suria

Ibnor Riza: “Kos album baru saya ibarat membina sebiji banglo”

Ibnor Riza kini tampil dengan album terbaru, Senandung Ku. -foto mStar oleh Siti Azira Abd. Aziz
Ibnor Riza kini tampil dengan album terbaru, Senandung Ku. -foto mStar oleh Siti Azira Abd. Aziz
Ibnor Riza kini tampil dengan album terbaru, Senandung Ku. -foto mStar oleh Siti Azira Abd. Aziz

SELEPAS lebih 10 tahun tidak menghasilkan album solo, penyanyi Ibnor Riza, 48, yang popular dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah kini tampil dengan album solo terbaru, Senandungku.

Kali terakhir Ibnor mengeluarkan album solo, Ke Bahtera Impian sekitar tahun 1997.

Dua tahun lalu, Ibnor telah menghasilkan album kompilasi berjudul Kerongsang Jiwa.

“Saya terlalu gembira kerana dapat kembali dengan album solo terbaru. Tak dapat digambarkan bagaimana perasaan itu. Alhamdulillah..,” luah Ibnor ketika majlis pelancaran album dan mini showcasenya di Kelab Dewan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dengan usia 23 tahun mendiami dunia seni tanah air, Ibnor bagaikan tidak putus harapan untuk menghasilkan album ke-14.

Tetapi di atas desakan kewangan yang tidak memuaskan, Ibnor terpaksa bersabar menanti sehingga bajet untuk membikin album itu mencukupi.

“Kalau sebelum ini, saya terpaksa bersabar untuk membuat album terbaru sebab masalah kewangan. Lagipun, dulu orang sukakan album kompilasi. Jadi, saya hasilkan album kompilasi. Tetapi selepas menghasilkan album tersebut, saya meninggalkan Sony BMG dan sudah nampak jalannya.

“Tidak perlulah saya beritahu berapa jumlah kos perbelanjaan untuk membikin album ini tetapi yang pasti kosnya ibarat membina sebiji banglo.

“Modalnya terlampau tinggi. Tetapi, saya gembira kerana jualan album ini telah pulang modal. Kali ini, sudah 2,000 unit album ini telah diedarkan dan sudah diulang cetak semula. Kiranya, saya buat apa yang saya mampu sahaja,” terang Ibnor.

Kebanyakan pendengar sekarang gemarkan lagu-lagu segar dan pastinya hal tersebut memberikan sedikit cabaran buat Ibnor untuk merealisasikan impiannya di samping menghasilkan lagu yang menepati citarasa mereka.

“Citarasa pendengar sekarang berbagai-bagai. Lagu Mimpi Yang Tak Sudah adalah lagu lama yang sudah berusia 21 tahun tetapi masih diminati sehingga kini.

“Melodi seperti itu memang susah untuk dicari dan tidak ditonjolkan sedangkan pendengar mahukan melodi seperti ini.

“Jadi, dengan adanya album saya ini, saya akan kembalikan semula melodi-melodi seperti itu dengan muzik yang moden dari segi bunyinya.

“Muzik yang kita dengar sekarang ini adalah sama tetapi bunyinya yang berbeza. Yang penting sekarang ini kita perlu tonjolkan identiti kita yang sebenar.

“Saya akui yang muda-mudi sekarang telah disogok dengan muzik identiti luar tetapi apabila orang Melayu yang menyanyi, dia kata kita yang punya,” ulas Ibnor mengenai strateginya dalam memikat pendengar generasi sekarang.

Jika dilihat dari sudut promosi, Ibnor tidak segan untuk turun padang menjual album di setiap showcase yang diadakan.

Berbekalkan pengalaman dahulu, Ibnor lebih selesa menjual albumnya dengan usaha sendiri kerana segala hasil yang diperolehi akan masuk ke dalam poketnya sendiri menerusi syarikatnya, Kris Entertainment Sdn. Bhd.

“Menjual album sendiri ni juga banyak keuntungannya kerana kita tidak perlu takut untuk berhadapan dengan gejala cetak rompak,” katanya.

Ibnor menambah, album Senandung Ku akan memasuki pasaran juga sekiranya gejala cetak rompak sudah tidak berleluasa lagi.

Dalam masa yang sama, Ibnor turut dalam proses memilih pengedar-pengedar yang ingin mengedarkan Senandung Ku di pasaran.

“Setakat ini, sudah 80 peratus modal pulangan yang saya dapat semula,” beritahu Ibnor.

Selain itu, pihak stesen radio tempatan dan swasta turut tidak ketinggalan mempromosikan lagu-lagu di dalam album Senandungku.

Antara 10 buah lagu terbarunya yang mendapat sentuhan komposer seperti Adam Ahmad, M. Nasir dan lain-lain lagi adalah Kini Kau Pergi, Rajuk Kasih, Kaca Dalam Permata, Senandung Ku Untuk Mu dan Pelangi Rindu. Ibnor turut menggubah lagu seperti Dusta, Sepi, dan Seribu Penyesalan Sejuta Keinsafan.

“Setakat ini, stesen radio sama ada tempatan ataupun swasta seperti Best 104 FM dan Sinar FM menerima lagu-lagu saya kerana ia mempunyai penggemar tersendiri. Setakat saya buat album sebelum ini, tak pernah pun lagu-lagu saya dipinggirkan,” kata Ibnor.

Sebelum ini, Ibnor pernah menyatakan keinginannya untuk menyanyikan lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab namun hasratnya itu belum kesampaian.

“Saya dah bagi duit sebanyak RM22,000 kepada Datuk Ahmad Nawab untuk menghasilkan dua buah lagu untuk saya.

“Saya dah beri duit itu selama dua bulan dan akhirnya beliau menolak. Beliau merupakan seorang komposer yang mementingkan kualiti dan mempunyai 200 buah lagu di dalam simpanannya tetapi lagu-lagu tersebut bukan untuk Ibnor Riza,” jelas Ibnor yang masih bercita-cita untuk mendapatkan lagu ciptaan Ahmad Nawab pada masa akan datang.

Bekas Pegawai Kebudayaan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ini bagaikan terpanggil untuk menghasilkan album terbarunya itu apabila merasakan peminat masih dahagakan lagu-lagu bercorak 80-an seperti Mimpi Yang Tak Sudah.

“Saya akan imbau kembali lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini. Dalam industri ini, bagaimana kita nak cari publisiti jika tiada album.

“Pasport saya untuk bergelar seorang penyanyi adalah album,” ujar Ibnor yang memulakan proses pengumpulan materialnya sejak tahun 2007.

Menurut Ibnor, penghasilan album yang mengemukakan konsep pop komersial itu mengambil masa yang agak lama kerana ianya harus dijalankan dengan teliti bagi menghasilkan satu produk yang bermutu, menepati imej yang ditampilkan oleh Ibnor untuk album kali ini yang lebih bersahaja dan ringkas.

Setakat ini, Ibnor yang mula membabitkan diri dalam bidang seni suara pada 1986 telah menghasilkan 14 album antaranya Meneka Dalam Kesamaran (1986), Berdiri Seorang Perindu (1987), Sudah Terluka Merindu Pula (1988), Rahsia Ukiran Duka (1989), Mimpi Ukiran Duka (1990), Seindah Budimu Volume 1, Berduet dengan Rohayu Majid (1990), dan Seindah Budimu Volume 2 (1991).

Mengenai kehidupannya sekarang, Ibnor berkata dia hidup bahagia bersama isterinya, Dayang Norhayati Mohd. Nor, 43 dan anak tunggalnya, Puteri Norizah, 18 yang menetap di Brunei Darussalam.

Kata Ibnor, puterinya itu juga aktif menyanyi dan sudah menghasilkan lima buah album yang dipasarkan di Brunei.

Namun, buat masa ini Ibnor berkata dia belum mempunyai perancangan untuk berduet dengan anaknya itu.

“Puteri Norizah masih belajar dan mungkin dia mempunyai sasaran tersendiri. Saya tak tahulah pada masa akan datang macam mana,” kata Ibnor.

Mengenai perancangan karier seninya pada masa hadapan, Ibnor berkata dia hanya boleh meletakkan sasaran mengikut penggemar yang berbeza-beza.

“Jika dulu, kita tahu yang kita hanya boleh buat killer album dan tak boleh buat killer song. Misalnya, kita nak stesen radio putarkan lagu ini tetapi tiada sambutan. Juruhebah sekarang juga sudah berlainan daripada cara pemikiran juruhebah dulu. Jadi, saya perlu fikirkan tentang bagaimana caranya untuk mendekati pendengar..,” jelas Ibnor yang belum merancang untuk berhenti menyanyi selagi mampu meyakinkan peminat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain