suria

Wan Nor Azlin: “Apa yang saya lalui ini akibat ‘dosa’ semalam”

Azlin ingin membuka buku baru dalam hidupnya. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Azlin ingin membuka buku baru dalam hidupnya. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Azlin ingin membuka buku baru dalam hidupnya. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

MELIHAT kepada rentetan masalah yang bertubi-tubi menimpanya sejak kebelakangan ini, agak menginsafkan pelakon Wan Nor Azlin yang akhirnya mengakui segala yang dilaluinya itu berlaku disebabkan ‘noda-noda hitam’ dan ‘dosa-dosa’ semalam yang terpalit pada dirinya.

Bermula daripada ugutan yang diterima dari 'ah long' dan rumahnya disimbah cat merah kerana suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 38, gagal menjelaskan hutang ‘ah long’ pada 30 Julai lalu, semuanya membuat Azlin rasa begitu kerdil untuk menghadapi segala dugaan yang datang.

Pada 18 November lalu, proses Sulh Azlin mengenai kes tuntutan nafkah terhadap suaminya yang difailkan pada 29 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya gagal dibicarakan kerana Yazli tidak hadir ke mahkamah.

Semalam, proses perbicaraan tuntutan nafkahnya ditunda ke 28 Januari 2009, pukul 2 petang dan menjadi lambat gara-gara suaminya masih belum menampakkan diri di mahkamah.

Dalam hal ini, nampak jelas Yazli sukar memberikan kerjasama kepada isterinya setelah dia menghilangkan diri sejak 10 Julai lalu dan tidak pulang ke rumah sehingga sekarang.

Menurut dakwaan Azlin, ini bukan kali pertama suaminya meninggalkan dia dan anak-anak kerana pertama kali mereka ditinggalkan ialah pada tahun 2001 selama 40 hari dan kali kedua pada tahun 2005 selama dua tahun.

Tambah merumitkan, disebabkan suaminya tidak meninggalkan nafkah terhadap diri Azlin dan anak-anak, dia mengalami pelbagai masalah seperti terpaksa menanggung bayaran wang pinjaman ansuran kereta dan rumah, perbelanjaan dapur, perbelanjaan anak-anak termasuk bayaran bil elektrik dan air dengan sendirinya.

Bayangkan, bagaimana ibu kepada tiga orang anak ini menghadapi keperitan hidup ini. Walaupun statusnya sebagai isteri tetapi kehidupan yang diharunginya tidak ubah seperti 'ibu tunggal' di mana segalanya terpaksa ditanggung sendiri.

Lebih memeritkan apabila Azlin pernah digam oleh semua stesen televisyen sebelum ini kerana 'membintangi' video lucah sehingga semua produser drama dan filem enggan mengambilnya berlakon.

Namun, sejak insiden 'ah long' yang dihadapinya, syarat tersebut telah dilonggarkan apabila Azlin dipanggil berlakon semula oleh beberapa syarikat produksi dan wajahnya juga sudah beberapa kali muncul di kaca televisyen sekarang.

“Saya rasa salah satunya memanglah dugaan ini berlaku disebabkan dosa-dosa yang saya buat sebelum ini.

“Namun, setelah apa yang terjadi, Tuhan masih memberi kudrat dan kesihatan untuk saya melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini.

“Jadi, saya cuba mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku ini untuk menjadi lebih sempurna demi anak-anak.

“Kalau boleh, saya nak anak-anak saya menjadi manusia yang baik dan bukan menjadi macam saya dan suami.

“Oleh itu, saya ingin membuka buku baru...,” ujar Azlin ketika ditemui di luar mahkamah, semalam.

Tambahnya sambil berseloroh, jika ada undang-undang yang membenarkan dirinya membunuh Yazli, dia akui sudah akan berbuat demikian.

Menurut Azlin, yang sudah tidak menerima ugutan ‘ah long’ lagi, dia enggan melakukan proses Sulh semula seperti yang diminta oleh suaminya.

Sebaliknya, dia ingin meneruskan perbicaraan dan mendengar sebutan kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak terhadap Yazli di mahkamah syariah tersebut.

Difahamkan, jumlah tuntutan yang dimohon oleh Azlin agak besar dan ini termasuk perbelanjaan peribadi RM 5 000, perbelanjaan rumahtangga RM2 000 dan Amanah Saham Bumiputera RM1 000 dan Insuran peribadi bulanan RM500.

Dalam pernyataan tuntutannya, Azlin juga menuntut Yazli menjelaskan tunggakan pinjaman rumah sebanyak RM122, 892, ansuran rumah RM 3, 500, ansuran kereta RM1, 686, penyelenggaraan dua buah rumah di Damansara Indah Resort Homes dan Damansara Impian serta bil-bil semasa sebanyak RM500 pada setiap bulan.

Namun menurut Azlin, dia bersedia untuk mendengar berapa jumlah yang suaminya mampu berikan asalkan dia bertanggungjawab.

“Kita tengok dulu berapa jumlah yang dia ingin berikan tetapi jangan pula dia ambil kesempatan terhadap peluang yang diberikan.

“Sekurang-kurangnya dia kena bersyukur yang saya sudah meringankan bebannya dengan menanggung perbelanjaan keluarga dengan usaha sendiri,” jelas Azlin.

Dalam masa yang sama, Azlin berkata dia kecewa dengan suaminya yang tidak menyatakan alamat untuk dia berhubung dengan suaminya.

Tambahnya, sebelum ini dia pernah berjumpa dengan pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menyampaikan surat saman tersebut kepada suaminya namun dia enggan menerimanya.

Walaupun Azlin ‘dihalang’ daripada menyerahkan saman kepada Yazli supaya hadir ke mahkamah pada hari ini, namun pihak mahkamah memaklumkan suaminya tampil ke mahkamah pada Jumaat lalu, 12 Disember.

Berita kedatangan Yazli ke mahkamah tersebut memeranjatkan Azlin.

Menurut peguam Azlin, Fakhrul Azman Abu Hassan, Yazli (defendan) hadir beserta dengan surat yang mengatakan dia mengetahui tentang maklumat yang memintanya hadir ke mahkamah melalui media.

"Di dalam surat tersebut, Yazli memohon diberikan masa untuk melantik peguam bagi diberi peluang untuk melakukan proses Sulh sekali lagi.

"Yazli juga meminta supaya dia dapat berbincang dengan Azlin mengenai tuntutan tersebut mengikut kemampuannya.

"Memandangkan defendan pun tidak hadir dan surat tersebut tidak mempunyai alamat untuk kami sediakan jawapan tersebut, jadi kita akan membuat iklan dalam surat khabar dalam masa dua minggu lagi supaya dia hadir ke mahkamah," beritahu Fakhrul selepas prosiding pada semalam selesai.

Hakim Syarie, Ghazali Ahmad memutuskan supaya kes tuntutan nafkah Azlin terhadap Yazli disebut pada 28 Januari 2009, pukul 2 petang, di sini.

Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.

Yazli menjelaskan punca dia menghilangkan diri kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 'ah long' selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain