suria

Cinta Mamee dan Cornetto ke jinjang pelamin

MENYINGKAP sebalik tirai bibit-bibit cinta pelakon Sharifah Shahora Tuan Syed Akil, 34 dan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, 36 yang bertahan hingga ke jinjang pelamin, membuahkan rasa lucu dan menarik untuk dikongsi bersama.

Melalui bantuan pelakon Sheila Rusly, akhirnya Shahora berjaya memiliki hati Mukhriz yang pada mulanya malu-malu dan pendiam lebih-lebih lagi untuk berbual dengan wanita.

Dengan sekali lafaz, Shahora dan Mukhriz selamat dinikahkan oleh bapa Shahora, Tuan Syed Akil Syed Alwi dengan disaksikan oleh penolong pendaftar nikah kawasan Ulu Klang, Mohd. Zubir Abdullah, tepat pukul 10.30 pagi semalam.

Shahora menerima mas kahwin RM80 beserta wang hantaran RM 21,974 dan lima dulang hantaran lain iaitu Al-Quran, beg tangan dan kasut, set minyak wangi, jam tangan dan telefon bimbit dan sirih junjung.

Pelakon drama Enot ini juga menerima sebentuk cincin sebagai tanda pernikahan mereka manakala seutas gelang tangan bagi menyempurnakan upacara pertunangan yang dilakukan 10 minit terlebih awal sebelum majlis pernikahan tersebut.

Mukhriz pula menerima 10 dulang hantaran daripada Shahora berupa sirih junjung, jam tangan dan cermin mata, tali pinggang, kamera video, sejadah, buah-buahan, kek, kasut, tuala dan bunga rampai.

Menurut Shahora, diikutkan dia hanya menyediakan sembilan dulang untuk Mukhriz tetapi memandangkan rakan-rakannya ada menambah hantaran tersebut, maka sebab itu jumlah hantaran bertambah.

Berbalik kepada cerita cinta Shahora dan Mukhriz, kesempatan berjumpa dengan Shila Rusly yang turut hadir dalam majlis tersebut digunakan untuk bertanya lebih lanjut tentang hal itu.

Shila bukan sahaja mengakui hal tersebut, malah dia juga terkejut apabila diajukan persoalan tersebut.

Memulakan ceritanya, Shila berkata, Shahora dan Mukhriz dipertemukan semasa pengambaran drama pertama arahan Mukhriz iaitu Lain Padang Lain Belalang di Parit, Perak kira-kira enam tahun lalu.

"Saya dan Shahora memang rapat sejak berlakon drama Enot. Sejak daripada itu, kami selalu menjalankan aktiviti luar yang sihat. Suatu hari, saya menasihatkan dia supaya mencari jodoh cepat-cepat.

"Saya bergurau dengan Shahora supaya cuba memikat Mukhriz. Tetapi Shahora tidak berminat dengan lelaki berambut panjang.

"Saya tetap merencanakan sesuatu untuk menyatukan Shahora dan Mukhriz. Dengan sepeket Mamee, saya mengayat Mukhriz untuk Shahora. Saya katakan Shhaora yang beri kepadanya.

"Bila mendapat Mamee tu, Mukhriz hanya tersenyum. Nampak dia buka peket tu, terus kami anggap cinta Shahora berbalas. Selepas daripada itu, mulalah terbit bibit-bibit cinta antara mereka berdua.

"Sehari selepas tu, Mukhriz pula 'menjual' aiskrim Cornetto kepada Shahora. Dia pun guna orang tengah. Saya berpesan kepada Shahora supaya mencari lelaki bujang sebab sebelum ni artis dilabel dengan orang berpangkat besar dan suami orang. Saya nasihat Shahora dengan berkata, kita akan rasa berbeza kalau berkahwin dengan orang bujang ni," beritahu Shila sambil tersenyum.

Selain Shila, selebriti lain yang turut hadir memeriahkan majlis adalah suami Shila, Jinggo yang juga pengarah drama terkenal, pengarah filem terkenal Mamat Khalid, Raja Azmi, pelakon Rosnah Johari, Anne Hamid, dan Shazleen Shahbi.

