suria

Karyawan Jangan pertikai kerajaan Melaka kurnia Shah Rukh Datuk

PETALING JAYA: Tatkala rata-rata penggiat seni tanah air mempersoalkan gelaran Datuk yang diberikan kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan oleh kerajaan negeri Melaka, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez pula berkata, penganugerahan tersebut tidak perlu dipertikaikan.

Freddie yang dihubungi mStar Online petang tadi menyifatkan kerajaan negeri berhak memutuskan sesiapa saja yang layak diberikan sebarang penganugerahan atau pingat kebesaran tidak kira sama ada melibatkan individu tempatan atau antarabangsa.

"Itu adalah hak Sultan atau Ketua-Ketua Menteri untuk menganugerahkan gelaran Datuk kepada sesiapa yang mereka rasa layak.

"Apa hak kita untuk pertikaikan keputusan mereka?

"Mungkin bagi kerajaan Melaka, Shah Rukh Khan telah berjaya mempromosikan negeri itu di peringkat antarabangsa menerusi filemnya. Mungkin kita merasakan ia tidak munasabah, tetapi kita sebagai rakyat tidak mengetahui sejauh mana Shah Rukh Khan telah membantu negeri itu dari segi pelancongan.

"Sebab itu saya merasakan kita tidak layak untuk mempertikaikan tentang perkara itu dan tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak pun," ujar Freddie.

Semalam, Persatuan Seniman Malaysia yang mewakili artis tanahair membantah perkara tersebut dan menggesa pihak kerajaan negeri membuat penilaian yang sebaik mungkin apabila mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Shah Rukh Khan yang menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sempena dengan ulang tahun ke-70 hari jadi Tun Khalil, Sabtu lalu telah mencetuskan ketidakpuasan hati banyak pihak bukan saja dikalangan penggiat seni tanah air, malah rata-rata masyarakat negara ini.

Seniman juga dijangka menyerahkan surat bantahan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) pada petang ini berhubung perkara terbabit.

Ditanya tentang protes yang dibuat oleh Seniman itu, kata Freddie, ada langkah positif yang boleh diambil oleh sebarang persatuan jika tidak berpuas hati dengan perkara tersebut daripada menunjukkan bantahan.

"Tidak perlu tunjuk protes. Kita ada cara lain yang boleh dibuat. Jika kita (persatuan) rasakan ada penggiat-penggiat seni kita yang lebih layak mendapat gelaran Datuk, kita boleh cadangkan kepada Kementerian nama-nama tersebut agar mereka usulkan kepada pihak kerajaan terbabit.

"Mengambil kira perkara ini, saya mewakili Karyawan juga akan menulis surat kepada Yang Dipertua Negeri Melaka untuk mengatur satu temujanji bersama beliau supaya kami (Karyawan) dapat mengusulkan beberapa nama yang dirasakan layak untuk turut mendapat gelaran Datuk.

"Kalau boleh, saya berharap dapat berjumpa Tun Khalil pada minggu ini juga.

"Apa yang kami buat ini bukan tanda memprotes, tetapi sekadar mencadangkan beberapa nama yang kami rasakan juga patut diambil kira dalam penganugerahan gelaran Datuk ini.

"Apapun, terserah kepada pihak kerajaan itu untuk memutuskan tentang perkara ini. Bagi saya, ini adalah cara terbaik yang kita boleh buat daripada mempertikaikan apa yang dibuat oleh pihak kerajaan," kata Freddie yang akan mencadangkan beberapa nama seperti komposer dan penyanyi M. Nasir, penyanyi kumpulan Alleycats, David Arumugam dan penulis lirik tersohor, Habsah Hassan untuk gelaran tetsebut.

Artikel Berikut

A dream come true for grad

Artikel Lain