Qhaud menjadi peserta seterusnya tersingkir daripada AF7KUALA LUMPUR: Hasrat Mohd Qhauhd Abdul Rashid atau Qhaud untuk bergelar Pelajar Cemerlang pada minggu ini nampaknya gagal dirasai oleh peserta ini apabila dia diumumkan tersingkir pada konsert minggu keenam Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam tadi.Qhaud yang membawakan lagu Seruan dendangan Lefthanded dengan baik telah berjaya memikat hati tenaga pengajar untuk dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang kali ini, namun ternyata nasib tidak menyebelahi peserta berusia 25 tahun ini apabila dia menerima undian terendah daripada penonton. "Setiap minggu, saya dan tenaga pengajar akan buat undian peserta mana yang kami rasa mempamerkan persembahan terbaik dalam konsert mingguan dan kali ini, memang kami sebenarnya telah bersepakat untuk memilih Qhaud berdasarkan persembahan cemerlangnya."Tapi, nampaknya dia memang tidak ada rezeki. Itu yang membuatkan saya agak terkilan," ujar pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina sejurus berakhirnya konsert mingguan itu.Konsert yang bertemakan rock ini menyaksikan lapan peserta membuat persembahan dengan lagu-lagu popular oleh empat band terkemuka iaitu Lefthanded, Estranged, Kristal dan dari Indonesia, Cokelat.Persembahan kesemua peserta juga diiringi oleh band tersebut mengikut lagu yang dinyanyikan oleh mereka.Seperti mana Tiara dan tenaga pengajar lain, Qhaud juga turut kecewa kerana gagal menggenggam gelaran tersebut."Ketika pertama kali mendapat lagu ini, saya memang banyak berdoa agar dapat buat sebaik mungkin untuk jadi Pelajar Cemerlang minggu ini. Saya sudah cuba yang terbaik, tetapi nampaknya peluang saya sampai di sini saja."Sejujurnya, saya tidak menduga akan tersingkir pada minggu ini. Tetapi apapun, saya memang sentiasa bersiap sedia kerana saya tahu program ini memang akan ada penyingkiran," kata Qhaud.Tiara yang kelihatan sebak dengan penyingkiran Qhaud pada malam itu berkata, Qhaud merupakan salah seorang pelajar AF7 yang istimewa."Setiap Sabtu sebelum bermulanya konsert, semua pelajar termasuklah saya dan tenaga pengajar akan berkumpul serta bersama-sama berdoa agar peserta-peserta mampu lakukan persembahan yang baik."Dan orang yang akan memimpin doa tersebut ialah Qhaud. Itulah yang kami di Akademi akan rindukan sangat. Qhaud sangat baik budaknya," tutur Tiara yang gagal menahan emosi.Salah seorang pengkritik tetap program ini, Datuk Khatijah Ibrahim turut melahirkan rasa kecewa dengan penyingkiran Qhaud."Sayalah yang beri pujian cukup tinggi untuk dia pada konsert tadi. Pada pendapat saya, persembahannya pada minggu ini amat bagus berbanding minggu-minggu sebelum ini."Kalau saya, pastinya saya akan beri peluang lagi kepada dia," kata penyanyi tersohor ini.Selain Khatijah, dua lagi pengkritik tetap ialah Edry Hashim dan Adlin Aman Ramlie.Dengan penyingkiran Qhaud, maka tujuh peserta yang masih kekal di dalam program ini ialah Claudia Fay Geres (Claudia), Siti Aishah Bujang (Aishah), Ismaliza Ismail (Isma), Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), Afiq Hakim Ahmad (Akim), Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) dan Khairil Azam Pilus (Aril).