suria

Annalizza sanggup ke Malaysia demi 'mimpi' Sudirman

Annalizza, wanita Belanda yang bercakap dengan Allahyarham Sudirman di dalam mimpi. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Annalizza, wanita Belanda yang bercakap dengan Allahyarham Sudirman di dalam mimpi. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Annalizza, wanita Belanda yang bercakap dengan Allahyarham Sudirman di dalam mimpi. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

MAJLIS tahlil sempena memperingati pemergian Allahyarham Sudirman pada 22 Februari 1992 di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, semalam menimbulkan suatu cerita menarik apabila seorang wanita Belanda yang tidak dikenali dari Amsterdam datang ke majlis tersebut.

Mimpi biasanya dianggap sebagai mainan tidur tetapi mana tahu mimpi seseorang itu boleh menjadi kenyataan seperti Annalizza yang dapat berbual dengan Allahyarham Sudirman di dalam mimpi.

Wanita berumur dalam lingkungan 40-an itu mengatakan Allahyarham Sudirman yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini telah masuk ke dalam mimpinya.

“Dalam mimpi itu Sudir meminta saya datang ke pusaranya dan berjumpa dengan kakaknya, Ibu Rodziah.

“Saya kata malu hendak berjumpa dengan kakaknya. Dia berkata jangan malu kerana kakaknya seorang yang baik.

“Selepas itu, saya berjanji dengannya untuk datang ke Malaysia,” ujar Anna dalam bahasa Indonesia mengenai mimpinya yang berlaku kira-kira empat bulan lalu itu.

Menurut Anna, disebabkan dia berjanji untuk datang ke Malaysia, dia yang sebelum itu belum pernah menjejakkan kaki ke sini sanggup mengumpul wang untuk menampung perbelanjaannya.

“Waktu saya mimpikan arwah, dia berada dalam keadaan baring dengan tubuh kurus dan kecil sambil berkata dia sakit paru-paru.

“Selepas itu, saya usapnya. Saya juga nampak di tapak tangannya ada bintik kemerah-merahan,” cerita Anna yang merahsiakan pekerjaan sebenarnya dengan mengatakan dia bekerja di bahagian pentadbiran.

Tambah Anna, dia terkejut apabila bintik merah yang dilihat pada tapak tangan Allahyarham Sudirman turut terdapat di tapak tangan kakak Allahyarham, Datin Rodziah Arshad apabila mereka berjumpa pada 27 November lalu di Bangsar.

Sebelum itu, pada hari yang sama, Anna terlebih dahulu pergi ke kubur Allahyarham seperti yang dialamatkan di dalam mimpinya.

“Semasa saya berjanji untuk datang, saya pegang tangannya. Waktu itu, saya berasa curiga kerana tangannya dingin.

“Dia memberi alamat Chengal, Temerloh, Pahang. Apa yang saya ingat, dia kata tempat itu berwarna putih,” ulas Anna.

Jelas Anna, semasa dia datang ke sini, ada orang menolongnya ketika sampai di Malaysia.

“Saya bernasib baik kerana ditemani oleh keluarga kakak ipar jiran saya di Amsterdam yang tinggal di sini untuk sampai ke Temerloh,” luah Anna.

Katanya, jiran yang juga kawan baiknya itu merupakan orang Indonesia.

Ketika temubual dibuat, keluarga yang membantu Anna iaitu pasangan suami isteri, Aziz dan Penny serta anak lelakinya turut hadir ke majlis tahlil itu.

Mereka sekeluarga tinggal di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Cerita Aziz, perjalanan mereka berempat ke Temerloh berjalan dengan lancar. Namun, sebelum sampai di tempat yang dimaksudkan oleh Anna iaitu Chengal, wanita itu tidak mengatakan dia hendak ke tanah perkuburan.

“Sepanjang kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Temerloh, Anna kurang bercakap dan langsung tidak menceritakan tentang Sudirman. Selepas sampai di sana, baru dia menyebut sama ada saya mengenali Sudirman atau tidak.

“Saya terus cakap, itu penyanyi terkenal yang dah lama meninggal dunia. Selepas itu, terus kami mencari kubur arwah. Sebelum itu, kami bertanya kepada beberapa orang yang terdapat di sebuah restoran di situ.

“Apabila sampai di kubur itu, Anna berkata arwah memberitahu tempat tinggalnya berwarna putih.

“Selepas itu, Anna pejamkan mata seketika dan kami terus berpecah mencari kubur ‘berwarna putih’. Anna terus mengikut gerak hatinya untuk pergi ke kanan manakala saya dan isteri bergerak ke sebelah kiri.

“Akhirnya, dengan mudah dia menjumpai kubur arwah,” cerita Naib Presiden Kelab P. Ramlee ini yang akhirnya mempercayai cerita Anna apabila melihat kesungguhannya yang sanggup datang dari jauh.

Ujar Anna, dia pada mulanya sukar mengenalpasti tulisan jawi di batu nesan kerana diakui dia merupakan bekas penganut agama Kristian yang kini memeluk agama Islam selepas berkahwin dengan warga Indonesia.

“Selepas sah kubur itu milik arwah, terus saya berdoa untuknya dan mencium kubur itu.

“Saya juga meluah perasaan di kubur itu. Antaranya saya berkata 'kakak hanya orang biasa'.

“Apabila di dalam mimpi dia meminta saya berjumpa dengan kakaknya, saya agak curiga dengan alamat rumah yang diberikan iaitu sama ada nombor rumahnya adalah 61 atau 16.

“Saya juga mengatakan yang saya takut diusir dan dihina kerana saya hanya orang biasa,” ulas ibu tunggal kepada Danny, 25.

Bagi menjawab reaksi anaknya apabila mengetahui hal itu, Anna yang baru tiba dari Amsterdam semalam dan terus bergegas ke majlis tahlil itu berkata Danny tidak marah apabila dia menyayangi penyanyi yang digelar 'the Singing Lawyer' itu.

Tuturnya, apabila mengetahui cerita tentang arwah menerusi kakaknya, dia dapati latar belakang hidup dan nasib mereka hampir sama misalnya dia ditinggalkan oleh bekas suaminya.

“Sebagaimana saya ceritakan tentang keperibadian Sudir yang saya mimpikan adalah seorang yang manja dan murah hati, Ibu Rodziah juga mengiyakan kenyataan itu,” tutur Anna yang pernah dilahirkan dan menetap di Indonesia.

Anna juga meluahkan yang dia langsung tidak menyangka Sudirman yang bercakap dengannya di dalam mimpi itu telah meninggal dunia 17 tahun lalu.

Sembang Anna, jika arwah masih hidup: “Saya nak berkenalan dengannya.”

Tambahnya dalam nada puas hati kerana berjaya melunaskan janjinya dengan arwah: “Sekarang, saya sudah berasa gembira dan tenang.”

Anna juga mengakui selepas mendengar CD lagu arwah yang diberikan oleh Rodziah, terus dia menyukai lagu-lagu tersebut sehingga meminta anaknya memindahkan ke dalam telefon bimbitnya.

“Saya paling menyukai lagu 'Bila Wajahmu Kubayangkan',” kata Anna yang memilih lagu tersebut sebagai nada dering telefon bimbitnya.

Beliau yang dijangka akan menghabiskan masa selama tiga minggu di Malaysia merancang untuk berkunjung ke pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh serta berdoa untuknya pada 22 Februari ini.

“Saya datang ke sini hanya untuk dia,” kata Anna yang akan mengikut keluarga Aziz ke Indonesia beberapa hari dan selepas itu kembali semula ke Malaysia.

Kemudian, Anna akan pulang ke Amsterdam dan belum pasti sama ada akan menetap di Malaysia pada suatu hari nanti atau tidak kerana dia memegang kerakyatan di sana.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain