USAHA TV9 untuk mendekati masyarakat desa dan penduduk kampung di destinasi kedua Kampung Tanjung Chenak, Pasir Mas Kelantan dilihat berjaya apabila tapak acara padang sentiasa dipenuhi penduduk yang berkunjung.Bukan itu sahaja, kebanjiran pengunjung telah menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang tiga kilometer jalan raya serta menyukarkan kenderaan untuk keluar masuk. Tambahan semasa rakaman rancangan Halaqah yang di hoskan oleh Ustaz Ahmad Shukri Yusoff turut menjadi tumpuan apabila penduduk terpaksa duduk di atas padang untuk mendengar hujah-hujah ahli panel yang dijemput.'Apa Khabar Orang Kampung' anjuran TV9 yang dibawakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah (KKLW) selaku penaja utama dan Hotlink selaku penaja bersama ini juga menerima kunjungan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Y.B. Senator Tan Sri Datuk Muhammad bin Muhammad Taib, Ketua Zon Pantai Timur, Maxis Communications Mazlan bin Mokhtar dan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.Kehadiran TV9 ke Kampung Tanjung Chenak pada didorong oleh kemeriahan sambutan terdahulu oleh penduduk kampung destinasi sebelumnya. Ini menunjukkan penduduk menyokong usaha semua pihak untuk mewujudkan masyarakat bekerjasama dan saling bantu membantu.Tambahan, pelbagai aktiviti menarik yang dapat mengeratkan hubungan kemesraan antara penduduk desa, warga kerja TV9, dan pihak kementerian. Antara acara-acara yang dimeriahkan penduduk kampung adalah aktiviti gotong-royong seperti memasak, membersihkan kawasan persekitaran kampung, pertandingan sukan seperti bola jaring, futsal dan banyak lagi.Tidak ketinggalan, aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah, tazkirah, ceramah motivasi, kuliah subuh, sumbangan kemasyarakatan, serta pameran-pameran produk, dianjurkan khas buat penduduk seiring dengan misi TV9 yang mementingkan pembangunan rohani masyarakat dan kemajuan masa kini.Pada sebelah malamnya pula, penduduk telah menyaksikan program rakaman rancangan Halaqah. Mereka berpeluang menambah ilmu agama melalui tajuk yang dipilih dan perbualan ahli panel yang dijemput.Seperti biasa Halaqah menjemput dua ahli panel berpengalaman iaitu, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz selaku pendakwah dan Ustaz Badli Shah Alauddin selaku Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, JAIP. Tajuk perbincangan pada kali ini adalah ‘Duduk Elok-elok’ yang menekankan perhubungan persaudaraan yang harus sentiasa dipelihara.Namun apa yang berlaku hari ini, keretakan dan perpecahan antara umat telah menyebabkan timbulnya isu berpuak-puak dan bermusuh-musuhan. Untuk mengetahui kupasan selanjutnya, saksikan Halaqah setiap Ahad jam 9.30 malam.Turut menjadi tarikan utama adalah rancangan bual bicara TV9, Nasi Lemak kopi O yang di hoskan oleh Aziz Desa, Mek Nik Sayyidah, Farrah Adeeba, Norazean dan Norazura Abu Samah yang pasti membuka mata penonton dan mengajak penduduk kampung untuk turun padang. Rancangan bual bicara ini akan disiarkan secara langsung dari jam 8 hingga 10 pagi.Lebih menarik, sebagai penutup tirai kepada acara Apa Khabar Orang Kampung ini, satu konsert mini diadakan dengan penampilan artis-artis terkenal tanahair seperti Akbar, Aiman, Mirwana, D’ Putra dan dihoskan oleh Mek Nik Sayyidah dan Mohd Shahrizal.Menarik tentang Apa Khabar Orang Kampung adalah, penduduk setempat berpeluang mempamerkan barang hasil kerja tangan mereka seperti batik, kerepek, tudung saji, tembikar, dan batu bata untuk dikongsi bersama pengunjung.Justeru, membuka peluang pekerjaan kepada pemuda di desa dan menaikkan nama kampung di mata masyarakat dalam usaha membangunkan ekonomi masyarakat.Usaha untuk memajukan kawasan luar bandar pasti membuahkan hasil sekiranya semua pihak sudi bekerjasama dan melihat rancangan ini dari sudut positif.Pada tahun 2009 ini, TV9 dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah akan menjelajah ke enam lagi lokasi di semenanjung Malaysia.Acara berfaedah ini bertujuan menyahut seruan kerajaan dalam memartabatkan masyarakat melayu seterusnya mengeratkan ikatan silaturrahim antara masyarakat.Berikut adalah senarai destinasi yang akan dijelajahi oleh warga kerja TV9:1. Kota Tinggi, Johor: 21 & 22 Mac2. Perak : 16 & 17 Mei 3. Pahang : 20 & 21 Jun4. Kedah : 15 & 16 Ogos5. Terengganu : 4 & 5 September6. Penang : 10 & 11 Oktober