JIWA wanita tampak lebih ditonjolkan melalui lagu-lagu dari album pertama Nikki, Maharani.Semangat yang dibawa pemilik nama Nicollette Louisa Palikat ini masih diperjuangkan sehingga sekarang. Jadi, tidak mustahil sekiranya wanita berusia 23 tahun ini bakal tampil dengan album yang menunjukkan kekuatan wanita melalui album keduanya yang bakal berada di pasaran mulai 28 November depan.Buat permulaannya, Nikki mempertaruhkan single Relakan dan Selamat Tinggal yang sedang diperdengarkan di stesen radio tempatan.Bukan itu sahaja, album terbarunya yang sudah siap dirakamkan ini lebih menonjolkan kematangan Nikki sebagaimana tiga tahun dia bertapak dalam industri seni ini."Dibandingkan dengan album Maharani, album ini lebih dewasa. Melalui pengalaman yang saya timba selama tiga tahun ini, banyak yang saya pelajari tentang vokal, 'feel' dan penyampaian lagu."Saya belajar daripada orang lain dan album pertama dulu. Sekarang, baru saya perasan yang album dulu banyak yang tak sempurna."Namun, saya suka sebab sekurang-kurangnya cela itu membuatkan saya berusaha untuk melakukan peningkatan."Saya juga sama seperti orang lain yang tidak pernah merasa puas dengan apa yang dilakukan. Jadi, sebab itu saya bersungguh-sungguh untuk membuat yang terbaik dalam album kedua ini," ujar Nikki ketika ditemui di Menara Star, Petaling Jaya semalam.Antara komposer yang terlibat dalam album yang berkemungkinan diberi judul 'Hawa' itu adalah Kieran Kuek, Pam Yuen, Faizal Tahir dan Audi Mok.Bekas pelajar Matrikulasi Sains Hayat di Kolej Matrikulasi Labuan ini turut menyumbangkan lagu di dalam album tersebut.Biarpun bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri muzik tanahair, Nikki tidak merasakan yang dirinya boleh lepas tangan dan membiarkan semua tugas dilakukan oleh komposernya."Saya akan bawa balik lagu-lagu dan mendengarnya di rumah. Contohnya, kalau saya rasakan sesebuah lagu itu lebih sesuai dimasukkan unsur klasik, saya akan berbincang dengan komposer itu."Saya rasa bertuah sebab mendapat komposer yang fleksibel dan memahami jiwa saya," cerita Nikki yang berjaya merakamkan 10 buah lagu dalam masa tiga bulan.Nikki telah selesai menyiapkan proses rakaman dan 'mastering' lagu, kini dia menantikan proses fotografi untuk kulit album pop Melayu moden itu.Melalui bantuan label Artistes United Records Sdn. Bhd. (AUR) yang dinaunginya, Nikki berharap konsep taman yang menampakkan kematangannya nanti tidak mengundang kontroversi.Apa yang pasti, pihak pengurusannya yang diketuai oleh Vernon Kedit-Jolly itu telah mengatur segala-galanya dari segi membina set taman untuk sesi fotografi kulit album tersebut sehinggalah langkah mempromosikan album mulai awal Disember depan."Saya yakin, kulit album kedua ini mampu menarik perhatian dengan kematangan yang ditonjolkan melalui konsep taman itu," tutur Nikki mengenai album yang turut memuatkan dua buah lagu Inggeris itu.Temui cinta dengan jejaka CinaBercerita tentang cinta, penyanyi yang pernah memenangi Vokal Duo Pilihan di Anugerah Era 2006 menerusi kolaborasi lagu Caramu bersama Zahid ini mengaku yang dirinya sedang mengenali jejaka Cina dari Melaka.Walaupun Nikki tidak menyebut siapakah gerangan lelaki itu, namun rasanya ramai sudah maklum yang Nikki sekarang sedang berkawan dengan komposer terkemuka, Audi Mok.Tiada beza walaupun tanpa NingKejayaan Ning dan kesungguhan Vernon menjadi inspirasi kepada Nikki untuk mencontohi mereka. Baginya, Ning menurunkan banyak ilmu malah kerap membawanya mengikuti persembahan untuk melihat cara Ning beraksi dan berinteraksi dengan penonton.Akui Nikki, dia tidak dilanda masalah walaupun Ning sudah tidak sebumbung dengannya lagi kerana mereka berdua masih berhubung antara satu sama lain namun tidaklah berjumpa sekerap dulu."Kak Ning masih berhubung dengan saya dan tidak lokek memberikan ilmu. Saya melihat dia sebagai kakak saya dan bukannya pengarah AUR lagi."Tanpa dia, saya tidak merasa kekok kerana saya percaya label AUR boleh membawa saya maju ke hadapan," beritahu Nikki yang turut berkongsi label dengan Nubhan AF6.Tidak cemburu dengan NubhanSelepas kemasukan Nubhan ke dalam label tersebut, ternyata perhatian pihak pengurusan lebih banyak diberikan kepadanya.Apabila diajukan kepada Nikki mengenai hal tersebut, selaku artis senior, Nikki akui Nubhan masih baru dan tumpuan seharusnya lebih diberikan kepada yang memerlukan."Terus-terang saya katakan, saya langsung tidak merasa cemburu dengan Nubhan kerana dalam industri ini banyak perkara yang saya lebih tahu daripada dia."Kadangkala saya juga perlu usaha sendiri dalam setiap kerja yang dilakukan."Saya sentiasa memegang kata-kata Vernon iaitu kita perlu berusaha kalau nak orang tolong kita," kata Nikki yang bercita-cita untuk berduet dengan penyanyi rock pada masa akan datang jika berpeluang.