suria

Adam ikut jejak KRU, bakal bergelar pengarah

Adam akan mengarah telefilem sulungnya, Wira Malam
Adam akan mengarah telefilem sulungnya, Wira Malam
Adam akan mengarah telefilem sulungnya, Wira Malam

PERCATURAN jejaka kelahiran program Akademi Fantasia musim kedua (AF2) ini di dalam bidang hiburan ternyata membuahkan hasil.

Peluang dan bimbingan yang diberikan oleh kumpulan adik-beradik KRU selama ini tidak pernah dipersia-siakan oleh Adam, malah satu demi satu kejayaan yang diraih oleh Norman, Yusry dan Edry telah membakar semangat Adam untuk berdiri sama tinggi dengan mereka.

Sedikit demi sedikit, Adam mula mengikut jejak langkah adik-beradik ini. Setelah mengukir nama dengan baik sebagai penyanyi menerusi tiga buah album yang telah dihasilkan, Adam sudah boleh tersenyum bangga apabila berjaya menubuhkan syarikatnya sendiri, Aico Entertainment yang kini mempunyai artis naungannya sendiri iaitu B.A.D Boys.

Kini, pemuda berusia 25 tahun ini melangkah setapak lagi dengan bergelar pengarah drama pula. Drama yang akan dihasilkan dalam bentuk telefilem itu juga akan menyaksikan Adam sendiri sebagai pelakon utama memegang karektor 'superhero'.

Bukan mahu 'meniru' apa yang dibuat oleh KRU, tetapi luah Adam, apa yang telah dilakukan oleh kumpulan muzik popular pada era 90an itu sememangnya menjadi inspirasi untuk Adam walaupun dia sedar pasti ada yang meragui kemampuannya bergelar pengarah.

"Perkara ini memang sudah lama saya impikan, sejak melihat betapa hebatnya KRU sendiri menghasilkan filem. Saya akui, saya ingin berjaya seperti mereka.

"Saya sedar saya tidak ada pengalaman besar bidang pengarahan, tetapi dengan sedikit ilmu yang saya kutip sebagai pengarah video muzik kumpulan B.A.D Boys dulu, saya yakin saya sudah bersedia.

"Lagipun saya akan dibantu oleh penolong pengarah saya, Hafiz. Sukar untuk saya jelaskan lagi, tetapi tengok sajalah nanti hasilnya," kata Adam yang akan memulakan penggambaran telefilem itu pada April depan.

Mengulas lanjut tentang telefilem yang berjudul Wira Malam itu, kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini, telefilem tersebut merupakan projek bersama bapa saudaranya di bawah syarikat yang ditubuhkan mereka iaitu Curio Communications.

Tambah Adam, idea cerita yang mengangkat kisah 'superhero' itu dicetuskan olehnya sendiri manakala skripnya akan dibuat bersama penulis skrip, Farah Alya.

"Apa yang boleh saya katakan, ia adalah sebuah kisah 'superhero' yang lebih serius. Akan ada kostum khas yang direka kelak dan karektor Wira Malam ini juga memerlukan saya pandai menggunakan alat senjata 'nunchaku'.

"Babak 'fighting' juga akan saya reka untuk jadi lain dari yang lain. Saya amat teruja sebenarnya tentang projek sulung saya ini. Buat masa ini saya masih meneliti pelakon wanita yang sesuai untuk telefilem ini.

"Insya-Allah, ia akan ditayangkan di salah sebuah stesen televisyen pada akhir tahun ini," tutur Adam yang sedang giat menjalani latihan menggunakan 'nunchaku'.

Sebelum memulakan penggambaran telefilem tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu Tak Tahu ini akan sibuk dengan penggambaran filem keempat lakonannya, Dimensi Cinta, bermula akhir bulan ini.

Memegang watak sebagai ketua sebuah kumpulan tarian hip-hop, kata Adam, elemen tarian yang diselitkan di dalam filem berkonsepkan cinta itu membuatkan dirinya tertarik untuk menerima tawaran filem arahan Eddie Pak ini.

"Saya ditawarkan pada bulan Januari lalu. Memang saya cukup menyukai watak As yang akan saya pegang dalam filem ini kerana ia membabitkan tarian.

"Karektor saya agak jahat juga di dalam filem ini dan suka membuli budak-budak yang menari 'shuffle'. Saya turut diberi tanggungjawab untuk 'monitor' koreografi semua tarian di dalam filem ini," kata Adam dalam nada ceria.

Filem usahasama Harian Inovatif Sdn Bhd (HISB) dengan kerjasama Syarikat Sunday To Sunday Services Sdn Bhd (STSS) mengenengahkan Fahrin Ahmad dan Catriona Ross sebagai tunggak utama.

Selain Adam, turut sama menjayakan filem ini ialah Memey, Zarina AF, Eman Manan, Awie dan Scha.

Secara ringkasnya, Dimensi Cinta merupakan kisah benar dan berkisar tentang Raja Soffhilea (Catriona) yang sering didera oleh bekas suaminya, Redhuan (Eman).

Soffhilea yang mempunyai tiga orang anak akhirnya bangkit dari kesengsaraan itu setelah bercerai dengan Redhuan dan berjaya membentuk empayar perniagaannya sendiri atas bantuan Imran (Fahrin).

Dalam perkembangan lain, Adam juga telah memulakan konsert jelajah solonya di Labuan pada 3 Januari lalu dan ketika ini sedang menantikan permit untuk meneruskan konsert mininya itu di beberapa buah lokasi lagi di sana. Lokasi seterusnya dijangka akan dibuat di Keningau.

"Sambutan yang saya terima ketika adakan konsert mini di Labuan tempoh hari cukup memberangsangkan. Walaupun ini bukanlah konsert yang besar memandangkan tiada tajaan mana-mana pihak pun, tetapi saya bersyukur ia mendapat respon yang baik daripada peminat.

"Memang saya ada perancangan untuk buat di Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain juga. Semuanya masih di dalam perancangan lagi," kata Adam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain