suria

Zed Zaidi pernah terkena ilmu hitam

Zed Zaidi pernah terkena ilmu hitam gara-gara orang dengki terhadap perniagaannya.
 Zed Zaidi pernah terkena ilmu hitam gara-gara orang dengki terhadap perniagaannya.
Zed Zaidi pernah terkena ilmu hitam gara-gara orang dengki terhadap perniagaannya.

BERGELAR artis tidak pernah mematahkan semangat aktor kacak, Zed Zaidi untuk mengembangkan minatnya dalam bidang perniagaan.

Bagi jejaka tinggi lampai yang mula mencipta nama melalui drama bersiri Sembilu Kasih yang popular sedikit masa dahulu ini semuanya boleh dilakukan jika punya minat serta rajin berusaha.

“Bagi saya kalau nak buat dua kerja dalam satu masa tu boleh tapi kita kena bijak bahagi masa. Yang penting kita kena ada minat dalam perkara yang kita nak usahakan itu,” katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Terkejar-kejar menerokai peluang berniaga di samping terikat dengan jadual pengambaran, semuanya dilalui penuh sabar demi memikirkan soal masa depan.

Sungguhpun sibuk, Zed tetap selesa dengan kehidupan harian serta enggan untuk meninggalkan mana-mana bidang bagi memfokus kepada satu sahaja iaitu sama ada lakonan atau perniagaan semata.

Menurut pelakon berusia 28 tahun ini pada tahun 2009 nanti dia bercadang untuk mengembangkan perniagaannya dengan membuka sebuah kilang kain, sebuah kedai makan berkonsepkan kopitiam dan sebuah pusat refleksologi.

Terdahulu vokalis kumpulan Seven Signs sedang sibuk menjalankan beberapa perniagaan antaranya maruku, minuman berkhasiat Guarana Cappuccino, pengedar air zam-zam serta kerja-kerja pengubahsuaian rumah.

Melalui dua syarikatnya iaitu D Zed Resources dan DMB Kembara Sdn. Bhd., Zed bertindak sebagai pengurus syarikat di samping turut turun padang menjalankan kerja-kerja pemasaran.

"Memang meletihkan kerana saya buat banyak kerja di samping sibuk berlakon. Tetapi, dengan adanya jadual kerja harian, segala kerja-kerja saya berjalan lancar.

"Walaupun letih, berniaga amat menyeronokkan kerana kita akan dapat berkenalan dengan ramai orang,'' katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Jula Juli.

Pernah terkena ilmu hitam akibat dengki

Ujar Zed, semangat berniaga dalam dirinya telah wujud sejak kecil apabila diajar oleh keluarga supaya pandai mencari duit sendiri.

Jelasnya, apabila dewasa, amalan sejak kecil itu telah sebati dalam hidupnya sehingga kini merancang untuk mengembangkan potensi perniagaan ke luar.

Namun, di sebalik kejayaan yang dikecapi ketika ini, terselit pelbagai pengalaman pahit yang ditempuhinya sepanjang memulakan perniagaan.

"Saya pernah mengalami kerugian berpuluh ribu ringgit, ditipu rakan kongsi termasuk terkena ilmu hitam orang yang dengki dengan kejayaan saya.

"Saya sendiri hairan bagaimana ada orang tergamak menganiaya rakan sendiri sehingga menggunakan ilmu hitam," luah Zaidi penuh kesal.

Katanya, sepanjang bergelar usahawan, dia banyak menerima pengajaran antaranya jangan lekas percaya dengan orang lain, kena jujur serta tidak kedekut ilmu.

Sibuk berlakon

Biarpun sibuk dengan perniagaan yang diusahakannya, jejaka berbintang Cancer ini tidak pernah mengetepikan bidang lakonan yang dicerburinya sejak enam tahun yang lalu.

“Sekarang ini saya tengah sibuk shooting drama bersiri Jula Juli untuk slot Lagenda di TV3 dan drama bersiri untuk slot Samarinda Kisah Yusuf.

Selain daripada itu, saya ada juga terima tawaran berlakon filem cuma saya belum finalize lagi untuk menerima tawaran yang mana satu,” ujar bekas Hero Remaja 2002/2003 ini.

Menceritakan lebih lanjut mengenai drama bersiri tersebut, Zed berkata, drama Jula Juli diadaptasi dari sebuah filem Melayu lama, Jula Juli Bintang Tiga manakala Kisah Yusuf dicedok daripada kisah sejarah Nabi Yusuf.

Menurut Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil lagi, karier lakonan tetap menjadi keutamannya selagi ada tawaran berlakon diterimanya.

“Saya akan terus berlakon selagi ada tawaran, bila tak jadi pelakon saya akan tumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan saya,”ujar jejaka yang berusia 28 tahun ini.

Belum temui gadis idaman

Dikorek mengenai kisah cintanya, jejaka kacak ini berkata hatinya masih belum dimiliki.

“Buat masa ini, saya masih sendiri dan sedang mencari seseorang sebagai teman hidup. Saya masih belum menemui gadis idaman.

“Malah, urusan jodoh saya tidak pernah tetapkan bila masa sesuai. Saya tidak berani kerana semuanva ditentukan Tuhan," katanya.

Bagi anak jati Kuala Lumpur ini soal nikah dan kahwin sukar diperkatakan kerana baginya kalau hari ini dia kata tiga tahun lagi akan kahwin, tiba-tiba esok lusa 'seru' itu tiba, pasti orang akan menganggap dirinya berbohong.

"Jadi, jalan terbaik bagi saya ialah membiarkan masa menentukannya. Lagipun, saya sekarang sibuk berlakon dan menguruskan perniagaan. Saya perlu kerja keras untuk masa depan.

“Saya ini cerewet dalam soal mencari teman wanita. Mungkin sebab tu payah nak bercinta. Kalau nak suruh mak carikan pun takut saya tak sama dengan citarasa saya, payah jugak. Jalan terbaik lebih baik saya cari sendiri.

"Sasaran saya, bila usia 40 tahun tidak perlu lagi berlakon. Pada masa itu, duduk rumah dengan keluarga dan sekadar memantau perniagaan," katanya yang turut mengusahakan kafe makanan dan kedai dobi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain