suria

Festival Fesyen Islamik VI berorientasi kebajikan

ACARA gemilang, Festival Fesyen Islamik (IFF) di bawah naungan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, ister Timbalan Perdana Menteri Malaysia akan kembali buat kali keenam selepas dianjurkan sejak dua tahun lalu.

Istimewanya tentang IFF VI ini, Pengarah Urusan Nusantara Gems Sdn. bhd. Datuk Raja Rezza Shah atau lebih dikenali dengan Shah Reza berkata festival kali ini berorientasikan kebajikan.

"Kami melihat kepada kesedaran kepada masalah yang timbul di kalangan badan-badan kebajikan untuk mengumpul dana bagi menyalurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Kita bukan sekadar menjual baju malah turut membangunkan kesedaran kepada golongan-golongan tertentu yang berlandaskan kepada agama Islam.

"Di dalam IFF, kita bukan sahaja menghimpunkan fasionista tetapi dalam masa yang sama melibatkan badan-badan kebajikan.

"Tiada jumlah tertentu yang kami sasarkan untuk kebajikan ini tetapi sekurang-kurangnya semua yang dilakukan memberi pulangan kepada kebajikan," ujar Shah Reza ketika majlis sidang media IFF VI di JW Marriott Hotel, Kuala Lumpur semalam.

Shah Reza turut menyatakan motif IFF untuk berdakwah secara halus. Namun, perjuangan ini pastinya berlangsung dalam tempoh waktu yang panjang.

"Kalau boleh saya nak jadikan Kuala Lumpur sebagai hab busana muslim pada suatu hari nanti. Semuanya masih dalam perancangan dan kita mengambil langkah realistik untuk melakukan semua ini," tambahnya.

IFF VI kali ini dimulakan dengan sebuah bengkel busana muslim yang membawa tema 'Aurat' akan diadakan pada 22 November ini, pukul 9.30 pagi di Starhill 1, JW Marriott Hotel, Kuala Lumpur.

Ia menampilkan penceramah terkemuka Datuk Dr. Fatima Al Zaharra, Prof. Madya Mohd. Najib dan Noor Kumalasari.

Para peserta yang berminat, bolehlah menghubungi 03-4256 2060 atau 019-3131 550. Menurut Shah Reza, bengkel tersebut hanya dibuka kepada 100 orang dengan bayaran RM220.

Ini diikuti dengan acara selama empat hari berturut-turut mulai 24 hingga 27 November ini di Mayang Sari ballroom, hotel yang sama.

Majlis gilang-gemilang ini akan diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Permaisuri-Permaisuri baginda serta orang kenamaan.

Seramai 44 pereka fesyen dari Malaysia, Indonesia, India, Pakistan dan Dubai akan mengambil bahagian dalam IFF VI ini nanti.

Antaranya adalah Datuk Tom Abang Saufi, Datuk Bernard Chandran, Biyan, Jun Escario dan lain-lain lagi.

Pada tahun ini sebanyak sembilan buah badan kebajikan bekerjasama dengan IFF VI iaitu Yayasan Institut Jantung Negara, Yayasan Tuanku Najihah, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah Darul Aman (PBANK), Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM).

Peringkat akhir Anugerah Pereka Muda IFF yang dilancarkan pada Julai lalu akan disiarkan secara langsung oleh TV3 pada 26 November ini, pukul 11 pagi di JW Marriot Hotel, Kuala Lumpur.

Pertandingan yang julung kali diadakan ini akan diserikan dengan keberangkatan Seri Paduka baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Shah Reza berkata seramai lapan orang finalis melibatkan pelajar di institut pengajian tinggi yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Mereka adalah Noraidah Manap, Lee Suk Yin, Nabella Erwani, Rivon Teh Shuk Pei, Wan Mohd. Ridzuan, Yee Chau Fei, Farah Naquiah dan Sabrina Tan Huei Yee.

Program yang dihoskan oleh Norfarahin Jamsari dan Ally Iskandar ini turut mengundang pereka fesyen Jasmi Rejab dan Dezairil dari Malaysia serta Hengky Kawilarang dan Defrico Audy (Indonesia) dan penyanyi kumpulan Akasia yang bakal membuat persembahan.

Datuk Tom Abang Saufi, Datuk Bernard Chandran, Prof. Najib, Ustazah Nurba'iyah, Noor Kumalasari dan Tuan Hasnah dari Sri Minawarrah akan bertindak selaku juri.

IFF VI kali ini turut diserikan dengan persembahan artis-artis terkemuka tanahair seperti Datuk Sheila Majid, Deja Moss, Aizat AF5, Mawi dan Jaclyn Victor.

Terdapat juga artis-artis yang memperagakan busana muslim seperti pelakon Ako Mustapha, Eizlan Yusof, Ady Putra, Tony Eusoff, Rizal dan Fahrin Ahmad.

Pesta Busana Muslim merupakan upacara terakhir dalam IFF VI di ruang legar KL Plaza, Kuala Lumpur.

Acara satu minggu ini akan diadakan mulai 28 November hingga 4 Disember depan.

IFF VI dipersembahkan oleh Nusantara Gems Sdn. Bhd. dan JW Marriott Hotel. Penaja utamanya ialah IBEX dan Tourism Malaysia.

Untuk IFF ketujuh tahun depan, Dubai disasarkan sebagai negara seterusnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain