suria

Tuntutan nafkah Wan Nor Azlin tiada motif penceraian

SEJAK bergelut dengan kes ah long, ramai produser yang menawarkan lakonan kepada pelakon Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain.

Hal ini diakui sendiri oleh wanita berusi 40 tahun ini yang bersyukur dengan kerja yang diberikan.

Sekurang-kurangnya ada juga pendapatan untuk menyara anak-anak selepas ditinggalkan suami, Mohd. Yazli Yaacob, 38 sejak 10 Julai lalu tanpa sebarang nafkah.

Selepas lebih empat bulan menunggu kepulangan suami, akhirnya pelakon yang pernah dilanda kontroversi suatu ketika dahulu ini memutuskan untuk memfailkan tuntutan nafkah ke atas diri dan anak-anaknya daripada suaminya di Mahkamah Rendah Syariah daerah Petaling Jaya semalam.

Jelas Azlin, tuntutan tersebut dibuat kerana semua perbelanjaan rumah termasuk tunggakan bil air dan elektrik, duit rumah dan kereta serta makan dan minum anak-anak iaitu Daniel Luqman,8; Danny Iskandar, 7 dan Dania Camelia, 4 tahun kini ditanggung olehnya.

"Alhamdulillah, sudah ramai produser yang baru buka mata untuk menerima saya kerana dulu mereka takut-takut. Mungkin mereka bersimpati dengan kehidupan saya. Apa pun, saya anggap semua ini rezeki anak-anak.

"Masa bulan puasa lepas, saya mendapat dua job dan selepas Raya pula, saya mendapat dua job lagi. Kira bolehlah kalau setakat nak bayar bil elektrik dan air serta buku anak-anak.

"Tentang suami, dia tak nak balik tak mengapa tetapi sekurang-kurangnya bagilah nafkah untuk saya dan anak-anak.

"Dia juga tak hubungi saya. Kali terakhir dia telefon pada 20 Julai lalu dan katanya, kalau ada apa-apa SMS sahaja," kata Azlin yang turut bersyukur kerana ah long juga tidak mengganggunya lagi.

Azlin turut ditemani oleh peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Dalam masa yang sama, Azlin turut menyatakan kerisauannya apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan oleh suaminya pada 27 Julai lalu yang seolah-olah mahu menceraikannya.

"Mesej tu bertulis minta berpisah dan jangan carinya lagi demi masa depan anak-anak," kata Azlin kepada pemberita di luar mahkamah.

Tambah Azlin, :"Saya dah lama tak berlakon dan baru sahaja mula berlakon semula. Itupun tidak banyak. Saya dah tak boleh survive. Sebagai suami, dia perlu bertanggungjawab.

"Saya tak tahu dia di mana walaupun sudah bertanyakan keluarganya. Saya akan menghantar surat kepada keluarganya di Batu Gajah, Perak dan bertemu dengan pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya memberitahu suami" jawab Azlin yang baru selesai pengambaran telefilem Iktikaf untuk TV3 dan terlibat dengan pengambaran enam episod dalam drama 20 episod Anak Betung.

Selain itu, drama bersiri Sofea Zahralakonannya juga sedang disiarkan di Astro Ria pada setiap hari Selasa, pukul 9 malam.

Dalam masa yang sama, Azlin juga meluahkan dia tidak mahu bercerai dan semua yang dilakukan tiada motif untuk bercerai.

"Jika dia mahu pulang, saya akan terima dia seadanya tetapi dia mesti berubah. Jangan bagi 1001 masalah lagi.

"Itu hak dia dan saya tak tahu isi hati dia. Selepas ini saya akan menunggu hari mediation pada 18 November depan," kata Azlin.

Dalam kata lain, kes tersebut meminta pihak defendan, Yazli supaya tampil ke mahkamah tersebut pada tarikh berkenaan, pukul 9 pagi.

Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Wan Nor Azlin pernah disimbah cat merah kerana suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, yang gagal membayar hutang ah long.

Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.

Mohd. Yazli menjelaskan punca dia menghilang kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 ah long selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain