suria

Aditya: Kecelaruan hala tuju!

Abby Abadi menuntut cerai setelah tidak tahan dengan kecurangan suami.
Abby Abadi menuntut cerai setelah tidak tahan dengan kecurangan suami.
Abby Abadi menuntut cerai setelah tidak tahan dengan kecurangan suami.

SELEPAS hampir dua bulan 2009 membuka lembarannya, boleh dikatakan industri hiburan Melayu masih belum menunjukkan sebarang perubahan. Mungkin terlalu awal untuk mengatakan perubahan atau perkembangan yang lebih positif berbanding 2008.

Tiada berita besar mengenai industri yang boleh kita banggakan sebagai industri. Cuma penangguhan konsert Rihanna, itupun bukan disebabkan timbal balas daripada kesan tragis yang berlaku di Semenanjung Gaza tetapi kerana masalah peribadi penyanyi Umbrella itu yang bersengketa dengan kekasihnya, Chris Brown.

Selebihnya industri Melayu masih dihidangkan dengan berita-berita sensasi seperti mana sensasinya dunia politik Perak hari ini. Tahun lalu, kisah peribadi artis yang menjadi bahan tulisan wartawan dan paparan media TV seperti pecah rekod kerana terlalu banyak. Kisah dalam kain lebih besar daripada pencapaian bakat mereka!

Baik yang baru membina masjid, tidak kurang juga ‘meruntuhkan’ mahligai itu lalu menjengah tangga Mahkamah Syariah menuntut kebenaran dan keadilan. Berita-berita ini mensensasikan lagi dunia hiburan Melayu yang belum ke mana pun.

Panjang kisah sensasi itu hingga terheret ke tahun ini. Kisah tiga jiwa yang kini menjadi empat – Abby Abadi – Norman Hakim – Memey Suhaiza – Zulkifli Ariffin terus menjadi jamuan media untuk para penggemar gosip dan cerita dalam kain artis.

Hampir tamat cerita talak satu Abby – Norman, Abby pula ribut dengan mesra belum cinta bersama Zulkifli yang sama-sama berlakon dalam Apa Itu Cinta dan Gerak Khas. Masing-masing tidak mengaku ada cinta di hati mereka tetapi menurut laporan media, mereka macam belangkas. Di mana ada Abby, di situlah ada Zulkifli.

Rita Rudaini dan mentua saling membalas kenyataan di media. Cerita cerai Aziz M Osman dengan wanita yang baru dinikahinya turut disensasikan di muka depan akhbar.

Kisah artis tidak lagi untuk ruangan yang dikhaskan untuk mereka, sebalik mencuri ruang di muka depan yang selalunya untuk orang politik berpolitik atau penjenayah ditembak mati.

Bagaimanapun inilah realiti pentas hiburan kita setakat ini. Pencapaian peribadi nampaknya terus menjadi perhatian masyarakat berbanding kejayaan sebenar hasil kerja seni yang berasaskan bakat.

Realitinya juga orang seni kita bagaikan ketandusan idea untuk ‘dijaja’ dalam media sedangkan dalam masa yang sama, mereka memerlukan publisiti yang menjadi pemangkin kepada populariti sambil memberitahu masyarakat yang mereka wujud di bumi seni hiburan.

Realitinya hari ini, bukan mudah untuk mempertahankan populariti itu lantaran kemasukan yang tidak terkawal bakat baru yang belum tentu bakatnya ke dalam kelompok artis. Apakah dalam hal ini, pihak media yang harus dipersalahkan kerana terlalu ghairah mencari berita? Sering kali juga hal yang sekelumit pun, apabila disensasikan oleh media massa, bisa menggegarkan seluruh pelusuk dunia seni.

Apakah ini caranya orang media bertanggungjawab dalam menaikkan nama artis atau lebih gempak lagi memartabatkan dunia seni.

Walau bagaimanapun perlu kita sedar yang bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Bagaikan sireh bertepuk pinang menari, inilah juga media hiburan dengan artis. Mereka saling memerlukan, saling berpakatan dan saling bekerjasama walaupun ada yang bermasam muka serta berjauh hati.

Sesetengah anak seni pula, tidak pernah kisah cerita dalam kainnya disensasikan untuk menjadi bahan tatapan dan lawak jenaka penggemar. Kononnya pada anggapan mereka, peminat menyukai apa yang mereka perkatakan di dalam media.

Walaupun sebenarnya mereka gilakan publisiti waima dalam bentuk apa juga sekalipun.

Dalam mengejar dan mencipta publisiti murahan sebegini, golongan begini selalu terlupa yang bijak pandai pernah menyimpulkan kalau lagi banyak kita bercakap, lagi besar potensi untuk kita membuat salah atau tersilap cakap.

Mereka lupa yang berdiam menutup mulut adalah lebih baik daripada terus ‘menggalakkan’ penggemar hiburan Melayu ini mereka-reka fitnah yang tidak berkesudahan.

Mereka juga lupa yang dunia seni adalah bidang paling mudah untuk mendatangkan fitnah yang tidak bertepi sekiranya tersilap langkah. Biarpun sedikit tergelincir, ia mudah menjerumuskan ke arah kesesatan yang dalam.

Anak seni selalunya tidak hanya berbekalkan bakat dan rupa (yang sering dilabelkan sebagai pakej di Malaysia) malah mereka perlu memilik ‘pendinding’ dari segi kekuatan mental.

Kalau mental tidak kuat, jiwa mudah rapuh dan hati cepat terpengaruh. Nescaya psikologi diri terganggu yang memungkinkan kepada perbuatan yang tidak masuk dek akal.

Jiwa yang rapuh dengan gangguan anasir tidak sihat membentuk moral dan akhlak yang tidak baik. Jauh sekali untuk kita kaitkan dengan peranan anak seni sebagai ‘role model’ di sini.

Jauh! Ini kerana, manusia seni yang digambarkan sebagai manusia yang berjiwa sensitif ini tidak semuanya boleh dibuat contoh.

Tidak perlu Aditya lanjutkan kepada kelemahan psikologi dan kendiri warga seni ini kerana kita sedia maklum dengan pelbagai peristiwa artis di dalam industri.

Sekiranya kekuatan mental tidak ke mana, berlakulah kecelaruan hala tuju mereka sebenarnya di dalam industri.

Niat yang baik selalunya sering ada godaan, jadi mental mesti kuat dan jiwa harus besar. Lainlah awal-awal lagi mereka ingin menjadi anak seni untuk melacurkan diri!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aditya: Kecelaruan hala tuju!

Artikel Lain