suria

Mawi: Ekin hadiah paling bermakna dalam hidup saya

Pengantin baru Mawi dan Ekin sedang melayari kehidupan manis suami isteri. -foto The Star, Bernama dan Utusan
Pengantin baru Mawi dan Ekin sedang melayari kehidupan manis suami isteri. -foto The Star, Bernama dan Utusan
Pengantin baru Mawi dan Ekin sedang melayari kehidupan manis suami isteri. -foto The Star, Bernama dan Utusan

BUKAN mudah menjadi Asmawi Ani semuanya perlu dikongsikan bersama media dan ribuan peminat-peminatnya di seluruh negara.

Sabtu lalu, termeterai sudah ikatan suci antara Mawi dan Ekin apabila pasangan popular ini sah bergelar suami isteri.

Biarpun pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Ekin, Mawi tetap tegar mengenepikan semua perkara yang disifatkan tidak benar mengenai kekasih hatinya apabila dengan sekali lafaz pasangan sama cantik dan sama padan ini selamat diijabkabulkan di masjid Sultan Abu Bakar, Sabtu lalu.

Pihak romobongan pengantin lelaki membawa 9 dulang hantaran berupa cek bernilai RM30,000, senaskah Al-Quran, tas tangan, jam tangan, alat solek dan set pewangi kek dan sirih junjung beserta mas kahwin RM22.50.

Sementara pihak perempuan membalasnya dengan 11 dulang hantaran berupa, jam tangan, kasut, dompet, tali pinggang, sejadah, songkok, senaskah Al-Quran ,set pewangi, kek buah-buahan, coklat dan sirih junjung.

Dalam sesi sidang media yang berlangsung sebaik upacara akad nikah berakhir, si pelantun lagu Kian ini nyata ceria dengan senyuman manis yang tidak lekang terukir dibibirnya.

"Alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana semuanya berjalan lancar dan Ekin hadiah paling bermakna dalam hidup saya,” katanya.

Bagi Mawi ketabahan dan kesabaran isterinya itu membuatkan makin mendalam kasih sayangnya buat pemilik nama Nora’ Ashikin Rahmat.

"Dia terlalu istimewa. Paling membuatkan saya terharu pengorbanannya ketika kami berkawan dulu. Dia banyak bersabar dengan pelbagai tohmahan serta fitnah yang dilemparkan kepadanya.

"Saya tahu bukan mudah untuk laluinya dan dia yakin untuk menepis segala perkara tersebut. Ini buatkan saya makin sayang kepada Ekin,” ujarnya sambil melemparkan senyum mesra buat isteri yang baru dinikahinya.

Ditanya apakah perasaannya tanpa kehadiran lelaki bergelar ayah dihari perkahwinannya, penyanyi popular ini tenang menjawab soalan tersebut.

"Memang sedih, tapi nak buat macam mana. Sebenarnya beberapa hari sebelum bernikah saya kerap mimpi arwah ayah. Beberapa kali saya alami perkara yang sama.

"Saya ingat betul-betul ayah datang dan berbual-bual dengan saya tapi bila saya terjaga itu mimpi rupanya,” katanya tenang biarpun sebak.

Bagi Mawi biarpun tanpa kehadiran ayahnya dia yakin doa dan restu ayahnya akan tetap mengiringi perkahwinan yang baru dibina bersama Ekin.

Sementara itu, bagi Ekin dia sangat bersyukur akhirnya dia berjaya bergelar isteri kepada Mawi.

"Saya menangis hari ini kerana tak sangka lepas pelbagai dugaan dan halangan yang dihadapi sebelum ini kami kahwin juga akhirnya.

"Saya sudah tak kisah dengan apa jua yang orang nak katakan selepas ini kerana saya rasa keputusan berkahwin dengan dia (Mawi) adalah yang terbaik,” ujar Ekin yang pernah menjadi model sebelum ini.

Karier seni

Biarpun sudah berumah tangga, bagi penyanyi yang bakal berentap pada Anugerah Juara Lagu ke-23 ini karier seninya akan tetap diteruskan seperti biasa.

"Tiada yang berubah semuanya sama. Cuma saya akan kembali bekerja pada 1 Februari depan selepas balik bercuti untuk uruskan majlis resepsi kami,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan selepas bergelar suami kepada Ekin, juara AF3 ini berkata dia mahu isterinya menjadi pengurus kepada karier seninya.

"Dia (Ekin) akan jadi suri rumah tangga sepenuh masa dan untuk elakkan fitnah yang bukan-bukan saya akan bawa dia ke mana-mana majlis.

"Dia juga akan jadi pengurus, perunding imej dan macam-macam lagilah untuk saya,” kata Mawi dalam nada ceria.

Menurut Mawi lagi, dia akan membuka butik muslimah buat isteri tercinta.

"Butik muslimah ini akan jadi peneman dan pengubat kebosanannya,” kata Mawi.

Ekin disebelah hanya tersenyum mesra dan mengiyakan kata-kata suami tercinta.

Bagi pelakon drama bersiri hanya Kawan ini, dia menerima apa jua perancangan suaminya itu.

"Saya tidak kisah, saya akan ikut sahaja. Kalau duduk di rumah pun seronok. Lagi pun saya suka masak,” ujarnya ceria.

Nafi perkahwinan ditaja sepenuhnya

Biarpun telah puas bintang AF3 ini menepis dakwaan perkahwinannya ditaja sepenuhnya, masih ada pihak yang terus memperkatakannya. "Mana ada mereka taja seratus-peratus. Saya tak nafikan memang ada pihak yang taja perkahwinan ini tapi bukan semua. Malah ada yang beri potongan istimewa pada kami sempena majlis ini,” ujarnya ringkas.

Mahu anak berderet

Soalan wajib mengenai anak pasti ditujukan bagi setiap artis yang baru bermuah-tangga dan Mawi tidak terlepas daripada diajukan soalan berkenaan.

"Kami tidak merancang apa-apa. Kalau ada rezeki dapat anak cepat saya lagi suka. Lagi ramai lagi bagus.

"Kalau dapat anak kembar lagi seronok. Sekali dapat dua orang, kalau empat ke lima kali kembar lagi best nanti boleh dapat anak berderet,” ujarnya ceria.

Si isteri di sebelah hanya tergelak mendengar apa yang diperkatakan sang suami.

Jelas pasangan yang sama cantik dan sama padan ini mereka akan berlepas ke Korea sebagai destinasi bulan madu mereka. Selepas itu jika punya kelapangan masa, pasangan ini akan Syria tempat yang menjadi saksi momen indah Mawi melamar Ekin untuk menjadi suri hidupnya.

Pasangan pengantin baru ini akan disandingkan sekali lagi pada majlis bertandang pihak pengantin lelaki pada minggu hadapan di kampung kelahiran Mawi di Felda Taib Andak.

Dijangka 15,000 peminat akan membanjiri majlis resepsi yang bertemakan adat orang Jawa dan akan diserikan dengan persembahan konsert Mawi bersama-sama rakan-rakanya dalam Akademi Fantasia.

Dan majlis resepsi yang ketiga berkonsepkan Timur Tengah akan diadakan di Palace of The Golden Horses pada 11 Januari depan dan dikhaskan untuk teman-teman rapat serta orang kenamaan kedua mempelai.

Artikel Lain