suria

Takbir Raya memuhasabahkan diri Farah

MULAI malam raya, takbir mula bergema bagi menandakan umat Islam akan menyambut Hari Raya pada keesokan harinya.

Setiap kali mendengar takbir raya itu, penyanyi Farah Diana Anuar atau dikenali dengan panggilan Farah Breep Breep sentiasa bermuhasabah diri.

Apabila memikirkan dosa yang dilakukan kepada Allah, ibu bapa dan memikirkan kesalahan dirinya dahulu yang mungkin tidak disengajakan, rasa insaf terbit dalam dirinya.

Bermula dari situlah Farah menyemai rasa untuk meminta maaf dan saling bermaafan antara satu sama lain.

"Selepas memikirkan dosa silam, kita akan fikirkan pula orang yang sudah meninggal dunia. Dua tahun lalu, datuk saya telah meninggal dunia. Baru-baru ini, saya baru kematian bapa saudara pula. Apabila memikirkan mereka yang telah tiada, banyaklah perkara yang dikenang seperti arwah datuk saya yang suka melawak," cerita Farah penuh syahdu.

Setiap orang mempunyai pengalaman dan kenangan beraya bersama yang tersayang. Begitu juga dengan Farah yang beraya di kampung kedua ibu bapanya yang terletak di sebelah Utara.

Kampung ayahnya terletak di Sungai Petani dan Alor Star, Kedah. Manakala kampung ibunya terletak di Guar Cempedak, Kedah.

Bercerita tentang aktiviti di Hari Raya, nada suara Farah bertukar ceria. Mana tidaknya, gadis berusia 23 tahun ini seronok apabila dapat berjumpa dengan saudara mara di kampung. Katanya, sudah lama tidak berjumpa dengan mereka.

"Masa malam raya, kami menyediakan ketupat palas dan menyediakan bahan makanan untuk esoknya. Saya hanya tolong apa-apa yang patut dan tugasan yang berat diberikan kepada yang lebih tua. Bagaimanapun, bekerja beramai-ramai memang menyeronokkan.

"Hari Raya pertama, saya dahulukan dengan mandi sunat raya. Kemudian, baru gosok baju raya. Selepas selesai solat raya, kami berkumpul dalam 100 orang dan bermaaf-maafan serta menikmati juadah Hari Raya.

"Selepas itu, kami menjalankan aktiviti bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga yang dianggap sebagai tradisi setiap kali beraya. Macam-macam juadah yang ditukar termasuklah kuih bahulu yang biasanya diberikan oleh jiran sebelah rumah. Kami pun dah anggap jiran seperti keluarga dan adik-beradik sendiri.

"Apabila segalanya selesai, barulah saya mencari makanan kegemaran seperti ketupat palas, Laksa, Bihun Sup dan nasi impit kuah kacang. Selepas itu, kami keluar menziarahi jiran tetangga. Masa raya inilah hendak berjalan sakan lebih-lebih lagi di kampung. Apabila pulang ke Kuala Lumpur, suasana kembali menjadi biasa," ujar Farah gembira.

Raya tahun ini, Farah mengenakan empat pasang baju kurung. Farah juga tidak lupa mengenakan tudung apabila ke Pondok Haji Husin kerana menurut Farah, pengasas pondok tersebut adalah moyangnya.

"Moyang saya merupakan tok guru di situ. Jadi, setiap kali menyambut Hari Raya, kami akan berkumpul bersama nenek dan saudara mara sebelah ibu.

"Apabila ke sana, saya dan sepupu perempuan yang lain akan mengenakan tudung bagi menghormati tempat itu. Lagipun, saya tidak janggal untuk memakai tudung dan suatu masa nanti saya akan melakukannya juga," ulas Farah yang manis mengenakan tudung. Wajah Farah bertudung juga boleh dilihat melalui program Rasa Halal Orient yang disiarkan di Astro Oasis.

Artikel Lain