suria

Anak Halal dan Impak Maksima semarakkan Aidiladha di Astro

DALAM usaha untuk meneruskan kegemilangan dan tradisi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan dan memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha pada kali ini, Astro terus mengambil inisiatif untk menawan hati para para pelanggan dengan menawarkan kepelbagaian kandungan tempatan mahupun dari luar negara melalui saluran-saluran pilihannya.

Setiap rancangan yang bakal menemui para pelanggan adalah bersesuaian dan sinonim dengan objektif dan penonton sasaran setiap saluran.

Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini menjadi lebih menarik apabila Astro telah membariskan himpunan pelbagai program dan genre yang diwarnai dengan nama-nama hebat dalam arena hiburan di salurannya yang pelbagai.

Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha di Astro dapat dirasakan bermula pada malam Hari Raya Aidiladha lagi apabila saluran-saluran pilihan Astro bergilir-gilir menyusun jadual agar para pelanggan dapat menikmati hiburan yang berterusan.

Saluran yang sinonim dengan penayangan program-program ilmiah, Astro Oasis akan menayangkan rakaman semasa pertandingan akhir nasyid dan marhaban, Marhaban Di Astro [7 Dis 08, 12 tengah hari, Astro Oasis] yang berlangsung di Bukit Tinggi, Klang baru-baru ini.

Saksikan bagaimana kumpulan Ar-Rayyan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, Johor berjaya membawa pulang gelaran juara mengalahkan peserta-peserta hebat yang lain.

Kemeriahan diteruskan lagi dengan tayangan filem Iran yang berjudul The Day Looms [7 Dis 08, 2 petang, Astro Oasis].

The Day Looms mengisahkan tentang sepasang kekasih yang pergi bercuti ke sesebuah tempat bagi mencari ketenangan untuk beberapa hari tetapi malang sekali kunjungan mereka pada hari pertama lagi telah diganggu oleh mereka yang tidak diundang dan mencacatkan percutian mereka.

Filem komedi lakonan Ning Baizura, Saiful Apek dan Yusry KRU; Lady Boss pula akan menemui para penonton pada jam 5 petang pada hari yang sama di Astro Ria.

Lady Boss mengisahkan tentang Sheila, anak manja kepada Dato Ismail yang dicabar oleh bapanya untuk menguruskan syarikat milik keluarga dalam tempoh dua bulan. Kehadiran dua pekerja baru di syarikat itu kemudiannya benar-benar menguji kesabarannya.

Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha semakin dirasai pada malam hari apabila Astro menawarkan lebih banyak pilihan rancangan di saluran-salurannya. Pada jam 9.15 malam, Astro Ria dengan bangganya membawakan Impak Maksima, sebuah filem aksi lakonan Awal Ashari, Eizlan Yusof dan Dynaz.

Impak Maksima mengisahkan tentang Ayie, seorang pelajar kolej yang hanya berminat untuk berlumba kereta dan mengenali gadis-gadis cantik di kolejnya.

Sementara itu, Astro Prima tidak mahu ketinggalan dalam menawarkan program-program terbaik pada malam Raya. Sebuah telemovie hebat Panggilan Ilahi pula bakal menemui para penonton pada jam 10.00 malam di salurannya, 105.

Telemovie istimewa Panggilan Ilahi ini dibintangi oleh Safura, Faizal Husin, Nabila, Rosnah Mat Aris dan Sidek Husin ini berkisar tentang kehidupan Pak Ali, seorang lelaki buta yang miskin dan ingin menunaikan hajat terakhirnya untuk menunaikan haji.

Pak Ali bekerja menjual bakul bakul jahitannya setelah isterinya meminta cerai dan membawa anak-anaknya Johan dan Suzana pergi.

Sebelum Pak Ali pergi ke Mekah, dia ingin bertemu dengan bekas isterinya dan anak-anaknya namun takdir menentukan dia tidak dapat pergi kerana diserang strok akibat daripada penolakan bekas isteri dan Johan.

Namun demikian Suzana menerima keadaan ayahnya dan berjanji akan menjaganya tetapi Pak Ali meninggal dunia tatkala bekas isterinya dan Johan ingin memohon maaf atas perbuatan mereka.

Bagi memberi lebih pilihan dan hiburan maksima, telemovie Bisikan Azazil akan bersiaran di Astro Ria pada jam 11 malam, 7 Disember.

Bisikan Azazil mengisahkan tentang seorang remaja perempuan bernama Kid yang melarikan diri dari rumah dan berkawan dengan rakan “pengkid” lain. Pada suatu hari dia ditangkap oleh polis kerana disyaki membunuh ibunya.

Bapanya, Tahir, merupakan seorang peguam dan telah berjaya meyakinkan mahakamah untuk membebaskan anaknya ke dalam pengawasannya di rumah. Kid berkeras yang dia tidak melakukan jenayah itu dan berazam untuk mencungkil perkara sebenar.

Dia melarikan diri dari rumah sekali lagi untuk cuba menyelesaikan misteri pembunuhan ibunya. Saksikan kesudahan telemovie hebat yang dibintangi oleh Nabila Huda, Ako Mustafa, Vanidah Imran, Memey Suhaiza, Khir Rahman, Enot dan Fahrin Ahmad ini.

Sambil menjamu selera dengan pelbagai juadah istimewa pada pagi Hari Raya Aidiladha, luangkan masa beramah mesra dengan ahli keluarga sambil menonton sebuah filem komedi Indonesia; Inikah Rasanya Cinta [8 Dis 08, 1.30 petang, Astro Kirana].

Filem ini turut dibintangi oleh Rianti Cartwright (Ayat-Ayat Cinta) mengisahkan tentang percintaan di antara dua orang sahabat. Filem ini mungkin dekat di hati para penonton yang pernah bercinta sesama rakan karib tetapi tidak menyedari perkara tersebut.

Lebih banyak pilihan boleh dibuat untuk tontonan pada malam hari. Buat pertama kalinya, Astro Kirana dengan bangganya membawakan filem yang telah menabalkan Maya Karin sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini menerusi Anak Halal [8 Dis 08, 9.00 malam, Astro Kirana]. Filem aksi arahan Osman Ali ini turut dibintangi oleh Farid Kamil.

Sementara itu, Astro Oasis juga tidak ketinggalan untuk menayangkan telemovie istimewa yang memberi pengajaran tentang ibadah qurban haruslah dibuat kerana Allah dan bukan kerana ingin mendapatkan pujian manusia atau habuan dunia melalui Taqarrub [8 Dis 08,10.00 malam, Astro Oasis].

Jangan lupa untuk semarakkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan menonton program-program hebat Astro bermula pada malam Hari Raya Haji Aidiladha lagi!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain