suria

Shah Rukh Khan diserbu peminat di Melaka

DATUK Shah Rukh Khan diiringi pegawai pengiring dibawa menaiki beca mengelilingi sekitar Banda Hilir hari ini. -fotoBERNAMA
DATUK Shah Rukh Khan diiringi pegawai pengiring dibawa menaiki beca mengelilingi sekitar Banda Hilir hari ini. -fotoBERNAMA
DATUK Shah Rukh Khan diiringi pegawai pengiring dibawa menaiki beca mengelilingi sekitar Banda Hilir hari ini. -fotoBERNAMA

MELAKA: Pelakon popular Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan "diserbu" ribuan peminatnya apabila beliau mengunjungi tujuh lokasi pelancongan terkenal di Melaka, hari ini.

Peminatnya ingin menatap wajah bintang popular mereka itu dari dekat sambil mengambil gambar dan mendapatkan autograf sebagai kenangan.

Lokasi yang dilawati Shah Rukh Khan ialah Menara Taming Sari iaitu menara tinjau berputar setinggi 110 meter, Jam Besar, buaian Eye On Malaysia, Jonker Walk, Padang Nyiru, menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot ke buaian Eye On Melaka dan Kampung Morten, yang kesemua lokasi itu terletak di Bandar Hilir di sini.

Shah Rukh Khan turut menemui peminatnya di Konsert Jom Ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Ayer Keroh.

Beberapa artis tempatan turut mengadakan persembahan di konsert berkenaan. Pelakon berusia 43 tahun itu berada sehari di Melaka untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran 'Datuk' dalam sesi khas majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada sebelah pagi.

Shah Rukh Khan adalah antara 77 orang yang dianugerahi darjah yang membawa gelaran 'Datuk' sempena Sambutan Hari Lahir ke-70 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pada 11 Oktober lepas.

Walaupun Shah Rukh Khan dijadual melawat tujuh lokasi itu bermula pukul 2.10 petang, namun ramai peminat menunggu beliau sejak pukul 11 pagi.

Ketibaan beliau dilokasi berkenaan disambut dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan pelbagai etnik yang terdapat di negeri ini seperti Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Portugis dan masyarakat orang Asli.

Shah Rukh Khan juga turut dipersembahkan dengan permainan tradisional seperti tating lawi, sepak raga, congkak dan gasing, di samping persembahan silat.

Beliau yang dikawal ketat oleh empat pengawal peribadi serta anggota polis tetap tersenyum, melambai tangan dan bersalaman dengan kalangan peminat yang berasakasak untuk mendapatkan tanda tangan beliau.

Orang ramai turut berebut untuk membeli tiket berharga RM100 untuk menaiki bot Melaka River Cruise yang membawa Shah Rukh Khan menyusuri sungai Melaka sejauh empat kilometer dari Padang Nyiru.

Bot itu boleh membawa 20 penumpang.

Seramai 20 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Payasum, Sungai Udang diberi peluang menaiki Menara Taming Sari bersama Shah Rukh Khan.

Shah Rukh Khan turut menaiki beca yang dikayuh oleh Salleh Sam, 51, dengan diiringi 20 buah beca lain dari Menara Taming Sari ke Jam Besar melalui Jalan Taman dan Jalan Kota.

Ketika menemui peminatnya di konsert berkenaan, beliau sempat memberitahu peminatnya bahawa beliau kini tahu menyebut tiga patah perkataan Melayu iaitu selamat datang, jumpa lagi dan terima kasih.

Beliau berlepas pulang ke Mumbai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada malam ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain