suria

Dira popular hanya selepas bergelar ibu

Nama Dira mula melonjak naik setelah membintangi drama Rona Roni Makaroni - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Nama Dira mula melonjak naik setelah membintangi drama Rona Roni Makaroni - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Nama Dira mula melonjak naik setelah membintangi drama Rona Roni Makaroni - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

MELIHAT kepada tubuh langsing si tuan empunya diri, pasti ramai yang tidak menyangka pemilik nama Khaidhirah Abu Zahar yang mesra disapa Dira ini sebenarnya sudah mempunyai seorang cahaya mata, Tengku Anggun Deandra berumur setahun setengah.

Dira dalam nada ceria turut akui, tidak ramai yang tahu dirinya sudah lama bergelar isteri.

Namun, pelakon berusia 25 tahun ini tidak pernah menyembunyikan status dirinya yang sebenar.

Tutur Dira, jika ada yang bertanya, dia tidak pernah sesekali menafikan dirinya sudah berumahtangga sejak awal 2007 lagi dengan pemain keyboard kumpulan Bau, Tengku Shafiz-Rullah atau Ash.

Mungkin status sebagai isteri dan rezeki anak memberi tuah buat Dira apabila namanya kini mula menjadi sebutan ramai sejak muncul di dalam drama terbitan Radius One Sdn Bhd, Rona Roni Makaroni memegang watak Gia, walaupun pembabitannya di dalam bidang ini sudah bermula sejak beberapa tahun lalu.

Lantaran itu, anak jati Melaka ini tidak pernah merasakan dia agak 'lewat' bergiat aktif di dalam bidang lakonan ini yang baru mula menaikkan nama saat dirinya sudah pun berkeluarga.

"Bagi saya, status isteri itu bukan lagi isu besar di kalangan artis-artis tempatan. Saya bersyukur diri saya tetap diberi peluang oleh produser dan kebanyakannya pula sudi menawarkan watak utama kepada saya.

"Tetapi, saya amat berterima kasih kepada produksi Rona Roni Makaroni yang membuatkan banyak pihak mula menaruh kepercayaan kepada saya untuk membintangi drama-drama lain," kata Dira yang ditemui pada majlis ramah-mesra bersama barisan pelakon siri tersebut di Sri Pentas, baru-baru ini.

Bekas pengacara Jom Ronda Bersama Proton dan Fulus Mania ini sama sekali tidak menyangka peluang yang diberikan oleh pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin atau Ezad membawa sinar terhadap karier lakonannya.

Lakonan cemerlang di dalam drama tersebut akhirnya turut membuatkan Radius One sekali lagi mengambil Dira untuk membintangi drama bersiri terbaru mereka, Merah Puteh, yang diarahkan oleh Isma yusoff.

Drama yang diadaptasikan daripada kisah Bawang Merah Bawang Putih dan diubah ke dalam versi lelaki ini telah pun mula bersiaran pada 7 April lalu setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di TV3 dan 8.30 malam di TV9.

Memegang watak utama sebagai Anggun yang menjadi rebutan dua beradik tiri lelaki bernama Merah dan Puteh, Dira akui cukup seronok diberi peluang sekali lagi oleh produksi tersebut dengan membawakan karektor yang berbeza.

"Saya suka karektor Anggun...seorang gadis biasa dan cukup 'simple'. Watak ini memang jauh berbeza dengan watak Gia, seorang 'diva' yang saya bawa dalam Rona Roni Makaroni.

"Dari segi cabaran, saya tidak nafikan Gia lebih sukar untuk dibawakan kerana ia amat jauh berbeza dengan karektor saya yang sebenarnya.

"Tetapi kedua-duanya tetap banyak bermain dengan emosi," kata Dira yang turut membintangi beberapa buah drama lain seperti Delima dan Cinta Tanpa Suara.

Selain Dira, drama bersiri yang menyuntik elemen moden itu dibarisi oleh Ellyas Abdullah sebagai Puteh dan Zahiril Adzim sebagai Merah serta pelakon-pelakon lain seperti Tania Zainal, Nadia Aqilah, Wan Sharmila dan Ainul Aishah.

Merah Puteh mengisahkan dua beradik tiri yang berlainan ibu, Izwan dan Nazlee. Izwan merupakan seorang remaja lelaki yang suka berlawak, ceria, peramah, aktif dan agresif. Dia digelar Merah kerana sewaktu dilahirkan kulitnya berwarna kemerah-merahan.

Nazlee pula mempunyai karektor yang begitu berbeza. Dia seorang pendiam dan suka menyendiri. Dia pula digelar Puteh kerana kulitnya yang cerah ketika dilahirkan.

Merah dan Puteh sentiasa menyokong antara satu sama lain lebih-lebih lagi Puteh yang sentiasa mendapat layanan buruk daripada ibu tirinya, Datin Mastura yang sebenarnya berdendam dengan ibu Puteh, Rahayu yang merupakan isteri kedua Datuk Jehan.

Walaupun Rahayu telah meninggal dunia, dengki Datin Mastura tidak pernah terhenti tambahan pula apabila Datuk Jehan hendak membahagikan sama rata harta antara dua beradik itu.

Satu demi satu konflik muncul dalam hidup Merah dan Puteh yang mana menjadi semakin teruk apabila muncul seorang gadis bernama Anggun di dalam hidup mereka.

Mengimbas pembabitan awalnya di dalam bidang seni, kata anak bongsu daripada enam beradik ini, dia bermula sebagai pekerja sambilan di Astro dan bertugas di radio X-Fresh sebagai deejay sebelum menjadi wartawan penyiaran program Beat TV.

"Ketika masih menuntut di UiTM dalam bidang Perundangan Universiti Teknologi Mara beberapa tahun lalu, saya pasti akan bekerja sambilan di Astro setiap kali tiba cuti semester.

"Dari situlah saya mula jatuh cinta dengan bidang penyiaran. Saya hanya mula menyertai bidang lakonan sekitar tahun lalu menerusi drama Cinta Tanpa Suara," kata Dira yang turut mengendalikan syarikat milik keluarganya, Irah Arts & Events Management.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan