suria

Scha akui makin serasi sebagai pelakon

KAREKTOR gadis lurus-bendul bernama Sofia menerusi drama bersiri Bella yang pernah disiarkan di TV3 tidak lama dulu ternyata membawa tuah buat Sharifah Nor Azean atau mesra dengan panggila Scha ini.

Masakan tidak, menerusi watak tersebut nama Scha mula meningkat naik meskipun sebelum ini model dan pelakon berusia 25 tahun ini telah pun membintangi beberapa buah drama lain.

Semakin hari, pemenang Dewi Remaja 2005/2006 ini mula mengukir nama di dalam industri ini. Akui Scha, dia sendiri semakin tidak putus-putus menerima tawaran berlakon.

Malah, ada yang perlu ditolaknya kerana jadual yang sudah penuh.

Namun begitu, gadis kelahiran Sungai Petani ini tidak pernah sedikit pun merasa 'selesa' dengan apa yang diraihnya hari ini. Menyedari laluannya untuk membina nama di arena ini tidak semudah sesetengah pelakon baru lain, Scha sentiasa bersyukur dengan apa yang diterimanya ketika ini.

Seboleh mungkin, kata anak saudara kepada penyanyi Sheril Aida ini, dia akan sentiasa bekerja keras untuk memastikan karier yang baru dibinanya itu menampakkan halatujunya kelak.

"Saya sendiri pun tak sangka perjalanan karier saya menunjukkan tanda-tanda positif. Malah setakat ini, saya sudah mula rasa keserasian sebagai pelakon. Tetapi apapun, saya tidak mahu terlalu gembira dengan apa yang saya ada sekarang.

"Saya sendiri tidak tahu macam mana nasib saya pada masa akan datang. Sejujurnya, saya memberi tempoh enam bulan lagi untuk melihat prestasi karier seni saya. Lagipun, saya tidak mahu terlalu berharap bidang ini sebagai satu-satunya punca rezeki saya.

"Mungkin selepas ini saya bercadang untuk jadikan lakonan sebagai kerjaya separuh masa saja. Bukannya apa, saya ingin buat kerja yang menjamin masa depan saya. Mungkin sekarang karier lakonan saya baik, tetapi kelak saya pun sukar menjangkakan.

"Insyaallah, saya sudah ada perancangan tersendiri. Mungkin lepas raya nanti saya akan memulakan perniagaan lukisan secara online yang mana lukisan-lukisan tersebut saya beli dari Indonesia.

"Tetapi masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang bisnes ini. Saya baru ingin mencuba. At least, jika karier seni saya mula 'suram' nanti, saya ada 'back-up'," jelas Scha panjang lebar.

Namun begitu, kata Scha, selagi ada peluang terbentang di depan mata, dia akan cuba menggunakannya sebaik mungkin. Saban hari, kata Scha, dia sentiasa menilai semula prestasi lakonannya agar terus 'memikat' hati produser drama dan filem.

Berbicara tentang kesibukan jadual lakonannya, kata bekas pramugari ini, dia baru saja selesai menjalani penggambaran telemovie 'Lemas Dalam Cinta' yang akan ditayangkan di RTM 1 kelak.

Scha juga akan muncul di dalam drama bersiri 13 episod, 'Awan Dania' yang akan mula bersiaran di Astro Ria pada 22 Oktober depan.

Bukan saja drama, gadis ini juga bakal memulakan penggambaran filem terbarunya, Ransan, arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin pada bulan November nanti bersama beberapa pelakon lain seperti Farid Kamil, Sharifah Amani, Aaron Aziz dan Jehan Miskin.

"Filem tersebut cukup menarik bagi saya. Ia bergenrekan aksi di mana saya memegang watak sebagai seorang agen kerajaan.

"Walaupun hanya sebagai watak pembantu, saya rasa peluang ini cukup bermakna buat saya, lebih-lebih lagi pelakon-pelakon lain yang terlibat semuanya hebat-hebat belaka," kata Scha yang masih menantikan tayangan untuk tiga buah filem lakonannya iaitu Antoo Fighters, Histeria dan Papadom.

Artikel Lain