Ashraf kini di Jakarta untuk persiapan akhir majlis perkahwinannya dengan Bunga Citra Lestari Sabtu iniPETALING JAYA: Sabtu ini akan menjadi saksi penyatuan cinta pelakon dan pengacara popular Ashraf Sinclair bersama buah hatinya yang merupakan selebriti terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari.Mereka akan diijabkabulkan di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta, sekitar pukul 3 petang. Pelakon dan pengacara berusia 29 tahun itu telah membuat pengumuman tentang majlis perkahwinannya bersama Bunga di Jakarta pada 12 Oktober lalu.Percintaan pasangan selebriti ini sememangnya bukanlah satu rahsia lagi.Perkenalan sejak beberapa tahun lalu ketika Ashraf menemubual penyanyi dan pelakon popular Indonesia itu untuk program Beat TV yang disiarkan di Astro akhirnya berlanjutan sehingga mereka akui wujudnya perasaan cinta di hati masing-masing.Namun tatkala menghitung detik untuk disatukan sebagai suami isteri, pasangan yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi gara-gara penyebaran gambar bercium mereka di Bali tidak lama dulu, turut 'dipanaskan' dengan khabar angin yang mengatakan Bunga sebenarnya sudah hamil.Disebabkan itu, pasangan tersebut dikatakan terpaksa melangsungkan pernikahan dengan segera.Namun begitu, Bunga seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar Indonesia tidak lama dulu lalu menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan, perkahwinan mereka sebenarnya sudah mula dirancang sejak beberapa bulan yang lalu.Baik Bunga mahupun Ashraf sendiri akui, mereka sememangnya sudah bersedia untuk melayari hidup sebagai suami isteri.Lantaran itu, tarikh 8 November itu dirasakan pasangan ini cukup sesuai untuk menyatukan cinta mereka.Selepas bernikah nanti, Ashraf telah mengambil keputusan untuk menetap bersama bakal isterinya itu di Jakarta dan meneruskan karier seninya di sana.Namun sesekali, aktor ini akan tetap kembali ke Malaysia jika ditawarkan tugasan di sini, selain perlu memantau bisnes yang diusahakan termasuklah perniagaan bersama rakan artis, Sazzy Falak."Walaupun saya sudah buat keputusan untuk menetap dan meluaskan pengalaman di sana, saya tetap akan terus berda di bawah syarikat pengurusan saya, Beyond Artistes dan akan tetap mengambil peluang berlakon atau mengacara di sini jika ada tawaran."Pada masa yang sama, saya akan cuba meluaskan lagi karier seni di Indonesia," kata Ashraf dalam satu kenyataan di sini.Ashraf pernah membintangi filem terbitan negara itu berjudul Pocong dan sebuah lagi bersama Bunga berjudul Sos Kacang.Dia juga dijangka akan membintangi sebuah drama bersiri di sana kelak.Lebih menarik lagi, produk penjagaan kulit Ponds di Indonesia yang melantik pasangan ini sebagai duta mereka, akan menyiarkan segmen khas tentang hubungan percintaan mereka yang akan disiarkan di sebuah stesen televisyen negara itu.Pasangan selebriti ini juga akan mengadakan majlis resepsi di Hotel Sultan, Jakarta pada pukul 7 malam keesokan harinya dengan turut dihadiri oleh kira-kira 50 ahli keluarga dan kenalan rapat Ashraf di Malaysia.Bagi pihak Ashraf pula, dua majlis resepsi akan diadakan di Kuala Lumpur seminggu kemudian.Resepsi yang pertama akan berlangsung di The Saujana Kuala Lumpur pada 14 November dan ia akan disusuli di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara.