suria

Ally tidak menolak tuah

Dalam program Ally, Ally Iskandar cuba lari dari imej sebagai pengacara MHI. Foto The Star Oleh: AZLINA ABDULLAH.
Dalam program Ally, Ally Iskandar cuba lari dari imej sebagai pengacara MHI. Foto The Star Oleh: AZLINA ABDULLAH.
Dalam program Ally, Ally Iskandar cuba lari dari imej sebagai pengacara MHI. Foto The Star Oleh: AZLINA ABDULLAH.

MEMPUNYAI program sendiri pasti menjadi idaman setiap insan bergelar pengacara. Perkara yang sama juga pernah terlintas difikiran pengacara terkenal Ally Iskandar.

Biarpun tidak berharap ia akan muncul secepat ini namun bagi anak jati Kuala Terengganu ini dia tetap menerima tawaran yang diberikan oleh majikannya dengan tangan terbuka. Bak katanya ’siapa hendak menolak tuah'.

Mana tak bertuahnya bagi pemilik nama sebenar Ally Iskandar Mohd Mardzi ini apabila dia diberi peluang mengacarakan program bual bicara yang dinamakan sempena namanya sendiri Ally.

Program yang telah diilhamkan tahun lalu itu telah pun ke udara di saluran TV3 bermula pada 31 Januari lalu jam 11 malam.

Apa yang menarik, prgoram yang diterbitkan Ally sendiri ini menggabungkan konsep hiburan dan juga berita di mana setiap topik yang dipilih merupakan perspektif jejaka itu sendiri.

“Agak payah jugak untuk jadi pengacara program sendiri. Separuh mati jugak la nak dapatkan ’feel’ mula-mula tadi. Dalam rancangan Ally ini saya kena buang imej saya sebagai pengacara Malaysia Hari Ini (MHI).

“Saya tak boleh terikut-ikut cara masa mengacarakan MHI. Saya kena jadi nakal tapi berilmu.

"Saya kena ’mengusik’ tetamu di studio dan keluarkan pendapat yang bernas untuk sesuatu topik yang dibincangkan pada hari tersebut,” kata Ally yang ditemui selepas selesai rakaman episod pertama, rancancangan Ally di Shah Alam baru-baru ini.

Tidak mahu menyempitkan pemikiran penonton kepada satu arah sahaja, program Ally turut menyentuh perspektif dari segala ruang lingkup kehidupan manusia dengan menjemput tetamu yang berlainan gender bagi memperoleh perspektif yang berbeza yang dapat menghangatkan suasana di studio.

“Semua topik yang berkaitan dengan kehidupan akan saya sentuh dalam program ini antaranya politik, sukan,hiburan, pendidikan. Bukan sahaja perbincangan di studio semata-mata malah kami juga berinterkasi dengan penonton melalui panggilan telefon dan juga kiriman SMS.

“Antara topik untuk minggu depan adalah topik kanak-kanak dan pengalaman mereka apabila hari pertama sesi persekolahan yang baru. Kami akan jemput kanak-kanak dan ibu bapa mereka untuk berkongsi pengalaman suka ataupun duka mereka bersama penonoton di rumah,” ujar Ally mengenai buah tangan terbaru terbitannya.

Mahu Ally bersifat 'original'

Menurut Ally idea serta isi kandungan rancangan tersebut tidak dicedok daripada mana-mana program bual bicara yang sedia ada di dalam mahupun di luar negara ini kerana team editorial tidak mahu dia terikut-ikut dengan format mahupun cara pengacaraan sesebuah program.

“Pihak penerbit eksekutif macam Abg Pian sendiri tak bagi saya menonton mana-mana program bual bicara, mereka tak mahu saya terikut-ikut dengan idea mahupun format yang digunakan mereka. Sebaliknya saya dengan Abg Pian sendiri selalu duduk berbincang selama hampir dua bulan untuk menentukan format dan isi kandungan prgoram Ally ini.

“Walaupun pada awalnya format sering bertukar-tukar akhirnya kami berjaya mencapai kata sepakat untuk membuat rancangan Ally sebagai sebuah rancangan yang santai namun isu-isu yang dibincangkan bersifat semasa dan ada unsur-unsur hiburan.

“Kami tak rujuk mana-mana program kerana bila dah terlalu banyak idea yang diambil dari program yang kita lihat itu sudah tidak ada ’originality’ dalam rancangan Ally. Program Ally semuanya tentang Ally,” kata model iklan kopi Ice Latte Dutchlady ini.

Menurut Ally lagi, biarpun sudah hampir sedekad dia menjadi pengacara namun cabaran yang dirasainya semasa mengacarakan programnya sendiri sangat besar.

“Program ini satu cabaran yang sangat besar bagi saya sebagai personaliti TV3 kerana ia merupakan program pertama yang disiarkan pada malam 1 Januari lalu. Jadi apa yang perlu saya lakukan adalah menampilkan imej Ally secara keseluruhan dan perlu membuat banyak kajian untuk mendapatkan maklumat terkini tetang topik-topik yang dipilih.

“Pada saya, program Ally mencabar dari segi mental kerana cara penyampaiannya berbeza.Kalau sudah melangkah ke dalam set, tak boleh ada yang silap saya perlu bijak memanfaatkan idea yang disumbangkan tetamu di studio disamping saya kena bijak menjana idea-idea sendiri bagi memastikan penonton tidak bosan.

Jelas Ally, jika dilihat pada isi kandungan serta format program tersebut masih ada ruang yang boleh diperbaiki lagi.

“Masih ada ruang yang boleh diperbaiki, mungkin saya akan betul-betul dapat ’feel’ bila dah masuk episod keempat dan kelima nanti. Saya tak nafikan pada episod pertama ini saya agak gemuruh namun semuanya masih terkawal dan tak lari jauh dari landasan yang betul.

“Kalau boleh saya bukan sahaja nak lihat program Ally ini dapat bertahan sekadar 13 episod tapi 13 tahun kalau boleh,”ujarnya dalam nada ceria.

Masih mencari jodoh

Dikala usia menginjak ke angka 32 tahun persoalan mengenai kekasih dan perkahwinan seringkali diajukan kepada jejaka kelahiran Gong Badak, Terengganu ini, namun bagi jejaka kacak ini kesibukan kerja kadang-kadang membuatkan dia seakan lupa mengenainya.

“Saya pernah target nak kahwin pada usia 34 tahun tapi sekarang saya tak meletakkan sasaran lagi. Memang saya mempunyai teman istimewa sebelum ini tapi hubungan kami baru sahaja berakhir ketika Aidilfitri lalu.

“Terus terang, saya katakan saya memang cerewet dalam soal memilih jodoh kerana sukar untuk mencari orang yang betul-betul faham kerja saya.

"Emak juga pernah mencari calon termasuk memperkenalkan saya dengan tiga gadis tapi nampaknya tidak ada yang serasi dengan saya. Saya tidak serik untuk bercinta lagi tapi fokus sekarang adalah kerjaya,”katanya mengkahiri perbualan.

Ally pernah digosipkan bercinta dengan pelakon cantik Fasha Sandha satu ketika dahulu dan persoalan tersebut timbul kembali apabila melihat pelakon jelita itu muncul sebagai tetamu jemputan dalam program Ally episod pertama .

Namun ketika diajukan soalan tersebut Ally hanya tergelak sambil berkata, dia melihat perkara tersebut sebagai gosip semata-mata.

“Dia bukan bekas kekasih saya, kawan rapat ada la,” ujar Ally dalam nada ceria.

Jangan lupa saksiksan Ally Iskandar dalam program Ally pada setiap hari Rabu, jam 11 malam di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Lain