suria

Nasi Temuan keistimewaan resepsi DejaAndy

WALAUPUN mengalami kesukaran untuk mendapatkan pakaian pengantin, ia tidak memudarkan semangat penyanyi Sharifah Hadijah Wan Moss atau Deja Moss, 35 dan suami, Azfendy Azzuddin, 29 mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka dalam keadaan yang meriah pada 16 November lalu di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Menurut Deja, pihak yang sepatutnya menyediakan pakaian pengantinnya bukan sahaja tidak dapat menyiapkannya, malah turut melarikan diri.

"Nasib baik ada Putra Aziz dari Cosry yang menaja gaun pengantin pada saat-saat akhir," beritahu Deja kepada mStar Onlinesemalam.

Sementara itu, pakaian suaminya ditaja oleh Julia Manja yang turut diterima dua jam sebelum pasangan ini menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Pasangan yang dinikahkan pada 30 Ogos lalu turut mendapat tajaan pelamin yang direka khas oleh Julia Manja manakala yang lainnya diuruskan oleh ahli keluarga sebelah ibu Deja.

Luah Deja, bagaimanapun dia tetap berpuas hati dengan majlis yang dikunjungi oleh 1,200 orang tetamu itu walaupun terdapat beberapa masalah.

Antara mereka yang menghadiri majlis bertemakan warna ungu dan putih ini adalah keluarga dan saudara mara kedua belah mempelai, penyanyi Anuar Zain, penulis lirik Habsah Hassan dan pelakon Rubiah Suparman.

Lebih mengejutkan, tambah Deja, ada juga tetamu yang datang melebihi daripada jangkaan.

Cerita Deja, majlis yang berlangsung seawal pukul 9 pagi itu dimulai dengan upacara khatam Al-Quran, seterusnya upacara berzanji dan berzikir.

"Selepas itu, perarakan masuk pengantin dan upacara menepung tawar dilakukan oleh 20 orang.

"Majlis memotong kek menyusul selepas majlis makan beradap.Selepas itu, upacara pertandingan makan 'Nasi Temuan' iaitu adat orang Sarawak meraikan pasangan yang baru berkahwin dilakukan.

"'Nasi Temuan' merupakan singkatan kepada 'Nasi Pertemuan'. Dengan menggunakan nasi putih, pengantin akan menyuap tiga kali ke mulut masing-masing.

"Selepas itu, pengantin akan berbalas suapan dengan pasangannya dan ia dikira mengikut siapa yang menyuap paling pantas," beritahu Deja.

Balik rumah sebelum suami

Kini, sudah hampir empat bulan Deja mendirikan rumah tangga dengan Andy.

Walaupun tiada banyak perubahan yang berlaku dalam dirinya, namun sekurang-kurang Deja lebih memastikan dirinya pulang terlebih awal daripada suaminya yang bekerja sebagai Pengurus Besar DC Industries.

"Kalau saya keluar pagi, saya kena pastikan pulang sebelum suami balik sebab perlu masak untuknya.

"Bagaimanapun, saya masih lagi melakukan aktiviti nyanyian seperti biasa jika mendapat keizinan suami. Jika Andy ada kelapangan, dia akan mengikut saya menghadiri persembahan," jawab Deja yang sedang sibuk menunggu resepsi kedua sebelah pengantin lelaki pada 1 Januari depan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Jadi, buat masa ini, Deja hanya menumpukan kerja-kerja menyediakan majlis resepsi kedua ini.

"Mungkin selepas majlis resepsi itu selesai baru saya sibukkan diri dengan nyanyian semula. Saya agak pada tahun depan untuk aktif dalam bidang ini. Tetapi, saya tak menolak jika ada tawaran show buat masa sekarang ini," akhiri Deja yang turut berseloroh badan suaminya semakin naik selepas mereka berkahwin.

Mempelai dinikahkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid, Ustaz Mohd. Nazarudi Nadzir mewakili bapa Deja, Wan Moss Wan Hamid.

Penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini menerima mas kahwin RM1,111 bersama sembilan dulang hantaran tanpa memberitahu jumlah wang hantaran yang diterimanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain