suria

Hannah Tan nekad berhijrah ke Jepun

Hannah Tan nekad untuk berhijrah ke Jepun bagi mengembangkan kariernya dalam bidang seni. (Foto The Star Oleh: KEVIN TAN)
Hannah Tan nekad untuk berhijrah ke Jepun bagi mengembangkan kariernya dalam bidang seni. (Foto The Star Oleh: KEVIN TAN)
Hannah Tan nekad untuk berhijrah ke Jepun bagi mengembangkan kariernya dalam bidang seni. (Foto The Star Oleh: KEVIN TAN)

KEPUTUSAN yang diambil oleh penyanyi, pelakon, pengacara dan ahli perniagaan jelita ini untuk berhijrah ke Jepun bukanlah satu perkara yang mudah untuk dibuat olehnya.

Menyedari akan cabaran yang perlu dihadapinya di negara matahari terbit itu, Hannah Tan akui jalan yang perlu dilaluinya untuk mencipta nama dan mengembangkan karier di sana pasti berliku.

Namun, ketepikan soal cabaran kerana faktor itulah sebenarnya yang membangkitkan semangat untuk Hannah meneruskan niatnya untuk mencuba nasib di sana.

Setelah berfikir secara mendalam sekitar awal tahun ini, Hannah akhirnya merasakan tahun 2009 cukup sesuai untuk dirinya memulakan 'hidup' baru di Jepun.

Berpangkalan di Tokyo, selebriti berusia 27 tahun ini akan mula mengatur agenda tersendiri untuk meneruskan karier seni di sana di samping mencari peluang mengembangkan perniagaan lain. Apa yang pasti, dia akan mempromosikan jenama 'Hannah Tan' itu sebaik mungkin bukan saja untuk diri sendiri, malah sebagai inisiatif untuk membuka laluan buat rakyat Malaysia yang ingin berbuat perkara yang sama di negara itu kelak.

"Idea untuk ke sana (Jepun) timbul sekitar awal tahun ini yang mana ketika itu saya terlibat dengan acara sukan pemotoran 'Tokyo Drift' di Odaiba.

Ketika itu, tiada siapa yang tahu tentang perancangan saya dan saya meletakkan inisiatif sendiri dengan berjumpa pihak-pihak tertentu di sana dan beberapa agensi dengan mempersembahkan portfolio saya.

"Saya berhasrat untuk membawa konsep hiburan tempatan ke sana...mungkin dari aspek muzik dan skrip filem. Begitu juga dengan bidang perniagaan.

Sebagai contoh, memandangkan Malaysia terkenal dengan sektor pertanian, saya mungkin boleh lakukan sesuatu dengan membabitkan pihak tertentu di negara sana untuk menghasilkan teknologi bagi mengembangkan lagi sektor pertanian kita. Lagipun Jepun memang terkenal dengan kecanggihan teknologi mereka.

"Sejujurnya, ini memang satu cabaran yang besar buat saya. Saya ingin cuba berkongsi visi kerajaan untuk meningkatkan lagi ekonomi kita. Sebab itu saya tidak mahu tumpukan semata-mata di dalam bidang hiburan saja, tetapi juga di dalam bentuk perniagaan.

"Saya akui, ini bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan. Saya mungkin perlu mengambil masa kira-kira dua tahun untuk membina nama di sana sebelum benar-benar dapat meneruskan agenda saya. Lihat saja contoh seperti Datuk Michelle Yeoh dan Datuk Jimmy Choo yang berjaya membuktikan kebolehan Malaysia di dalam bidang hiburan dan kreatif," kata Hannah pada sidang media bagi mengumumkan perancangannya di sana, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ibubapanya Daniel Tan dan Aran Ibuh serta dua orang adiknya, Gloria Tan, 21 dan Victoria Joy Tan, 19. Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes turut hadir memeriahkan majlis bersama beberapa rakan artis seperti Naz, Reymee Innuendo, Azura dan Jason Lo.

Menurut wanita kelahiran Pulau Pinang ini, dia akan berangkat ke Tokyo Sabtu ini kerana perlu membuat persiapan awal dan cuba membiasakan diri di negara tersebut sebelum memulakan langkah perlahan-lahan bermula 10 Januari depan.

"Saya teruja tapi pada masa yang sama cukup gementar. Bayangkan, saya perlu memulakan semuanya dari awal semula berseorangan, tanpa bantuan sesiapa. Saya akan mengikuti kursus intensif bahasa Jepun selama lebih kurang enam bulan dan pada masa perlu mempelajari budaya mereka.

"Untuk permulaan, saya akan cuba dapatkan publisiti dulu di sana dan kemudian baru saya akan buat perancangan lain. Saya yakin, jika saya meletakkan kesungguhan, saya mungkin mampu merealisasikan impian saya ini. Saya tetap akan pulang ke Malaysia sekali dalam dua atau tiga bulan kerana saya masih mempunyai syarikat di sini, Making The Difference Sdn Bhd.

"Syarikat saya akan dikendalikan oleh 'support team' saya ketika saya berada di sana nanti. Saya akan sentiasa 'update' perkembangan saya di sana menerusi laman web www.hannahtan.com dan boleh berinteraksi secara online juga. Tapi apa yang pasti, saya akan merindui ramai orang sekeliling saya di sini!," tutur Hannah yang juga merupakan duta Animax Asia.

Selain itu, kata penyanyi yang pernah tampil dengan album sulungnya, Crossing Bridges kira-kira dua tahun lalu, dia juga ketika ini sedang di dalam penghasilan album keduanya pula yang dijangka akan dipasarkan pada akhir tahun 2009.

Menariknya, Hannah juga muncul dengan single Melayu pertamanya berjudul Indah hasil ciptaan Reymee dan liriknya diterjemahkan oleh Pot Amir menerusi lirik asal, Angel, hasil nukilan Hannah sendiri.

Lagu tersebut boleh dimuat turun di laman web Hannah bermula semalam.

Dalam pada itu, kata peminat sukan lasak ini, dia juga berhasrat untuk meneruskan projeknya 'H Factor Nationwide Creative Youth Workshop' pada setiap tahun setelah menerima sambutan yang memberangsangkan pada projek tersebut yang berlangsung pada 12 Oktober hingga 2 November lalu di empat buah lokasi iaitu Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

Bengkel itu telah dijalankan secara percuma untuk remaja yang berminat tentang hiburan termasuklah bidang kreatif dengan pembabitan sembilan 'speakers' yang terdiri daripada Hannah sendiri, Hans Isaac, Harith Iskander, penyampai radio Serena C, Reymee, David Lai, Joey Khor, Fellest Yan dan Pietro Felix.

"Mungkin juga pada tahun depan, kita akan menaja remaja yang terpilih menerusi program H Factor ini untuk ke Jepun bagi mengutip pengalaman dan belajar tentang industri ini di Jepun pula," ujar Hannah bersemangat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan