NAMPAKNYA Selasa depan penuhlah kehadiran pihak media di Palace of the Golden Horses sempena dengan sidang media khas yang bakal diadakan oleh Mawi bagi mengumumkan perkahwinannya dengan si buah hati, Nora'Ashikin Rahmat yang mesra disapa Ekin itu.Mawi nampaknya mengotakan janji untuk mengumpul semua media bagi mengumumkan tentang hari bersejarahnya itu setelah membiarkan pihak media berteka-teki tentang tarikh 'istimewa' itu sejak pasangan tersebut mendedahkan hubungan cinta mereka sekitar Mac lalu. Namun begitu, di kalangan media sendiri memang ramai yang sebenarnya sudah mengetahui tarikh sebenar majlis perkahwinan pasangan itu.Hanya menanti pengesahan daripada tuan empunya diri memandangkan baik Mawi mahupun Ekin sendiri sentiasa mengunci mulut tatkala diajukan pertanyaan tersebut.Difahamkan, pasangan ini akan dinikahkan pada 20 Disember di Johor dan akan melangsungkan majlis persandingan pada sebelah malamnya di Stadium Bandaraya Johor Bahru. Manakala di sebelah pihak Mawi pula, sebuah resepsi akan diadakan pada 27 Disember.Sebuah majlis di Kuala Lumpur juga akan diadakan pada 11 Januari depan yang dikhabarkan mungkin akan berlangsung di Palace of the Golden Horses dengan konsep 'glam wedding'. Seperti mana perkahwinan gilang gemilang Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa dulu yang turut disiarkan secara langsung di TV3, kali ini majlis hebat Mawi dan Ekin juga akan turut disaksikan oleh jutaan penonton menerusi saluran Astro yang khabarnya sudah sah mendapat hak eksklusif untuk menyiarkan majlis perkahwinan pasangan selebriti ini.Mengimbas kembali kisah cinta pasangan ini, Mawi dan Ekin mula mencuri perhatian media sejak jejaka berasal dari Felda Taib Andak, Johor itu memutuskan pertunangan dengan Ina Naim yang menjadi antara topik panas di media-media tempatan.Pelbagai cerita yang timbul ekoran kes itu dan sudah tentu, Ekin yang ketika itu cukup popular menerusi drama bersiri Kawan itu menjadi 'mangsa' kutukan peminat-peminat setia Mawi yang merasakan gadis berusia 29 tahun itu adalah punca kepada kegagalan hubungan Mawi dan Ina.Walaupun berkali-kali penjelasan dibuat oleh Mawi mahupun Ekin yang menegaskan hubungan mereka terjalin atas dasar persahabatan, pasangan ini tetap menjadi buruan media lebih-lebih lagi apabila tersebarnya pula gambar Mawi bersama Ekin sekeluarga ketika penyanyi itu berkunjung ke rumah keluarga Ekin sempena Hari Raya kira-kira dua tahun lalu.Di mana-mana saja majlis yang dihadiri oleh Mawi, soalan berkisarkan hubungannya bersama Ekin tidak pernah lekang diajukan oleh media.Ditambah pula dengan khabar angin yang mengatakan pasangan itu dalam diam-diam sedang merancang untuk berkahwin.Sehinggalah Mac lalu apabila Mawi akhirnya mendedahkan dia dan Ekin sememangnya mempunyai hubungan istimewa yang terbentuk setelah persahabatan yang terjalin antara kedua-duanya sebelum ini menampakkan keserasian.Sejak itu, tarikh perkahwinan mereka pula menjadi bahan 'teka-teki'. Lebih senang membiarkan semua pihak mengandaikan sendiri, Mawi hanya sering melontarkan ayat "Tunggulah nanti. Saya akan umumkan juga" untuk 'menyedapkan' hati media.Tarikh 21 Oktober ini akhirnya dipilih oleh Mawi untuk 'berdepan' sendiri dengan pihak media dan pastinya penyanyi popular ini telah pun bersedia dengan soalan bertubi-tubi tentang perkahwinannya itu!