suria

AIM 16: Estranged ungguli 8 pencalonan

Antara barisan finalis yang tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16). -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Antara barisan finalis yang tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16). -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Antara barisan finalis yang tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16). -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

BAND indie Estranged mengungguli 8 pencalonan bagi 6 kategori dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei depan pukul 8.30 malam.

Estranged dianggotai oleh empat anak muda iaitu Richael Lawrence Gimbang atau Rich, (vokal), Solihuddin Hormat (bass), Nor Hanafi (gitar utama) dan Azwin Andy Malik (dram). Rich adalah antara peserta yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-3 yang dimenangi oleh Mawi.

Menerusi album ‘Remain Unknown’, Estranged tercalon bagi kategori Kulit Album Terbaik (Pereka Vignes Balasingam), Rakaman Album Terbaik (Jururakam JD Wong), Lagu Rock Terbaik (Aurora dan Yang Pernah), Album Inggeris Tempatan Terbaik (Produser Estranged dan JD Wong), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Dances of The Spirit dan In No Time) dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Aurora).

“Kami gembira sangat apabila tercalon dan cukup berbangga kerana AIM merupakan anugerah yang paling ditunggu.

"Kami akan 'perform' jika menang,"ulas Estranged yang bakal muncul dengan album baru pada tahun depan.

Dalam perkembangan lain, mereka telah mengeluarkan dua buah single terbaru dan akan menjayakan ‘road tour’ di Sabah dan Sarawak.

Menyusuli Estranged adalah Datuk Siti Nurhaliza dan Joe Flizzow dengan 7 pencalonan di mana Joe Flizzow menandingi 1 kategori daripada Siti.

Johan Ishak atau Joe Flizzow tercalon dalam 5 kategori iaitu Artis Baru Terbaik, Kulit Album Terbaik menerusi album President (Pereka Nadia Jasmin), Lagu Hip Hop Terbaik (Bergerak, Isabella dan Mengapa Harus Bercinta?), Album Inggeris Tempatan Terbaik (Produser DJ T-Bone, Goldfish, Koko, Syaheed, Terrytyelee, DJ Iman, Don M, Joe Flizzow dan Khan), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (All Around My World).

Sementara Siti pula layak bertanding bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Wanita) menerusi dua buah lagu iaitu Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman, Album Pop Etnik Terbaik melalui album Lentera Timur (Produser Johari Teh, Johan Nawawi, Aubrey Suwito, M. Nasir, Khairil Johari Johar, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan, Pak Ngah, Zul Mahat, S. Atan dan Datuk Siti Nurhaliza), Lagu Pop Etnik Terbaik (Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman), dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Pada CintaNya-Audi Mok dan Di Taman Teman-Fauzi Marzuki)

Reshmonu yang tampil dengan album Melayu pertamanya, Harapan turut tidak ketinggalan dicalonkan 5 pencalonan dalam 4 kategori.

Sama seperti Siti, dua buah lagu Reshmonu atau mesra dengan gelaran Resh turut dicalonkan menerusi Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki) iaitu Doa Untuk Dia dan Sayu.

Turut serta adalah kategori Rakaman Album Terbaik (Jururakam Reshmonu, Murali, Will Quinell dan C. L. Toh), Video Muzik Terbaik (Pengarah Reshmonu- Oh Anok Anok), Album Pop Terbaik (Produser Reshmonu dan Kavita Rajoo).

Dalam pada itu, band indie Hujan, Butterfingers, Malique, dan Misha Omar masing-masing dengan 4 pencalonan dalam 3 kategori.

Selain Joe Flizzow, Hujan yang dianggotai oleh Mohammed Noh Salleh atau Noh (vokal), Mohammad Hezry atau AG (gitaris), Azham Ahmad Ambobzeela (dram) dan Azhar atau Jaja (bass) turut dicalonkan kategori Artis Baru Terbaik bersama-sama Malique Ibrahim, Meet Uncle Hussain dan Suki.

Kategori lain yang turut mencalonkan Hujan adalah Album Rock Terbaik (Hujan-Produser Noh Hujan) dan Lagu Rock Terbaik (Bila Aku Sudah Tiada dan Dugaannya).

Sementara Butterfingers dicalonkan dalam kategori Video Muzik Terbaik menerusi video muzik lagu Mati Hidup kembali dan 1000 Tahun (Mahu Hidup) yang diarahkan oleh Kerol, Album Rock Terbaik melalui album Kembali yang diterbitkan oleh Butterfingers dan Faizal Shahrin, Lagu Rock Terbaik iaitu 1000 Tahun (Mahu Hidup) yang dicipta sepenuhnya oleh Loque.

Butterfingers dianggotai oleh Loque, Kadak, Emmet dan Kalai.

Bekas ahli Too Phat, Malique pula menjadi saingan terdekat rakan seperjuangannya, Joe Flizzow menerusi kategori Lagu Hip Hop Terbaik (Mentera Beradu dan Ok).

Selain itu, suami kepada pelakon dan model jelita Melissa Maureen Rizal ini turut tercalon dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (KL Streets).

Penyanyi wanita yang tercalon banyak kategori selepas Siti iaitu Misha Omar turut bersaing dengan penyanyi itu bagi kategori Lagu Pop Etnik Terbaik (Nafas Cahaya).

Misha juga bakal bersaing dalam kategori Album Pop Terbaik menerusi album Misha Omar yang diterbitkan oleh Ramli M.S, Ajai, Aidit Alfian, Azmeer, Cat Farish dan Nurfatimah dan Lagu Pop Terbaik (Cinta Adam dan Hawa dan Sampai Di Sini).

Raja SMS Asmawi Ani atau Mawi juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam pertandingan ini apabila dia berjaya mendapat 4 pencalonan dalam 2 kategori iaitu Album Nasyid Terbaik menerusi album Allah Habeebi yang diterbitkan oleh Farihin, M. Nasir, Edry KRU dan Othman Mahmood dan Lagu Nasyid Terbaik (Allah Habeebi, Serulah Namanya dan Teman Hakiki).

Jumlah pencalonan meningkat 40 peratus

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 16 Rosmin Hashim, berikutan penambahan 12 kategori khusus untuk mengiktiraf single-single yang diterbitkan, jumlah pencalonan yang diterima oleh Akademi (Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM)) meningkat sebanyak 40 peratus dalam tahun ini.

“Ini mencerminkan trend semasa industri muzik di mana lebih banyak single diterbitkan berbanding album oleh syarikat-syarikat rakaman, penerbitan mahupun artis sendiri.

“Oleh itu, AIM buat julung kalinya memperkenalkan 12 kategori iaitu Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu, Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita), Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Album Hip Hop Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Cina Terbaik dan Lagu India Terbaik.

“Selepas mendapat maklum balas dari para hakim pada tahun lalu, pihak Akademi juga telah menggabungkan kategori Susunan Lagu Terbaik yang sebelum ini dipecah dua mengikut kategori bahasa Melayu dan bukan Melayu.

“Jumlah lagu untuk memenuhi kriteria album juga telah dikecilkan dari 8 lagu kepada 5 lagu,” katanya ketika majlis sidang media di Hotel Concorde Kuala Lumpur, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi PAIMM Datuk Aziz Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif ntv7 Suridah Jalaluddin, Naib Presiden Kanan, Pemasaran Celcom (Malaysia) Berhad Zalman Aefendy Zainal Abidin, Pengurus Besar Media Prima Radio Network Seelan Paul, Rakan Kongsi, Ernst & Young Ahmad Zahirudin Rahim dan rakan artis.

Mereka adalah Noh (Hujan), Raihan, Goldkartz, Alyah, Shila OIAM, Ayu OIAM, Nikki, Farhan, Mawi, Reshmonu, Joe Flizzow dan ramai lagi.

Fakta mengenai AIM 16

- Proses penjurian terakhir telah dilangsungkan pada 8 Mac lalu di mana ‘top 5’ bagi semua kategori telah ditetapkan selepas menjalani dua pusingan di mana para juri mendengar dan melihat semua pencalonan bagi semua kategori dan memilih ‘top 10’ atau lebih di pusingan pertama.

- Ada kalanya jika sesuatu kategori itu tidak cukup pencalonan kerana kurang album dalam pasaran atau mutunya tidak memenuhi kriteria-kriteria juri maka didapati jumlah yang dipilih kurang dari angka tersebut. Misalnya kategori Album Pop Etnik Terbaik yang mempunyai 4 pencalonan sahaja manakala Album India Tempatan Terbaik dengan hanya 3 pencalonan.

- Kesemua 29 kategori dipertandingkan di mana pecahannya adalah Muzik Melayu Tenpatan- 12, Muzik Inggeris Tempatan- 10, Muzik Cina Tempatan- 3, Muzik India Tempatan- 3, dan Muzik Luar Negara- 1.

- Album yang layak dicalonkan adalah album yang diterbitkan pada tarikh kelayakan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2008. Semua pencalonan dibuat oleh syarikat yang menerbitkan album 1 lagu yang dicalonkan dan mereka mestilah menjadi ahli (Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

- Jumlah pencalonan tahun ini adalah 707, yang terbanyak dalam sejarah AIM. Ini disebabkan kewujudan kategori membabitkan single yang bertambah pada tahun ini.

- Jumlah juri yang terbabit bagi kedua pusingan ialah seramai 143 orang. Mereka terdiri daripada individu-individu yang terlibat secara langsung atau tidak dalam industri muzik yang terdiri dari penerbit, pencipta, penulis lirik, pemuzik, ‘arrangers’, jurutera studio, penyampai radio, wartawan hiburan dan lain-lain.

- Ketua juri, Ramli MS dan pihak juruaudit Ernst & Young bertanggungjawab untuk memastikan kesahihan dan proses penjurian berjalan dengan produser dan piawaian yang diperakui.

- Para finalis AIM 16 akan dibawa menjelajah tanahair dalam persembahan bergerak mereka di Kuantan Parade, Pahang (4 April), Plaza Alam Sentral, Shah Alam (11 April), Village Mall, Sungai Petani (18 April) dan Queensbay Mall, Pulau Pinang (25 April).

- Tiket-tiket untuk menyaksikan AIM 16 mula dijual pada 10 April dengan harga RM50. Untuk tempahan, hubungi 03-4044 5388.

- AIM 16 yang ditaja oleh Celcom turut disiarkan secara langsung di ntv7 dan diperdengarkan di radio Hot FM pada 2 Mei pukul 8.30 malam.

Artikel Sebelum

Yatt akhiri zaman solo

Artikel Berikut

Artikel Lain