Dianggarkan kira-kira 200 orang yang menghadiri majlis yang berlangsung di Masjid Al-Iman, Kemensah, Ulu Klang itu.

Selepas menjalinkan cinta selama enam tahun, keluarga Mukhriz menghantar rombongan merisik Shahora pada 30 Ogos lalu.

Diikutkan, pasangan ini bercita-cita hendak melangsungkan perkahwinan lebih awal iaitu kira-kira bulan Ogos lalu tetapi disebabkan Shahora baru menerima berita kematian arwah datuknya, jadi terpaksalah ia ditangguhkan.

"Syukur, selepas enam tahun bercinta, akhirnya keluarga saya merestui hubungan kami ini. Saya merasakan hari ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya. Bayangkan, selepas 34 tahun baru saya bergelar seorang isteri," kata Shahora sambil tersenyum manis dengan mengenakan busana pengantin berwarna putih tajaan Jedan Collection, PKNS Shah Alam.

Menurut Shahora, baju kurung moden itu disiapkan dalam masa dua minggu lalu.

Sementara Mukhriz yang mengenakan baju Melayu putih rekaan butik Din Wahab Collection pula kelihatan sedih bercampur gembira saat bersalaman dengan keluarga terdekat sehingga tidak mampu menahan sebak saat memeluk Mamat Khalid.

"Walaupun majlis kami dibuat dalam masa dua minggu, saya rasa syukur Alhamdulillah sebab majlis ini berjalan dengan sempurna dan kami dapat mendengar khutbah dan nasihat yang diberikan oleh ustaz," kata Shahora.

Mukhriz pula menambah, "Kami rasa bertuah sebab dapat membuat majlis akad nikah di masjid ini."

Jelas Shahora, semasa mereka bercinta, dia sudah merasai nikmat bercinta seperti pasangan lain. Menariknya, Shahora berkata mereka sempat 'dating' di pejabat sahaja iaitu Merah Maya Motion Picture. Syarikat tersebut merupakan syarikat perkongsian antara Mukhriz dan Shahora.

"Selepas bergelar isteri Mukhriz, saya berhasrat untuk merasai nikmat memasak untuk suami pula. Saya akan cuba memasak makanan kegemaran dia seperti spagetti dan sosej istimewa," beritahu Shahora.

Saling melengkapi

Bertanya kepada Mukhriz tentang sebab dia memilih Shahora, katanya, Shahora berjaya menutup kelemahan yang ada dalam dirinya begitu juga sebaliknya. Ini bermakna antara mereka ini bagaikan saling melengkapi.

Paling menarik, Shahora merupakan seorang yang riuh rendah manakala Mukhriz pula seorang yang pendiam. Jadi, kontras antara keduanya menjadi penyebab mereka mampu meneguhkan ikatan bersama sehingga ke jinjang pelamin.

"Sebelum ini, saya tidak mempunyai teman wanita dan hidup saya sunyi. Saya perlukan seorang wanita yang boleh menjaga saya dan Shahora adalah pilihan yang tepat. Dia juga seorang yang ringkas," celah Mukhriz.

Kembali sibuk di lokasi

Menurut Shahora, mereka berkahwin dalam kesibukan menjalani pengambaran filem pertama arahan Mukhriz iaitu Ransan.

Filem lakonan Jehan Miskin, Sharifah Amani, dan Atilia ini bakal memasuki pengambaran di Ipoh selepas seminggu mereka melangsungkan majlis pernikahan ini.

Lepas sebulan melakukan penggambaran, baru mereka boleh menentukan tarikh persandingan. Namun, kata Mukhriz, mereka akan cuba melaksanakan majlis tersebut sebelum hujung Disember depan.

Begitu juga dengan bulan madu mereka, pasangan ini belum membuat apa-apa keputusan.

"Saya suka Brussels, England sebab sebelum ini Mukhriz pernah bercerita tentang tempat tersebut ketika dia menjalani pengambaran filem Bilut di sana. Lagipun, dia mempunyai keluarga angkat di sana," tutur Shahora yang tidak menolak rezeki jika dikurniakan anak dalam masa terdekat ini.

Kehidupan mereka tambah bermakna dengan kehadiran anak angkat mereka yang diberi nama Puteri Fiedra Mukhriz, 5 bulan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain