suria

Sandy: "Jangan tamak untuk calonkan semua lagu dalam AIM"

Sandy Monteiro juga merupakan CEO Universal Music.
Sandy Monteiro juga merupakan CEO Universal Music.
Sandy Monteiro juga merupakan CEO Universal Music.

TIGA tahun lalu, industri muzik tempatan dilihat ketara mengamalkan muzik berlandaskan format digital iaitu muat turun lagu melalui internet atau nada dering telefon bimbit berbanding format fizikal seperti cakera padat (CD) dan kaset.

Kini, penggunaan format digital semakin meningkat kepada 40 peratus sehingga Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merasakan wajar untuk melakukan perubahan di dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).

Hal ini disentuh oleh Pengerusi RIM, Sandy Monteiro ketika majlis sidang media khas untuk memberitahu perubahan yang dilakukan dalam AIM ke-16 sebelum ahli-ahli RIM mencalonkan lagu-lagu mereka.

Ini bermakna, setiap ahli tidak semestinya perlu mencalonkan semua lagu di dalam album mereka.

“Jangan sia-siakan atau nak habiskan wang untuk calonkan semua lagu atau dalam bahasa Cina kata jangan ‘kiasu’.

“Ini kerana sebuah lagu yang dicalonkan akan dikenakan bayaran sebanyak RM50,” ujar Sandy ketika sidang media di Hotel Impiana, Kuala Lumpur, semalam.

Kata Sandy, perubahan tersebut diserap masuk ke dalam AIM 15 pada tahun lepas lagi sebagai satu langkah tambahan untuk ‘mengemaskini’ dan ‘menjaga’ masa depan industri muzik.

“Kami inginkan orang di dalam industri muzik ini lebih terlibat dalam AIM.

“Kita hendak buka peluang dan bukannya sempitkan peluang mereka untuk berasa diiktiraf.

“Namun begitu, kita masih mengekalkan hala tuju AIM untuk mengalu-alukan para karyawan yang memberi sumbangan dan menaikkan nama industri.

“Itulah keseluruhan falsafah yang terkandung di dalamnya...,” jelas Sandy.

Tambah beliau, Majlis Tertinggi RIM telah memutuskan untuk membuat rombakan secara berperingkat kepada AIM untuk memastikan ia terus relevan memandangkan realiti perubahan industri muzik tersebut.

Bukan sahaja untuk lebih relevan, malah meriah dan menggalakkan lebih ramai yang mengambil bahagian disebabkan perkembangan yang lebih besar.

“Contohnya, berpuluh ribu lagu band Hujan dan Aizat AF5 dijual dalam bentuk digital sebelum album mereka dikeluarkan dan jumlah jualan tersebut semakin meningkat kepada ratusan ribu setelah album mereka dikeluarkan.

“Perkembangan ini menunjukkan kesan yang positif di mana ia memberi semangat kepada komposer dan penulis lirik untuk mengeluarkan lagu yang bagus,” ujar Sandy.

Menurut beliau lagi, terdapat tiga perkara yang dirasakan perlu untuk memberikan perubahan kepada AIM memandangkan telah 15 tahun anugerah muzik ini dianjurkan.

“Yang pertama dari segi lagu, di mana kita mahukan lebih banyak lagu-lagu bermutu dan boleh diiktiraf pada masa akan datang.

“Kedua, mengemaskini kriteria seperti kategori Artis Harapan disingkirkan kerana tidak relevan lagi setelah kewujudan kategori Artis Baru Terbaik.

“Selain itu, AIM turut menolak perbezaan bahasa bagi kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu di mana tiada beza sama ada lagu tersebut dihasilkan dalam bahasa Inggeris, bahasa Cina, atau bahasa Melayu, yang penting adalah susunan muzik itu sendiri dan asalkan ciptaan orang Malaysia.

“Ketiga, AIM ingin memberi peluang kepada semua syarikat yang ingin masuk di dalam industri muzik ini tanpa perlu mengambilkira pelaburan album yang banyak asalkan mereka ingin membantu industri dengan menambah penglibatan orang ramai untuk memberi sokongan dan dorongan mengeluarkan lagu yang bagus.

“Misalnya, memfokuskan dua buah lagu yang hebat dan memberi kejayaan untuk dikomersialkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa AIM RIM, Freddie Fernandez berkata perubahan seperti anugerah baru untuk lagu atau ‘single’ adalah perlu untuk AIM memenuhi objektif-objektif asalnya iaitu memberi penghormatan kepada bakat-bakat tempatan dan juga mengiktiraf para artis, pemuzik, komposer serta penerbit yang terlibat dalam produksi rakaman muzik tanahair.

Tambah beliau, setiap album yang mengandungi lima buah lagu sama ada format fizikal atau digital sudah dikira layak untuk dicalonkan dalam AIM.

Selain penambahan bilangan kategori anugerah dari 22 kepada 27, perubahan yang diumumkan untuk AIM 16 yang bakal diadakan pada 2 Mei 2009, termasuklah kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu.

Turut serta adalah memperkenalkan kategori berdasarkan lagu iaitu Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik dan Lagu India Tempatan Terbaik.

Selain itu, sistem penghakiman dua peringkat juga boleh dibuat melalui internet mulai tahun ini bagi menggantikan pemilihan melalui pos yang telah dihentikan sejak AIM 14.

Mulai hari ini, 11 Disember hingga akhir bulan ini, ahli RIM boleh mencalonkan lagu-lagu mereka untuk dipertandingkan.

Bagi mereka yang belum mendaftar sebagai ahli RIM, mereka boleh mendaftar dengan yuran sebanyak RM250 seorang.

CD dan kaset akan lupus disebabkan AIM

Jika AIM melakukan perubahan berdasarkan format digital sekarang, tidak mustahil jika CD dan kaset akan dilupuskan pada masa akan datang.

Menurut Sandy, perubahan tersebut sebenarnya dipengaruhi oleh perkembangan industri muzik dari luar negara seperti Korea di mana jualan format digitalnya mencecah kepada 50 peratus.

“Tiada sesuatu yang tetap di dalam industri muzik. Konsep popular dah hilang. Kita juga melihat sejarah di mana setiap 25 tahun, sesuatu format itu akan diganti.

“Format CD telah bermula sejak tahun 80-an lagi dan lama-kelamaan format tersebut akan diganti dengan format lain.

“Setakat ini, perubahan kepada format digital sudah ada. Kebanyakannya mempunyai lagu-lagu yang bagus dan boleh dikomersialkan. Bukannya perubahan yang negatif,” akhiri Sandy.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan