan lokasi terpilih (New Jersey, Oregon, Maryland, Colorado, Texas, California, Arizona and New York) untuk melawat calon-calon tersebut dan pada masa yang sama membuat lawatan ke lokasi-lokasi terkenal di negara itu.

Jangan lupa bersama dengan rakan-rakan anda, tontonilah 8TV bermula 8 Oktober 2008 jam 9.30 malam untuk mengenali Amerika Syarikat dengan lebih dekat melalui 'Field Trip USA'! 8TV juga boleh ditonton menerusi saluran alternatif 708 di Astro.

Artikel Lain