suria

AJL23 milik Lagu Untukmu!

Meet Uncle Hussein tersenyum gembira di samping trofi kemenangan Lagu Untukmu yang meraih Juara AJL23 dan kategori Pop Rock. -foto The Star oleh Kamarul Ariffin
Meet Uncle Hussein tersenyum gembira di samping trofi kemenangan Lagu Untukmu yang meraih Juara AJL23 dan kategori Pop Rock. -foto The Star oleh Kamarul Ariffin
Meet Uncle Hussein tersenyum gembira di samping trofi kemenangan Lagu Untukmu yang meraih Juara AJL23 dan kategori Pop Rock. -foto The Star oleh Kamarul Ariffin

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Dua tahun berturut-turut dalam sejarah, band indie memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) bilamana AJL23 dimenangi oleh Lagu Untukmu!

Jika tahun lepas, band Estranged telah mengungguli AJL22 menerusi lagu Itu Kamu, malam ini band Meet Uncle Hussein (MUH) mengiringi kemenangan AJL23 menerusi kategori Pop Rock.

Dengan kemenangan Lagu Untukmu ciptaan Taja, Tass, Lan dan lirik oleh Taja dan Tass, mereka telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM37,000.

Lagu tema siri Kami yang semakin popular sekitar tahun 2007 itu telah berjaya meraih sorakan penonton yang seolah-olah bersetuju dengan kemenangannya pada malam tadi di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini.

“Syukur, Alhamdulillah atas kemenangan ini. Seorang komposer pernah berkata kita tidak tahu nasib sesebuah lagu itu. Apabila lagu ini dicipta pada tahun 2005, akhirnya pada tahun ini ia mempunyai nasib menjadi juara. Terima kasih kepada semua,” luah komposer dan penulis lirik Taja yang juga merupakan salah seorang anggota MUH.

Sementara vokalisnya, Lan berkata dia tidak menyangka akan kemenangan Lagu Untukmu kerana menyangkakan lagu Sampai Syurga nyanyian Faizal Tahir yang menang.

Lagu Untukmu telah berjaya mengalahkan empat buah lagu lain bagi kategori tersebut iaitu Bukan Disini nyanyian Sofaz ciptaan Zimi, One, Ameer Sofaz dan lirik oleh One, Yang Pernah (Estranged), Aku Stacy (Stacy/ Intan Norul Azlin/ Intan Norul Azlin, Layla Ismail) dan Kalis Rindu (Elyana/ Aidit Alfian/ Ad Samad).

Sementara bagi kategori Balada, lagu Sampai Syurga ciptaan Audi Mok dan Ahmad Izham Omar serta lirik oleh penyanyinya, Faizal Tahir telah berjaya meraih kemenangan sekaligus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.

Bukan itu sahaja, penyanyi yang pernah dilanda kontroversi itu turut memenangi hadiah bagi Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik yang memberikan ganjaran kepada Faizal berupa trofi dan wang tunai RM10,000 setiap satu.

Dalam pada itu, Juara Etnik Kreatif pula berjaya dimenangi oleh lagu Persoalan Cinta ciptaan Julfekar dan lirik oleh Ku Seman/ Izza Rosley nyanyian Farawahida yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.

Persembahan 14 finalis AJL23 diadili oleh juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu komposer dan penulis lirik Hazami, pemuzik Acis, penyanyi Adibah Noor, komposer Helen Yap, editor hiburan Saharudin Mustafa, Mohariz Yaakub, Dr. Wan Zawawi dan Azmeer selaku ketua juri.

Pertandingan yang bertemakan Iluminasi Muzik ini dihoskan oleh gandingan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar.

Selain menyaksikan finalis-finalis yang bertanding, AJL turut menjemput penyanyi tersohor M. Nasir, Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, Wada, Hafiz dan Haqiem dalam persembahan ‘interlude’ selain One Nation Emcees sebagai persembahan pembukaan dengan iringan muzik orkestra bimbingan pemuzik hebat Ramli MS.

AJL23 yang disiarkan oleh TV3 dan stesen radio Hot FM ini turut dihadiri oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Abd. Mutalib Datuk Seri Mohammed Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, dan Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin.

Buat pertama kalinya, STAGE Cosmetics telah dipilih sebagai penaja rasmi AJL23.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain