suria

Iesya fokus bidang seni tahun depan

Lisdawati dan Fauzi turut memeriahkan majlis di Redbox, Pavilion itu.
Lisdawati dan Fauzi turut memeriahkan majlis di Redbox, Pavilion itu.
Lisdawati dan Fauzi turut memeriahkan majlis di Redbox, Pavilion itu.

DARI bidang pengacaraan, Nor Iesyatirradiah Sanny Toh atau Iesya mahu memfokuskan bidang seni mulai tahun depan.

Seiring dengan usianya yang sudah melangkaui 25 tahun, Iesya nekad mara selangkah ke depan dengan menceburi dunia lakonan dan nyanyian.

Biarpun kedua-dua bidang tersebut bukanlah sesuatu yang baru buat dirinya, namun Iesya tetap menganggap ia sebagai fasa baru dan berjanji akan melakukan dengan sehabis serius.

Sebagai persediaan, gadis yang kerap memenangi pertandingan nyanyian ini mensasarkan untuk menghasilkan album mini sendiri pada tahun depan.

Antara pertandingan nyanyian yang dimenanginya adalah Juara Puteri wilayah Persekutuan Umno 2006, Juara Idola Remaja 2005, Juara Gemersik 2004 dan Juara Suara Merdeka 2003.

“Kalau dulu, saya lebih banyak memfokuskan satu bidang sahaja iaitu pengacaraan. Masa usia saya 24 tahun dulu, banyak juga saya mendapat tawaran berlakon tetapi waktu tu jadual kerja saya penuh dengan rakaman pengambaran program Selamat Pagi Malaysia.

“Insya-Allah, untuk album mini akan datang ini, saya sudah mendapat persetujuan untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat produksi dari Singapura.

“Sekarang, kami sedang berbincang tentang konsep album dan lagu. Saya perlu rancang baik-baik kerana ekonomi sekarang pun sedang menurun,” cerita Iesya yang turut berazam untuk mengumpul dan menambah aset pada tahun depan.

Walau sesibuk mana pun dengan bidang seni, Iesya berkata dia masih melakukan bidang pengacaraan yang diceburinya sejak empat tahun lalu ini.

Selalu disangka personaliti TV3

Jelas Iesya, melalui lakonannya di dalam beberapa buah telefilem dan filem, ia sedikit sebanyak membuatkan dirinya dikenali.

Antara telefilem dan drama bersiri yang dilakonkan adalah telefilem Daniel di Astro, slot samarinda Simbiosis di TV3, Hah! Cucu Opah Kahwin Lagi di RTM1 dan terbaru drama bersiri Renjis di Astro manakala filem pula adalah filem Tangkai Jering, dan Potret Mistik.

“Jika hendak dibandingkan, lebih ramai yang mengenali saya melalui drama bersiri Renjis dan telefilem Daniel berbanding yang menonton Selamat Pagi Malaysia.

“Hingga kadangkala, ada juga yang tidak pasti dan terus mengatakan saya adalah pengacara TV3. Jadi, saya selalu betulkan mereka,” ujar Iesya.

Sentiasa positif dengan kerja

Secara dasarnya, memang penonton nampak Iesya lebih fokus kepada program Selamat Pagi Malaysia (SPM).

Namun, sebenarnya, dia turut bekerjasama dengan Unit Ehwal Semasa TV di RTM untuk menjayakan program Hello On Two (HOT) dan Bisnes Malaysia.

Menurut Iesya, unit tersebut tidak mengehadkan seseorang pengacara itu untuk melakukan sesuatu program sahaja dan mereka digalakkan untuk mencuba semua program yang diterbitkan oleh RTM.

Tambah Iesya, sekurang-kurangnya dia dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos dengan melakukan rakaman tiga program sekaligus apabila berada di luar negara.

“Misalnya, pada minggu hadapan, saya mempunyai tugasan di Medan, Indonesia. Jadi, saya akan buat rakaman untuk ketiga-tiga program iaitu SPM, HOT dan Bisnes Malaysia sekaligus,” tutur gadis yang berketurunan Melayu, Arab, Cina dan Thailand ini.

Majlis hari jadi ditaja

Pada 28 November lalu, genaplah usia Iesya kepada 25 tahun.

Majlis hari lahirnya disambut pada malam 27 November lalu bersama-sama rakan-rakan terdekat termasuk rakan artis di Redbox, Pavilion.

Mereka yang hadir dalam majlis bertemakan vogue itu adalah Lisdawati, Fauzi Nawawi, Achik Spin, Imuda dan beberapa orang lagi.

Menurut Iesya, majlis tersebut ditaja oleh seorang rakannya yang berpangkat Datuk dan mempunyai pengaruh dalam bidang politik dan perniagaan.

Bukan sahaja majlisnya ditaja, Iesya turut mendapat hadiah istimewa daripada Datuk R iaitu set wangian jenama BOSS keluaran terbaru.

Hanya mahu dikenali sebagai Datuk R, Iesya tidak mahu penajaan tersebut membuatkan orang berprasangka yang dirinya mempunyai hubungan intim dengan lelaki tersebut.

Dalam majlis tersebut, Iesya turut menjemput seorang pemuda yang menurutnya mereka sedang dalam proses mengenali hati budi masing-masing sekaligus.

Pemuda yang sedang bekerja sebagai juruterbang di MAS itu menghadiahkan patung beruang memakai baju uniform juruterbang MAS.

Kata Iesya, dia tidak menyangka akan mendapat patung beruang pada usia mencecah dewasa ini.

"Walaupun hadiah itu paling bermakna dan disukai saya, tetapi hadiah yang lain pun saya hargai juga," akhiri Iesya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain