suria

Intan berdebar hitung detik akhiri zaman solo

MALAM esok, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Duhai Malam, Intan Sarafina bakal diijabkabulkan dengan kekasih hatinya, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee setelah sebulan setengah mengikat tali pertunangan sejak 31 Ogos lalu.

Perasaan berdebar memang tidak dapat ditangkis lagi di dalam dirinya, lebih-lebih lagi bila memikirkan tanggungjawabnya selepas ini akan bertambah besar.

Namun, akui tuan empunya diri, dia yakin dirinya sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baru di dalam hidupnya. Berkali-kali Intan meluahkan ayat "sudah sampai jodoh" tatkala asyik menceritakan tentang persediannnya menjelang hari bahagia itu.

Namun, penyanyi yang pernah menyertai program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua ini sememangnya tidak begitu suka 'menjaja' tentang kisah percintaannya itu.

Hanya setelah mencetuskan sedikit kontroversi gara-gara penyebaran gambar percutiannya bersama Iskandar tidak lama dulu, barulah Intan mula diburu media untuk mendapatkan penjelasan tentang gambar dan hubungannya dengan jejaka yang bertugas di dalam bidang pemasaran itu.

Malah, setelah bertunang akhir Ogos lalu, Intan juga tidak banyak berbicara tentang hubungan cinta mereka. Kata Intan ketika itu, dia perlu melakukan sedemikian atas kehendak si tunang.

Namun, menyedari status artis yang dipegangnya itu, Intan tidak mengenepikan pihak media dengan turut mengundang rakan-rakan wartawan untuk hadir memeriahkan majlis persandingannya pada Sabtu ini.

Kesempatan berbual dengan Intan baru-baru ini, dia akui agak pening memikirkan tentang majlis yang bakal berlangsung esok, meskipun segala persiapan turut dibantu oleh ahli keluarga.

"Macam-macam yang sedang bermain di fikiran saya ketika ini. Perasaan gementar dan gembira sememangnya bercampur-aduk dalam diri saya. Insyaallah, saya mengharapkan majlis itu nanti akan berlangsung dengan lancar.

"Majlis saya itu 'simple' saja, tidak segah mana pun. Hanya diadakan di rumah keluarga saya di Bandar Sri Permaisuri. Memang sengaja saya nak buat yang simple, supaya dapat beramah-mesra dengan tetamu yang hadir," kata Intan.

Pasangan ini akan diijabkabulkan malam esok selepas Isyak di lokasi yang sama. Pada keesokan harinya, majlis resepsi akan berlangsung sekitar jam 4.30 petang. Manakala di sebelah pihak lelaki pula, satu tarikh akan ditetapkan kelak untuk sebuah lagi majlis resepsi.

Kata Intan lagi, majlis perkahwinannya itu akan berkonsepkan ala Johor yang mana dia akan menggayakan pakaian pengantin rekaan Man Kajang.

Ditanya tentang barangan dan hantaran untuk dirinya, Intan sambil ketawa kecil menjawab:

"Ala, kalau boleh saya tak mahu cerita tentang perkara ini. Hantarannya ialah RM15,000, tetapi yang lain-lain tu, datang sajalah majlis saya nanti dan lihat sendiri, ye," kata Intan dalam nada ceria.

Bercerita pula tentang perancangannya selepas berkahwin nanti, ujar Intan, dia akan tetap meneruskan karier seninya memandangkan bakal suaminya juga tidak pernah menghalang pembabitannya di dalam bidang itu.

"Karier saya tetap akan seperti dulu juga. Masih banyak lagi perancangan saya di dalam bidang ini. Saya juga masih menyimpan hasrat untuk menghasilkan album terbaru kelak.

"Malah, kalau berpeluang, saya juga ingin terus berlakon setelah baru-baru ini membintangi drama bersiri Suara Hati arahan Faizal Ishak. Saya sudah mula rasa seronok berlakon," kata penyanyi berasal dari Stulang Darat, Johor.

Drama yang bakal disiarkan di Astro tidak lama lagi itu turut dibintangi oleh Ezlynn, Zamarul Hisham dan Watie Elite.

"Selepas keluar daripada OIAM dulu, saya terus menerima tawaran berlakon drama tersebut. Selama empat bulan saya sibuk dengan penggambaran drama di samping menjayakan undangan 'show'.

"Selepas ini, saya ingin kembali aktif sebagai penyanyi semula dan cuba mengumpul material untuk album terbaru," kata Intan yang turut menyanyikan tiga buah lagu tema drama tersebut yang dicipta oleh komposer tersohor, Azmeer.

Artikel Lain