suria

Finas mungkin diletak di bawah Kementerian Penerangan?

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan akan membawa cadangan supaya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan pemberian lesen bagi penyiaran radio dan televisyen swasta diletak di bawah tanggungjawab kementerian itu ke Kabinet.

Menteri berkenaan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata Malaysia mungkin boleh mencontohi negara luar yang menyelaraskan agensi seumpamanya di bawah satu kementerian bagi memudahkan pemantauan secara keseluruhan industri penyiaran negara.

"Atas cadangan itu, kita mungkin akan bincangkan dengan Perdana Menteri dan bawa ke Kabinet...mungkin kita boleh contohi negara lain jika agensi berkenaan diletak di bawah satu kementerian.

"Tetapi, saya percaya apa yang dibuat ini (meletak Finas dan hak pemberian lesen) di bawah kementerian berbeza adalah atas kebijaksanaan Perdana Menteri dan kementerian melaksana dengan cara terbaik," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di sini hari ini.

Pada masa ini Finas diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan manakala urusan pengeluaran lesen bagi radio dan televisyen swasta di bawah Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi. Cadangan supaya Finas dikembalikan kepada kementerian dikemukakan Datuk Mohamad Aziz (BNSri Gading) dan Datuk Ismail Kassim (BNArau) yang menyifatkan agensi itu lebih sesuai diletakkan di bawah Kementerian Penerangan berdasarkan peranannya yang menggalak, memelihara dan memudahkan kemajuan perusahaan perfileman di Malaysia.

Sementera itu, Ahmad Shabery berkata program pendigitalan Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu bagi membolehkan negara ini terus meningkatkan persaingan dalam dunia penyiaran selari dengan negara maju lain.

"Lebih penting RTM yang sedang berhadapan satu persimpangan besar dalam dunia penyiaran, narrow casting (penyairan yang sempit tapi mengkhusus) program pendigitalan mahu tidak mahu satu kemestian manamana negara yang mahu terus ada dalam dunia moden ini," katanya.

Oleh itu, beliau berkata transmisi digital lebih efisyen dan jika tidak dilaksanakan, Malaysia kemungkinan menghadapi gangguan atau tidak berfungsi memandangkan semua negara sedang menuju ke arah itu.

Menyentuh mengenai peranan Filem Negara, Ahmad Shabery berkata ia terus memainkan peranannya untuk menyampaikan mesej penting termasuk mengenai isu kontrak sosial dalam pelbagai pendekatan termasuk Layar Bestari (wayang pacak). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain