suria

Freddie: Penyiaran berita wartawan TV3 dihalau di majlis Mawi-Ekin tidak berasas.

PERKAHWINAN pasti menjadi sejarah istimewa yang ingin dikenang buat juara Akademi Fantasia musim ke-3, namun peristiwa indah dalam hidupnya itu dicacatkan dengan insiden yang tidak diingini apabila krew TV3 mendakwa mereka telah dihalang daripada membuat liputan di lokasi pernikahan dan persandingan pasangan mempelai itu, Sabtu lalu.

Lebih memburukkan keadaan laporan tersebut disiarkan menerusi Buletin Utama kelmarin dan rancangan hiburan, Melodi TV3, semalam dan pagi ini rancangan Malaysia Hari Ini (MHI turut memaparkan kekecohan yang berlaku antara krew terbabit dan pihak Astro.

Difahamkan, krew TV3 tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan yang bertugas di perkarangan Masjid Sultan Abu Bakar dan Stadium Tertutup Johor Bahru kerana tidak mempunyai pas khas untuk membuat liputan tersebut.

Dalam MHI pagi ini, satu segmen khas diadakan untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku pada ketika itu, dengan mengadakan temubual telefon dengan wartawan TV3 yang dihalang daripada membuat liputan semasa majlis perkahwinan Mawi-Ekin, Zulhazri Abu Bakar.

Pengacara MHI, Mazidul Akmal Sidik menyifatkan tindakan menghalang pihak media adalah tidak wajar dan kebebasan media di negara wajar dipraktikkan sepenuhya.

"Kita (TV3) buat kerja (mencari berita), kita tidak sepatutnya dihalang. Mereka (Astro) sepatutnya faham benda ini," katanya dalam nada sinis.

Sementara Zulhazri yang dihubungi oleh pihak MHI pula berkata, bukan hanya TV3 sahaja yang dihalang daripada membuat liputan malah rangkaian di bawah Media Prima, seperti NTV7, TV9 dan Bernama TV turut tidak dibenarkan membuat liputan sepanjang perkahwinan bintang popular tersebut berlangsung.

"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya di sini, bukan hanya saya (TV3) sahaja yang dihalang membuat liputan tapi NTV7, TV9 malah Bernama TV juga tidak dibenarkan masuk mebuat liputan," ujarnya dalam nada tegas.

Jelas Zulhazri, tindakan yang terjadi ke atasnya tidak pernah berlaku selama dia menjadi wartawan.

"Saya tak pernah alaminya. Saya telah cakap elok-elok dengan mereka (orang Astro) tapi mereka masih tak benarkan. Saya cuba dapatkan mereka yang bertanggungjawab untuk mendapatkan kebenaran juga daripada pihak atasan Astro juga tidak berjaya," katanya.

Beliau turut mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang mengatakan mereka dihalau daripada membuat liputan di majlis tersebut.

Kebanyakan akhbar hari ini memaparkan Astro menafikan bahawa TV3 dihalang membuat liputan.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maestro Talaent Management, Freddie Fernandez, berkata halangan tersebut berlaku kerana Astro telah mendapat hak penyiaran eksklusif sepanjang majlis perkahwinan Mawi & Ekin seperti yang diketahui oleh semua pengamal media sebelum ini.

"Ini bermakna tiada stesen televisyen lain yang dibenarkan merakamkan detik pernikahan dan persandingan Mawi-Ekin melainkan RTM yang bekerjasama dengan pihak kami (Astro).

"Saya rasa mereka pun patut faham keadaan ini. Pada kami penyiaran berita yang menyatakan mereka dihalau sebenarnya tidak berasas," ujarnya Freeddie yang terkilan kerana TV3 membesar-besar isu tersebut.

Ramai yang menyifatkan peristiwa menghalang wartawan membuat liputan ini sebagai agenda membalas dendam atas perkara sama yang terjadi sekitar majlis perkahwinan bintang tersohor, Datuk Siti Nurhaliza dua tahun yang lalu.

"Tidak ada istilah balas dendam di sini. Lagipun majlis perkahwinan adalah satu perkara yang suci. Janganlah kita cemarinya dengan perkara yang tidak sepatutnya.

"Saya juga ingin tegaskan di sini perkara yang terjadi ini tidak ada kaitan dengan hak eksklusif yang diperoleh Astro," katanya.

Pun begitu, menurut Freddie, pihak Astro telah pun memberikan ruang kepada krew TV3 untuk menemubual Ekin dan Mawi selepas sidang media perkahwinan mereka selesai di Masjid Sultan Abu Bakar.

"Kami tidak pernah menutup pintu langsung kepada TV3. Ini kerana selepas sidang media perkahwinan mereka dengan wartawan lain selesai, kami membenarkan mereka untuk menemuramah Mawi dan Ekin selama 15 minit.

"Apa yang lebih dikesalkan adalah mereka kata media tidak dibenarkan membuat liputan pada perkahwinan Mawi-Ekin yang menggambarkan seolah-olah semua media tidak dibenarkan. Ini tidak betul dan ia amat dikesali," ujar Freddie.

Tegas Freddie, jika dari awal lagi adanya permohonan secara hitam putih untuk membuat liputan (yang terhad), pihak Astro mungkin masih boleh membuat pertimbangan.

Difahamkan, selain Astro, hak penyiaran itu juga turut diberikan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi laporan khas yang akan ke udara di stesen penyiaran negara itu kelak.

Bagi Mawi, apa yang berlaku hanyalah salah faham dan TV3 sebenarnya tidak dihalang malah mereka hanya ditegur oleh pihak RELA.

"Walaupun mereka tak dibenarkan buat liputan pernikahan kami, tapi pihak Astro sebenarnya ada bagi peluang mereka temuramah kami di luar masjid dan yang peliknya mereka tak keluarkan pula ’interview’ tu, tapi asyik tunjuk yang dihalang saja," ujar Mawi.

Jelas penyanyi lagu Aduh Saliha ini beliau tidak tahu-menahu apa yang berlaku dan berita mengenai TV3 dihalang itu hanya diketahui apabila rakan-rakannya menghantar SMS kepadanya.

Ditanya adakah perkara tersebut akan menjejaskan kariernya dan adakah dia bersedia jika digam oleh TV3 selepas insiden tersebut Mawi berkata:

"Saya takut orang akan cakap saya walaupun saya tak tahu apa-apa. Kalau terung tu rosak sikit orang kampung akan tetap cakap terung tu dah busuk semuanya," ujar Mawi dalam nada berkias.

Bekas bintang popular Anugerah Bintang Popular 2007ini menyifatkan apa yang berlaku adalah perkara kecil yang tidak perlu diungkitkan lagi.

"Kalau boleh saya harapa semuanya dapat selesai dengan cara yang baik. Kalau boleh saya pun tak mahu hal ini dibesar-besarkan lagi. Saya juga ada jemput mereka (Media Prima) ke semua majlis perkahwinan saya," ujarnya.

Sebagai tuan rumah pula, Ekin menyifatkan apa yang berlaku sebagai asam garam dalam sesebuah majlis perkahwinan.

"Dalam mana-mana majlis perkahwinan tak akan ada yang sempurna 100 peratus. Mesti ada cacat-cela di sana sini. Cuma saya berharap semua pihak dapat menerima majlis ini seadanya.

"Kami sudah cuba memberikan yang terbaik, jika ada kekurangan mintak maaf la. Mungkin lepas ini kami boleh perbaiki," ujarnya.

Majlis bertandang di sebelah pengantin lelaki, akan diadakan Sabtu depan di Felda Taib Andak dan diikuti dengan satu lagi majlis resepsi berkonsepkan Timur Tengah yang akan diadakan di Palace of The Golden Horses pada 11 Januari depan.

Artikel Lain