suria

Tiga pasangan Sehati Berdansa belum tentu layak ke final?

Pasangan Rosma dan Khai diserap masuk semula selepas penganjur memutuskan tiada penyingkiran pada minggu itu. -foto ASTRO
Pasangan Rosma dan Khai diserap masuk semula selepas penganjur memutuskan tiada penyingkiran pada minggu itu. -foto ASTRO
Pasangan Rosma dan Khai diserap masuk semula selepas penganjur memutuskan tiada penyingkiran pada minggu itu. -foto ASTRO

PASTI ramai yang menganggap kejutan yang dibuat oleh pihak Astro dalam program realiti tari Sehati Berdansa musim ke-2 semalam akan membawa tiga pasangan yang tinggal terus ke pertandingan akhir.

Namun persoalan itu masih lagi menjadi tanda tanya apabila ketiga-tiga pasangan tersebut perlu mempersembahkan gerak tari masing-masing pada minggu ke-9, Malam Sehati Berdansa,minggu ini.

Tiga pasangan yang berjaya meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya adalah, Lisdawati-Fauzi Nawawi, Khai- Rosma dan Amyza Khairil.

Lebih mengukuhkan pendapat itu apabila penerbit program itu sendiri, Norazian Tahir berkata pertandingan akhir hanya akan berlangsung pada 27 Disember depan.

Ini bermakna kedudukan ketiga-tiga pasangan tersebut masih belum selamat untuk melangkah ke pertandingan akhir.

Menurut Norazian, persoalan mengenai jumlah peserta yang layak ke pertandingan akhir Sehati Berdansa akan diumumkan dalam program Debaran Sehati Berdansa yang akan disiarkan pada 21 Disember ini.

“Kita mahu simpan ia sebagai kejutan. Kalau nak tahu berapa peserta yang layak kita kena tunggu 21 Disember ini.

“Apa pun peminat perlu terus mengundi jika mahu peserta pilihan mereka berjaya ke final,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Program ini masih mengekalkan format pemarkahan 50 peratus markah diberikan daripada juri professional dan 50 peratus lagi melaui undian pesanan khidmat ringkas (SMS).

Juri tetap program ini adalah koreografer terkenal Linda Jasmine dan Hamzah Tahir manakala isteri aktor terkenal, Zulhaila Siregar diundang selaku juri jemputan minggu ini.

Ketika ditanya mengenai keputusan malam Ahad itu, Norazian menjelaskan keputusan tersebut sememangnya telah dirancang lebih awal.

“Memang kita telah rancang lebih awal, tapi perlu diingat biarpun mereka perlu membuat persembahan pada minggu ini, ia akan menentukan nasib mereka,” ujarnya.

Jelas beliau, peningkatan tahap persembahan pasangan pada musim kedua ini memaksa pihak penerbitan mengambil keputusan untuk tidak membuat sebarang penyingkiran pada minggu ini.

Tambahnya, pihak Astro juga masih merahsiakan hadiah bagi juara Sehati Berdansa musim ini.

“Kita juga masih rahsiakan apa hadiah yang akan diberikan kepada juara Sehati Berdansa musim ini. Semuanya akan dimaklumkan pada sidang media selepas berakhirnya program Debaran Sehati Berdansa Ahad ini,” katanya.

Minggu irama Hip Hop

Selepas berakhirnya minggu tarian Ballroom dan Broadway, ketiga-tiga pasangan dikehendaki membuat persembahan tarian berkonsepkan irama Hip-Hop pada minggu ini.

“Minggu ini kita beri kelonggaran kepada jurutari, apabila persembahan pertama mereka boleh pilih tentukan sendiri jenis persembahan yang mereka minati. Yang penting ia tidak boleh sama dengan pasangan lain.

“Bagi segmen kedua pula peserta dikehendaki membuat tarian Hip-Hop/ Stunt, di sini keupayaan mereka akan teruji dan lagu untuk persembahan bagi segmen ini diberikan oleh penasihat Sehati Berdansa, Ahmad Kamsan sendiri,” katanya.

Menurut Norazian, ketiga-tiga pasangan telah mula berlatih bersama jurutari masing-masing sejak malam tadi.

“Mereka memang sangat komited selepas selesai saja Debaran Sehati Berdansa malam tadi mereka telah duduk bersama jurutari masing-masing dan memerah idea untuk persembahan pada minggu ini.

“Semua pasangan memang bersungguh-sungguh untuk mara ke peringkat akhir, dan ia dapat dilihat dari aspek komitmen serta persembahan yang diberikan,” katanya.

Amyza-Khairil masih ditangga teratas

Pada minggu ini pasangan, pasangan Amyza dan Khairil masih lagi berada di tangga teratas dengan 67.78 peratus.

Pasangan Lisdawati dan Fauzi mengekori rapat ditangga kedua dengan 62.60 peratus manakala pasangan Khai dan Rosma yang terselamat daripada disingkirkan semalam berada ditangga terakhir dengan 52.03 peratus.

Adakah kesemua pasangan akan berjaya ke peringkat akhir program Sehati Berdansa? Sama-samalah kita nantikan kejutannya dalam program Debaran Sehati Berdansa di saluran Astro Ria pada 21 Disember ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain